Isnin, 29 September 2008

Anjuran bersedekah di Aidilfitri

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Nabi s.a.w telah bersabda: Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah (shahih Muslim)

catatan ustazthrash : Sememangnya bersedekah itu adalah dituntut, bersegera melakukan perkara yang baik itu juga adalah di tuntut, lebih utama lagi melakukan pada hari dan waktu tertentu dengan menyedekahkan apa yang ditetapkan seperti hadith di bawah .. mengamalkannya kerana Allah memberi kita ganjaran berlipat ganda InsyaAllah ..

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:

Aku berkesempatan mengikuti sembahyang Hari Raya Puasa (Aidilfitri) bersama Nabi Allah s.a.w, Abu Bakar, Umar dan Othman. Mereka semua mendirikan sembahyang Hari Raya sebelum khutbah. Setelah itu barulah berkhutbah.

Kemudian dia menyambung lagi dengan katanya: Nabi Allah s.a.w turun dan aku melihat ke arah baginda sehingga aku melihat baginda memberi isyarat kepada kaum lelaki supaya duduk dan kemudian datang dan berjalan di kalangan mereka menuju ke tempat para wanita dan Bilal ada bersama baginda. Lalu baginda membaca:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا hingga selesai.

Setelah itu baginda bertanya: Adakah kamu juga berjanji setia demikian? Seorang wanita menjawab di antara kelompok wanita itu dengan jawapan yang tegas: Benar, wahai Nabi Allah! Ketika itu wanita tersebut belum lagi dikenali. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu! Bilal r.a mula menghamparkan pakaiannya sambil berkata: Ayuhlah demi bapa dan ibuku sebagai tebusan kamu! Mereka segera meletak gelang-gelang dan cincin-cincin ke dalam pakaian Bilal.
(shahih Muslim)

Sabtu, 27 September 2008

WUDUK ZAHIR BATIN & SOLAT YANG KHUSYU'




Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.



Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim al Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."
Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?" Hatim berkata,"Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air.*


Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-


1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya ' )
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki."

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan :


1. aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ' Siratal mustaqim '
dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku,
kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.



Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhu, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun".

Apabila Isam mendengar, maka menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

ِAlangkah hebatnya mereka ... inilah solat yang khusyu dan berada dalam makam ihsan. Tiap-tiap ibadat yang dikerjakan kerana didorong oleh perasaan yang sedemikian, pasti ada kesannya kepada tabiat dan budi pekerti kepada yang beribadat itu sendiri. Umpamanya orang yang mendirikan solat kerana kesedarannya akan kebesaran dan kekuasaan Allah, dan didorong oleh perasaan bersyukur dan berutang budi kepada-Nya, akan terjauhlah dia dari perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan apalagi yang dilarang Allah. Dengan demikian solatnya itu akan mencegahnya dari mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak baik itu, sebagaiman firman Allah swt.:

إِنَّ الصّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (Q.S Al Ankabut: 45)

Begitu juga ibadat puasa. Ibadat ini akan menimbulkan perasaan cinta dan kasih sayang terhadap golongan fakir dan miskin pada diri orang yang berpuasa itu. Dan seterusnya dengan ibadat-ibadat yang lain.

Tetapi ibadat yang bukan ditimbulkan oleh keyakinan kepada kebesaran dan kekuasaan Allah, dan bukan pula didorong oleh perasaan bersyukur dan berhutang budi kepada Allah itu, atau dalam ertikata lainnya hanya kerana ikut-ikutan atau kerana sekadar memelihara tradisi yang sudah turun-temurun, bukanlah ibadat yang sebenarnya. Walaupun dia mempunyai rupa dan bentuk ibadat yang kelihatan cantik, namun masih tiada jiwa ibadat itu, tidak ubahnya dengan gambar atau patung, bagaimana pun juga miripnya dengan manusia, tidaklah dinamai manusia. Selanjutnya ibadat yang semacam itu tidak ada kesan dan buahnya kepada tabiat dan akhlak orang yang beribadat itu.


-------------------------------------------------------------

*Wudhu Sebagai Penghapus Dosa

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أظْفَارِهِ. رواه مسلم.

Daripada Uthman bin Affan r.h. dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: sesiapa yang berwudhuk dan memperelokkan wudhuk akan keluar kesalahan-kesalahannya dari jasadnya sehingga ianya keluar melalui bahagian bawah kuku-kuku jarinya. [Muslim]

Hadis ini menjelaskan bahawa syarat untuk keluarnya segala kesalahan dan dosa dari diri seorang yang berwudhuk itu ialah apabila dia memperelokkan wudhuknya.

Wudhu zahir ini juga adalah isyarat kepada keperluan kita menjaga nikmat yang diberikan oleh Allah supaya tidak dicemari oleh kekotoran akan kelakuan yang buruk yakni dosa yang berpunca dari mata dan mulut, tangan, akal fikiran juga telinga dan kaki. Wallahu a'lam

-----------------------------------------------------------------
Ilmu itu milik Allah, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, InsyaAllah akan digandakan ganjaran kepadanya ... Justeru itu sebarkanlah kisah tauladan kesufian ini kepada sahabat-sahabat semua.. Semoga kita sama-sama menerima manfaat dan redhaNya dunia akhirat.