Selasa, 15 November 2011

PENAWAR UTAMA KEPADA BISA RANJAU KEHIDUPAN.

"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah.."
(Tazkirah ringkas seorang ulamak terkenal tanah air -2010)

Kehidupan yang penuh dengan keserabutan, kebimbangan dan kerisauan. Masalah ekonomi yang meruncing walaupun ada yang bergaji besar namun masih tidak mencukupi, tidak pernah merasa puas dengan segala apa yang ada. Rumahtangga yang sentiasa bergolak- isteri yang tidak patuh dan anak-anak yang derhaka. Pertengkaran yang tidak berkesudahan dengan kenalan, sahabat handai juga jiran tetangga. Tanah air yang diduduki pula tidak dirasakan aman kerana masalah sosial yang merunsingkan dan penjenayah pula berada di merata-rata ceruk dan rongga. Inilah antara sedikit ranjau yang berbisa dalam kehidupan.

Ramai dikalangan kita yang mengakui Islam sebagai cara hidup, pastinya pernah memiliki atau sentiasa berkesedaran bahawa kebanyakan masalah yang timbul dalam hidupnya ini sebenarnya adalah kerana sikap diri sendiri yang mengakibatkan kesannya kepada semua aspek sehingga membabitkan anggota masyarakat yang lain. Ramai yang sedar maslah utama adalah kerana keborokan yang berpunca daripada kejahilan sebagaimana kepincang dalam kehidupan masyarakat jahiliah di zaman Rasulullah. Di mana yang kerananya itu kita tidak mendapat keredhaan ALLAH swt. Wa nastaghfiruka wa natubuu ilaik..

Penyakit berbisa dah tau puncanya, maka janganlah berlengah untuk menawarkannya. Ambillah al Quran sebagai ikthiar usaha yang utama untuk mengubatinya. Maka dengannya mengubah kejahilan dan dengannya pasti mengubah hati serta sikap kita dalam menangani ranjau kehidupan.

Firman Allah :

"Dan mereka yang berjihad (bersungguh-sungguh) pada (mendapat keredhaan) Kami, Kami pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka akan jalan-jalan Kami, dan sesungguh-sungguhnya pasti Allah tetap bersama para MUHSININ."
(Al ’Ankabut : 69)

Muhsinin adalah golongan yang berjihad (bersungguh-sungguh) di jalan Allah SWT untuk sampai dan berhubung dengan ALLAH. Atau dalam ertikata yang ringkasnya mereka adalah golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan mereka keranaNya.

Mereka ini sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencapai redhaNya dengan melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Setiap perkara diambil berat dari sekecil perkara seperti hukum bersuci sehinggalah perkara yang besar seperti bab kepimpinan negara. Mereka amat bimbang sekali tersasar dari jalan yang diredhaiNya. Maka dengannya mereka sentiasa mendapat petunjukNya untuk sentiasa berada di atas jalan yang sebenar.

Maka dengan usaha yang sedemikian Allah pasti akan memberi SEPENUH perhatian kepada mereka dari maqamNya Yang Maha Agung dan kerana dengannya itu Dia melimpahkan keredhaanNya kepada mereka.

Pastinya Allah menghargai usaha-usaha mereka untuk sampai kepadaNya dan kerana itu Allah memberi bimbingan kepada mereka. Sesungguhnya Allah memandang tinggi kepada JIHAD (kesungguhan) mereka dan kerana itu DIA memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Bahkan Allah memandang tinggi juga kepada kesabaran dan IHSAN mereka dan kerana itu jua Allah membalas mereka dengan SEBAIK-BAIK balasan.

Sesungguhnya, mereka yang mendapat hidayahNya adalah orang yang memiliki ketaqwaan. Orang yang bertaqwa itu adalah diredhaiNya, maka sentiasa dia mempunyai jalan keluar daripada sebarang masalah yang dihadapinya. Malahan dia pastinya mendapat pelbagai kurniaan yang tak tersangka serta tidak terhitung sebagaimana yang telah dijanjikanNya dalam al Quran.

Ayuh betulkan niat keranaNya dan mulakan dengan sikap 'Rajin Belajar dan Membaca' terutamanya kitab Tafsir, Hadith dll untuk mengetahui ajaran-ajaran Islam yang sebenar serta mengamalkannya pula secara kaafah dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap muhsiniin. 

Alangkah bahagianya kita apabila berada dalam maqam Muhsinin yang dijanjikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh.

ILMU YANG BENAR membuahkan AMAL YANG BERSUNGGUH dan menghasilkan nikmat IMAN mereka yang MUHSININ lagi muttaqin.

Wallahu a'lam

Ahad, 13 November 2011

Hukum Ejaan Kalimah Allah Dalam Tulisan Arab Atau Jawi

Salam alaik, merujuk kepada surat khabar bertarikh 11.11.2011, saya terlihat ada perkataan Allah Akbar (Jawi) pada setiap muka surat yang membuat pengucapan Hari Lahir kepada Sultan Kelantan. Adakah keratan tersebut perlu dibakar dan dihanyutkan @ tidak mengapa?

Nizam Rasdi, Johor.

Wa alaikassalam wbrt, saya akan menjawab sekadar mampu...

Berlandaskan kaedah menghukum dalam mazhab Syafi’e iaitu :
الاصل الاشياء الإباحة حتى يدل الدليل التحريم
(asal setiap perkara adalah diperbolehkan sehingga adanya dalil yang menunjukkan akan keharamannya).

Justeru itu, untuk mengatakan tidak boleh mesti ada dalil yang jelas dan khusus tentang larangan perbuatan tersebut selagimana tiada maka ia kekal diperbolehkan.

Firman Allah :
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (adalah seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,” [An-Naml ayat 30]

Dalam ayat tersebut jelas Nabi Sulaiman telah menulis Basmalah di dalam surat kepada Ratu Balqis yang saat itu masih kafir.

Jika dilihat kepada perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah SAW sendiri juga memerintahkan untuk ditulis Basmalah dalam surat perjanjian tersebut. Malahan kedapatan banyak lagi surat Rasulullah SAW yang dihantar kepada An Najasyi di Habsyah dll untuk menyeru mereka memeluk Islam, di mana dalam surat-surat baginda pastinya ditulis Basmalah dan Muhamad Rasulullah. Bahkan cop mohor baginda juga diukir dengan lafaz Muhamad Rasulullah.

Jelasnya Rasulullah yang paling kasih pada Allah sedikitpun tidak berasa bimbang dengan kemungkinan mereka akan menghina kalimah Allah dalam ejaan Basmalah atau selainnya yang ditulis dalam surat-surat tsbt sama ada penerimanya akan mengoyak atau memijak surat tersebut.

Apapun terpulanglah kepada masing-masing untuk mengambil sebarang langkah untuk lebih memuliakannya walaupun tiadalah ia diperintahkan.

WALLAHU A'LAM..

~Soalan yang ditanya dalam wall fb Ustazthrash Mujahid~

Jumaat, 11 November 2011

Petua Orang Muda : Gout, Kayap, Racun Dan Sakit Kepala

Lama sangat dah rasanya aku tak menulis untuk siri petua orang muda ni. Wajib atas aku membantu saudara seagama aku tak kira dalam apa hal sekalipun. Kalau sakit maka hendaklah berubat. Aku tak sanggup dipersoalkan pada hari akhirat kelak kerana menyembunyikan apa yang aku tahu sedangkan ia bermanfaat kepada orang ramai. Lagipun aku tak kaya harta, nak bagi ubat percuma tak mampu. Hanya nasihat dan petua yang dapat aku cadangkan.

Semoga Allah menyembuhkan kalian. Bersabar dan redhalah di atas kesakitan. Jangan sesekali mengeluh. Emosi yang tidak tenang mungkin melambatkan lagi proses penyembuhan. Sesungguhnya ada hikmah disebalik ujianNya. Dialah Yang Maha Penyayang. Mungkin dengan kesakitan itu membuatkan kalian lebih menghampirkan diri lagi kepadaNya. 

Sebelum mengamalkan petuan-petua ini macam biasalah, mulakanlah sekurang-kurangnya dengan membaca basmallah (bismillah..), bertahmid dan berselawat. Mohon ampun atas segala dosa dan mintalah penyembuhan daripada Allah.

Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Menyembuhkan.

Petua Gout

Kupas bawang putih sebanyak 2 sehingga ke 3 labu, kemudian masukkan ke dalam gelas kaca dan tudung (boleh je masukkan dalam botol pun heheh). Biarkan semalaman, kemudian makanlah keesokannya sedikit demi sedikit. Kemudian banyakkan berjalan kaki ayam di atas batu-batuan sebaiknya ketika waktu pagi antara jam 9 -11. Batu-batu ini biasanya pada waktu itu sedikit panas dan kepanasan ketika itu memberi kesegaran pada tubuh badan. 

Petua ni aku ambil daripada seorang sahabat yang menerimanya daripada seorang lelaki iban.

Petua Kayap

Daripada pengalaman yang aku lalui sendiri setelah beberapa kali terkena kayap pelbagai jenis.

Ambil daun delima tumbuk lumat kemudian campurkan dengan sedikit air dan tampal pada bahagian yang terkena kayap. Boleh juga menggunakan daun semalu (pohon yang daunnya menguncup apabila tersentuh) dan akarnya dibasuh kemudian direbus untuk dibuat minum, ini diajarkan Tok Mat Kelam kepada aku. Berdasar pengalaman penggunaan bedak sejuk atau selut dicampur air hanya lebih untuk merawat kayap biasa yang kurang menyakitkan.

Rawatan yang paling menyakitkan dan best adalah daripada kacang merah atau hijau. Di mana kacang-kacang ini dimamah terlebih dahulu kemudian semburkan kepada bahagian yang terkena kayap. Tapi hati-hati kalau mahu menaggalkannya, mesti basahkan kembali sehingga ia lembut dan kembang dulu. Jika tak memang menyakitkan

Petua Menawarkan Racun

Minum air kelapa muda, jika sanggup minumlah sebanyak 7 biji sekaligus tambah dengan  susu sekotak. Mulakan dengan 4 biji dikuti dengan setengah kotak susu yang besar (contoh : Dutch Lady dll). Kemudian minum lagi 3 biji dan habiskan susu. Anda mungkin muntah-muntah dengan banyak. Proses minum begini diistilah juga sebagai 'cuci dalaman atau cuci perut'. Aku pernah guna kaedah ni untuk bantu beberapa penagih dan mereka yang disantau. Alhamdulillah ada kesannya...

Untuk mendapat hasil yang lebih baik rebuslah pula sebiji buah kundur dan makan sehingga habis, berkenaan dengan size kundur tu pandai-pandailah. Kemudian carilah selut putih dibancuh dengan air, tapis dan amalkan meminumnya setiap hari untuk meneutralkan racun dan bisa-bisa yang berbaki. Selut putih ini juga boleh membantu alahan atau alergik. Cubalah juga meminumnya jika anda terkena cirit birit.  

Pernah juga aku kena keracunan makanan, aku muntah dengan teruk tak yah minum air kelapa dengan susu pun.. hehe. Kalau tak silap 7 atau lapan kali aku muntah. Aku saja tak nak pergi ke mana-mana klinik atau hospital walaupun hanya seberang jalan rumah aku je. Nak test apa yang paling simple untuk menawarkannya, dengan doa, secubit dua garam (sebaiknya korang guna garam kasar) dilarutkan dengan air panas dan sedikit urutan dibahagian hujung kaki akan melegakannya. Alhamdulillah ia benar-benar berkesan.

Petua Menghilangkan Kesakitan Kepala Akibat Panas.


Pada suatu hari beberapa tahun lalu sedang sakit kepala yang amat, aku mendapat ilham untuk mengurangkan kesakitan dengan melekapkan besi (pedang hadiah daripada ayah) ke dahi. Alhamdulillah kesakitan itu berkurang dengan cepat. Setelah berulangkali melekapkan besi ke dahi, aku ubah dengan menggunakan batu sungai. Saja nak test... Kesannya juga memuaskan dan rasanya lebih memuaskan dari menjerlum dengan air asam jawa dan juga ais. Apapun cubalah dulu mungkin ada beza antara kita.   

Sebelum ni ada jugak aku tulis petua stress dan migrain kot.. rajin-rajinkanlah diri kalau nak dapat ilmu.

Wallahu a'lam...
-----------

Apapun jangan kerana ada petua ini maka diabaikan pula perubatan moden. Banyak lagi petua lain yang akan menyusul. InsyaAllah... ruang masa yang ada perlu dibahagi-bahagikan mengikut keutamaan. Kewajiban-kewajiban itu lebih banyak daripada waktu yang ada.

Semoga Allah memperkenankan segala usaha kita sekalian ... sebar-sebarkanlah kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama.


Rabu, 9 November 2011

Berbantah-bantahan Adalah Antara Punca Kemunduran Dan Kehinaan Yang Menimpa Ummat Islam

Kemunduran dan kehinaan yang menimpa ummat Islam kini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang mana semuanya ada diterangkan di dalam Al Quran dan hadith-hadith. Di antaranya ialah firman  Allah :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
(Al Anfaal :46)

Punca-punca perselisihan atau sikap berbantah-bantahan pula ialah :

1.      Firman Allah :

Dan di antara orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani", Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.
(Al Maa’idah : 14)

2.       Firman Allah :

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran (pengetahuan) yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.
(As Syuraa : 14)

3.      Sabda Baginda SAW :

Apabila kamu berjual beli dengan al ‘ainah dan kamu mengikut pemerintah-penerintah yang zalim dan kamu asyik dengan ladang-ladang kamu dan kamu meninggalkan jihad kamu, nescaya Allah akan menimpakan ke atas kamu kehinaan yang tidak akan terhapus sehinggalah kamu kembali kepada ajaran agama kamu.[1]

4.      Firman Allah :

Kemudian kamu ini (Wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Al Baqaarah : 85)

5.      Sabda Rasulullah SAW :
يوشك أن تدعي عليكم الأمم كما تداعي الأكلة الى قصعتها. فقال قائل : أو من قلة يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينز عن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن في قلوبكم الوهن. قال قائل :يا رسول الله وما الوهن؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت.
Akan tiba saatnya di mana kamu akan dikerumuni (diserbu) oleh umat-umat lain (musuh-musuh dari pelbagai sudut) sebagaimana orang-orang yang sedang makan menghadapi hidangannya. Bertanya salah seorang daripada mereka : Adakah kerana bilangan kami pada masa itu sedikit wahai Rasulullah? Jawab Baginda : Bahkan kamu pada hari itu banyak. Tetapi kamu adalah kosong dan hanyut seperti buih-buih. Dan Allah akan mencabut daripada musuh-musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, dan Dia menanam (mencampakkan) pula ke dalam hati-hati kamu –penyakit- al-wahn. Bertanya salah seorang daripada mereka : wahai Rasulullah apakah al wahn itu? Jawab Baginda : Cintakan dunia dan bencikan mati. [2]

Justeru itu ketahuilah jama’ah yang diwajibkan setiap Muslim memberikan bai’ahnya ialah jama’ah yang berusaha membebaskan umat Islam daripada seluruh penyakit yang membawa kepada kehinaannya sehingga umat Islam diumpamakan kosong dan hanyut seperti buih-buih. Antara penyakit tersebut ialah al wahan sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith di atas.

[1] Hadith Riwayat

[2] Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Tsauban