Oleh:
Mohd
Yaakub bin Mohd Yunus (akob73@yahoo.com)
Budaya takfir (kafir mengkafir) adalah sesuatu yang membawa akibat yang amat buruk terhadap kesatuan umat Islam. Ianya menimbulkan perpecahan, fitnah dan musibah yang dahsyat sehingga boleh terjadinya pertumpahan darah antara sesama muslim. Di samping itu di sisi syari‘at Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
Memandangkan betapa beratnya implikasi mengkafirkan seorang
muslim yang lain, Islam melarang keras budaya takfir.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari
kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih
baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak
perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu
lebih baik daripada mereka;
Dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang
lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu
dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang
melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan
nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan
(ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[1]
Apakah
ada kata-kata cemuhan dan ejekan yang lebih buruk selain
dari menggelarkan seseorang itu dengan panggilan kafir? Maka
amalan pengkafiran bukan sahaja dilarang oleh syari‘at
tapi ianya juga adalah satu tindakan yang amat zalim.
Sesungguhnya semua umat Islam itu bersaudara dan tidak
selayaknya bagi kita terjebak dalam perbuatan
kafir-mengkafirkan terhadap saudara kita yang lain. Ini
sebagaimana sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim adalah saudara bagi Musim yang lain, tidak
boleh dia menzaliminya dan menjerumuskannya ke dalam
kebinasaan.[2]
Kezaliman
yang paling melampau dan kebinasaan yang paling meranapkan
adalah tatkala seorang Musim mengkafirkan saudaranya yang
lain. Demi mengawal tindak tanduk seorang muslim dari
bermudah-mudahan dalam mengkafirkan saudaranya yang lain,
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan
dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan
hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh
tidak demikian.[3]
Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai
Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang
daripada kedua-duanya.[4]
Dengan
ini dapat kita fahami bahawa menuduh seorang muslim yang
lain sebagai kafir mendatangkan risiko yang amat merbahaya
iaitu boleh menyebabkan si penuduh jatuh kafir apabila yang
tertuduh bebas daripada tuduhan tersebut. Oleh itu ulama’
Ahlus Sunnah Wal Jama’ah amat berwaspada serta tidak
terburu-buru dalam isu pengkafiran.
Hujjat
al-Islam
Imam al-Ghazali rahimahullah telah berkata dalam
kitabnya al-Iqtishad fi al-I’tiqad, ms. 269:
Sesuatu yang patut kita berhati-hati adalah masalah
pengkafiran, selagi mana ada jalan untuk berhati-hati. Ini
kerana menghalalkan darah dan harta orang yang sembahyang
menghadap kiblat dan yang mengikrarkan kalimat
“Tiada
tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu
pesuruh Allah” adalah suatu kesalahan dan kesalahan
membiarkan seribu orang kafir hidup adalah lebih ringan
daripada kesalahan kerana menumpahkan darah seorang muslim.[5]
Mengkafirkan seorang muslim yang lain diumpamakan dengan
membunuhnya. Ini sebagaimana dikatakan oleh al-‘Alla’ bin
Ziyad, seorang tabi’in yang mulia,
Oleh itu ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sentiasa
berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kafir terhadap muslim
yang lain. Persyaratan yang amat ketat telah digariskan
sebagai langkah untuk mengelakkan amalan pengkafiran berlaku
secara berleluasa tanpa kawalan.
Definisi kafir dan jenis-jenisnya.
Kafir
menurut
bahasa bermakna menutupi. Oleh itu seorang yang terkeluar
dari agama Allah ini digelar kafir kerana dia telah menutupi
kebenaran atau kerana kekafirannya itu, dia menutupi apa
yang sepatutnya dia imani. Kafir menurut syari‘at
terbahagi kepada dua iaitu kafir akbar (besar) dan
kafir asghar (kecil).
Pertama: Kafir akbar
Ini
adalah bentuk kekafiran yang menyebabkan pembuatnya kekal
dalam neraka selama-lamanya. Kafir akbar terbahagi
kepada 5 jenis:
a)
Kafir Takzib (pendustaan) – Kekafiran jenis
ini berbentuk mendustakan ajaran yang dibawa oleh para
Rasul. Mereka mengingkari ajaran para Rasul dengan lidah dan
hati mereka. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa
Ta'ala :
Dan
(ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat
sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan
perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka datang (ke
tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu
mendustakan ayat-ayat keterangan-Ku dengan tidak lebih
dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang
kamu telah lakukan?”[7]
b) Kafir iba’ wal istikbar (keengganan
dan kesombongan) – Ada sesetengah manusia yang sebenarnya
hati mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tetapi enggan
untuk patuh kepadanya kerana kesombongan. Kekafiran ini
adalah sama seperti kekafiran iblis. Iblis tidak menolak
kebenaran Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Rabb yang
berhak disembah dan dipatuhi perintah-Nya. Namun penentangan
iblis adalah disebabkan kesombongannya. Sikap iblis ini
adalah sebagaimana yang telah dihuraikan dalam al-Qur’an:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada
malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam." Lalu
mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia
enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang
kafir.[8]
c) Kafir I’radh – ertinya berpaling
dengan pendengaran dan hatinya dari ajaran para Rasul, tidak
membenarkan dan tidak pula mendustakannya, tidak
mencintainya dan tidak pula memusuhinya serta sama sekali
tidak mahu memperhatikan dan mendengar kepadanya. Perilaku
ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza
wa Jalla:
Sebuah
Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu
Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah
orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang
beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang
ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar
(tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab
itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.[9]
d) Kafir Syak (keraguan) – Ini adalah
golongan yang senantiasa di dalam keraguan akan kebenaran
ajaran para Rasul.
e) Kafir Nifaq – Iaitu menampakkan
keimanan dengan lisan dan perbuatan namun hatinya kafir
(orang munafiq). Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala:
Dan di antara manusia ada yang
berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari
akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.[10]
Kedua:
Kafir Asghar
Apabila
seseorang itu tidak membuat sesuatu perintah agama, akan
tetapi dia tetap menyakini akan kewajipan perintah tersebut,
dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang
menyakini akan kewajipan membayar zakat harta tahunan, akan
tetapi kerana leka mengejar kehidupan duniawi dia tidak
membayar zakar tersebut. Maka orang ini tidak dihukum kafir.
Demikian
juga, apabila seseorang itu tidak meninggalkan sesuatu
larangan agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan
keharaman perkara tersebut, dia tidak dianggap kafir.
Contohnya adalah orang yang menyakini keharaman hukum minum
arak, akan tetapi oleh kerana keterbiasaannya minum sekian
lama, dia mendapati sukar untuk menukar tabiat tersebut
melainkan bertahap-tahap. Maka orang ini tidak dihukum
kafir.
Inilah
yang dimaksudkan dengan kafir asghar. Kafir ini tidak
mengeluarkan pembuatnya dari agama (masih termasuk dalam
golongan yang beriman) dan tidak kekal dalam neraka. Berkata
Imam Abu Hanifah rahimahullah dalam kitabnya Fiqh
al-Akbar (ms. 102):
Kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim dengan setiap
dosa, meskipun dosa besar. Kecuali ada unsur menganggap
halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman
darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau
seorang mukmin yang fasik (tetapi) tidak kafir.[11]
Menurut
Imam Abu Ja’afar al-Thahawi rahimahullah:
Kita tidak mengkafirkan seorangpun ahlul kiblat
kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak
menghalalkan perbuatan dosa tersebut.”
Syaikh
Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah melanjutkan:
Maksud beliau (yakni Imam Abu Ja’afar al-Thahawi),
sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jama’ah tidak
mengkafirkan seorang Muslim yang bertauhid, beriman kepada
Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana
perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina,
minum khamar (arak), riba’, derhaka kepada orang tua dan
sejenisnya, selama pembuatnya tidak menganggap halal
perbuatannya. Namun apabila pembuatnya menganggap halal
perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya
telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari
agama. Apabila mereka tidak menganggap halal perbuatan
dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut fahaman
Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka dianggap seorang mukmin
yang lemah imannya...[12]
Hal ini
termasuklah tindakan kebanyakan pemerintah negara Islam pada
zaman kini yang tidak melaksanakan hukum Allah. Berkata Imam
Ibnu Abil ‘Izzi ‘Abdis Salaam dalam kitabnya Syarhul
Aqidah ath-Thahawiyah (ms. 323-324):
Di sini wajib untuk kita berfikir (secara cemerlang) bahawa
berhukum dengan selain yang diturunkan Allah kadang-kadang
boleh menjadi kafir yang mengeluarkan pembuatnya dari
Islam (kafir akbar) dan kadang-kadang boleh menjadi
maksiat besar atau kecil atau boleh jadi kafir majazi
atau kafir asghar (kecil), yang demikian sesuai
dengan keadaan hakim/perlaksanaan hukum itu.
Apabila dia meyakini bahawa berhukum dengan selain yang
diturunkan Allah adalah tidak wajib dan bahawa dia diberi
kebebasan (untuk berhukum dengannya atau tidak) atau dia
menghina hukum Allah bersamaan dengan keyakinannya bahawa ia
adalah hukum Allah, maka ini adalah kafir akbar.
Apabila dia meyakini wajib berhukum dengan apa yang
diturunkan Allah dan dia mengetahuinya tapi dia berpaling
darinya, bersamaan dengan pengakuannya bahawa dia berhak
mendapat hukuman (atas perbuatannya berpaling dari hukum
Allah), maka orang ini telah berbuat maksiat dan ini
dinamakan dengan kafir majazi atau kafir asghar.[13]
Beberapa syarat pengkafiran:
Seperti
mana yang disebut di permulaan risalah ini, para ulama’
Ahlus
Sunnah Wal Jama’ah
amat berwaspada dalam menghukum kafir terhadap seseorang
individu muslim. Mereka telah menggariskan beberapa syarat
yang perlu diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan
hukum kafir. Syarat-syarat tersebut adalah:
Pertama: Baligh
dan berakal.
Orang
yang belum baligh (kanak-kanak) dan orang yang tidak
sempurna akalnya tidak dijatuhkan hukuman. Ini berdasarkan
sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
Diangkat pena (tidak dicatit kesalahan) dari tiga orang,
anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan
orang gila hingga sedar.[14]
Ibnu
Qudamah rahimahullah dalam kitabnya al-Mughni
(jld. 12, ms. 266) berkata:
Hukum murtad tidak berlaku bagi orang yang tidak berakal
seperti anak kecil, orang gila, atau orang yang hilang
kesedaran akibat pengsan, tidur, sakit, dan minum ubat yang
boleh diminum.[15]
Kedua:
Perbuatan kafir dilakukan dengan sengaja.
Ucapan
atau perbuatan yang membawa kepada kekafiran hendaklah
dilakukan dengan kerelaan hati atau kehendak sendiri. Ia
bukan satu perbuatan yang terpaksa, tak sengaja, terlanjur
atau di luar kawalan seperti disebabkan oleh kegembiraan
atau kesedihan yang amat sangat. Allah Subhanahu wa
Ta'ala berfirman:
Dan
kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu
tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu
ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu
untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.[16]
Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman (maka
baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang
yang dipaksa (melakukan kafir) sedang hatinya tenang
tenteram dengan iman.[17]
Sabda
Nabi saw shallallahu ‘alaihi wasallam :
Allah sangat gembira tatkala hamba-Nya bertaubat, melebihi
kegembiraan di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di
padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka
apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaanya
tunggangannya itu) lalu dia mendatangi sebuah pohon untuk
berteduh, dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu
berdiri di sisinya.
Maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu
berkata : “Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan
Mu.” Dia salah dalam berkata kerana kegembiraan.[18]
Ketiga: Ditegakkan hujah ke atasnya.
Tidak
boleh menghukum kafir ke atas seseorang selagi mana belum
ditegakkan hujah ke atasnya bahawa perbuatannnya boleh
mengakibatkan kekafiran. Lebih dari itu, hujah yang
ditegakkan hendaklah dalam bentuk yang jelas dan padu,
lengkap dengan dalil-dalilnya, sehingga dia dapat
memahaminya dengan baik. Berkata Syaikh al-Islam Ibnu
Taymiyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa
(jld. 12, ms. 501):
Ucapan (yang mengakibatkan) kafir mungkin saja datang
dari orang yang belum sampai kepadanya nas (hujah dan dalil)
untuk mengenali kebenaran. Atau boleh jadi telah sampai (nas
tersebut) tetapi hujah tersebut dipandang tidak benar atau
belum mungkin baginya untuk memahaminya atau ada syubhat
dalam proses memahami kebenaran. Maka dalam kondisi seperti
ini Allah memaafkan…… inilah manhaj para sahabat
radhiallahu 'anhum dan para ulama’ sunnah.[19]
Beliau
meneruskan (Jld. 12, ms. 523-524):
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya secara
mutlak dan tidak tahu kebenaran secara rinci, tidak boleh
dihukum kafir sehingga telah ditegakkan hujah bahawa
tindakannya tersebut kafir. Sebab banyak orang
terkadang salah dalam memahami al-Qur’an atau salah tafsir,
maka kesalahan dan lupa diangkat dari umat ini dan
penghukuman kafir hanya terjadi setelah ada penjelasan.[20]
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
...Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami
mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan
yang salah).[21]
Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa
khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan
pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang
berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu
hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari
kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul
itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[22]
Abdullah
bin Auf radhiallahu 'anh pernah menceritakan:
Tatkala Mu’adz datang dari Syam, beliau terus sujud kepada
Nabi. Maka Nabi bertanya: “Apa yang kamu lakukan wahai
Mu’adz?” Dia berkata: “(Apabila) saya sampai ke Syam, saya
dapati mereka bersujud kepada para rahib dan pendeta mereka,
(maka) saya suka bila seperti itu saya dapat lakukan
untukmu.”
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Janganlah
kamu lakukan sedemikian, sebab seandainya aku membenarkan
orang sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan suruh
wanita sujud kepada suaminya.”[23]
Dalam
hadis di atas, tindakan Mu’adz radhiallahu 'anh yang
sujud kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah
satu tindakan yang jelas salah. Akan tetapi baginda tidak
menjatuhkan hukum kepada Mu’adz, sebaliknya menerangkan
kepada beliau, yakni menegakkan hujah, bahawa tindakan
tersebut tidak dibolehkan.
Syarat
yang ketiga ini adalah penting, khasnya orang Islam minoriti
yang tinggal di sebuah negara bukan Islam. Sukar bagi mereka
mempelajari ilmu-ilmu Islam kerana berjauhan dari ulama’,
sukar untuk mendapatkan sumber ilmiah tentang Islam dan
masyarakat Islam di sekelilingya juga terdiri dari mereka
yang kurang pengetahuannya dalam hal-hal agama. Maka orang
Islam minoriti ini tidak dihukumkan kafir seandainya
melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa kepada
kekafiran.
Tidak
ketinggalan ialah orang Islam yang duduk di dalam negara
yang majoriti penduduknya adalah orang Islam. Akan tetapi
mereka tetap terhindar daripada ilmu-ilmu agama yang sebenar
disebabkan beberapa faktor penghalang seperti para ulama’
yang tidak jujur mahupun memiliki ilmu yang sahih. Mereka
ini juga tidak dihukum kafir seandainya melakukan perbuatan
yang pada asalnya boleh membawa kepada kekafiran.
Ini
kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;
dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah
(akan perintah-perintah-Nya).[24]
Dan
orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami tidak
memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan
sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya.[25]
Berdasarkan ayat-ayat di atas, Allah tidak membebani
seseorang melainkan yang terdaya olehnya. Oleh itu
seandainya seseorang itu telah berusaha sedaya upaya untuk
mencari kebenaran dalam Islam namun masih terdapat
kekurangan atau kesilapan tanpa disengajakan, sehingga dia
melakukan perbuatan yang kafir, Allah tidak akan
menghukumnya, malah mengampuni kesalahannya.
Keempat: Perbuatan diukur dari segi zahirnya.
Setiap
orang Islam diadili berdasarkan apa yang terlihat pada zahir
dirinya. Antara kaedah yang penting di sini adalah:
“Sesungguhnya hukum-hukum itu dilihat dari zahirnya dan
Allahlah yang akan menghukumi batinnya.”
Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi
(berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka
hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan
sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru)
mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap
damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah
Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu
membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya
yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak
kekal).[26]
Senada
dengan ayat di atas adalah hadis berikut dari Usamah bin
Zaid radhiallahu 'anh:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menghantar
kami pada satu peperangan, pada pagi hari kami menyerbu
al-Huraqaat (nama sebuah kabilah) dari kabilah Juhainah.
Maka aku bertemu dengan seorang lelaki lalu dia berkata:
“Laa ilaha illallah” kemudian aku menusuknya (membunuhnya).
Akan tetapi aku merasa ada sesuatu dalam hatiku dari
kejadian itu, lalu aku menceritakannya kepada Rasuliullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Maka baginda berkata: “Apakah
dia telah mengatakan Laa ilaha illallah kemudian kamu
membunuhnya?” Aku menjawab: “Ya wahai Rasulullah,
sesungguhnya dia mengatakan hal itu hanya kerana takut
kepada pedangku.:
Baginda bertanya (menandakan kesalahan tindakan Usamah):
“Tidakkah kamu membelah dadanya sehingga kamu mengetahui
apakah benar-benar dia mengatakannya (dengan jujur) atau
tidak?”[27]
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, maka sewajarnya bagi
kita tidak bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain
selagi mana zahirnya masih menunjukkan bahwa dia seorang
muslim. Sebagai contoh, tidak sewajarnya kita mengkafirkan
pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud atau
bertindak zalim selagi mana pada dirinya terdapat ciri-ciri
orang Islam, khasnya ciri mendirikan sembahyang. Ini
sebagaimana pesan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
Akan ada sepeninggalku nanti pemimpin (yang) kalian
mengenalnya dan mengingkari (kezalimannya), maka barangsiapa
mengingkarinya (bererti) dia berlepas diri dan barangsiapa
membencinya (bererti) dia selamat. Akan tetapi barangsiapa
yang meredhainya (bererti) mengikutinya. Para sahabat
bertanya: “Apakah tidak kita perangi mereka (pemimpin
tersebut)?” Baginda menjawab: “Jangan, selagi mana mereka
masih sembahyang.”[28]
Kelima: Kekafiran
memiliki cabang-cabangnya.
Sebagaimana iman memiliki cabang-cabangnya, kekafiran juga
memiliki cabang-cabangnya. Di antara cabang-cabang kekafiran
ada yang boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam
dan ada yang tidak. Contohnya mengatakan Nabi Isa ‘alaihi
salam adalah anak tuhan atau tuhan itu bertiga (Trinity)
jelas mengeluarkan pelakunya dari agama Islam. Manakala
peminum arak atau penzina hanya dihukum sebagai seorang yang
fasiq (pelaku dosa besar), namun tidak
mengeluarkannya dari Islam selagi mana dia tidak
menghalalkan perbuatannya itu.
Oleh itu
seseorang yang terdapat dalam dirinya beberapa perbuatan
dari cabang-cabang kekafiran, dia tidak boleh dihukum kafir
secara mutlak dan tidak pula boleh dinamakan mukmin secara
mutlak walaupun dirinya beriman kepada Allah ’Azza wa
Jalla. Yang benar dia masih seorang muslim. Ini
sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Orang-orang "A'raab" berkata: "Kami telah beriman.”
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, akan
tetapi berkatalah, ‘kami telah Islam’ kerana iman masih
belum memasuki hati kamu.”[29]
Syaikh
al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata:
Asal kesesatan Mu’tazilah, Khawarij dan selain
mereka adalah kerana mereka menyelisihi dasar ini, mereka
menjadikan iman sebagai sesuatu yang satu, bila hilang
sebahagiannya maka musnahlah seluruhnya. Oleh kerana itu
mereka menghukumi pelaku dosa besar sebagai tidak memiliki
iman sama sekali. Mereka tidak mengatakan ada sebahagian
yang hilang dan sebahagian lain yang masih tersisa,
sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
“Akan keluar dari Neraka barangsiapa yang hatinya ada
sedikit keimanan.”
Dengan demikian maka iman tidak hilang dengan hilangnya
sebahagian amal.[30]
Kata
Penutup.
Harapan
penulis, risalah yang ringkas ini dapat menyedarkan kita
semua akan sikap berhati-hati para ulama’ Ahlus Sunnah
Wal Jama’ah dalam masalah takfir. Kekafiran itu
sendiri terbahagi kepada dua kategori dan sebelum seseorang
itu boleh dijatuhkan hukum kafir, terdapat beberapa syarat
yang perlu diperhatikan terlebih dahulu.
Hendaklah
kita menyedari bahawa mengkafirkan muslim yang lain
merupakan satu isu yang amat serius, sebagaimana jelas Imam
Ibnu Abil ‘Izzi ‘Abdis Salam al-Hanafi dalam Syarhul
Aqidah ath-Thahawiyah (jld. 2, ms. 432 & 436):
Ketahuilah –semoga Allah merahmati kamu- bahawa masalah
pengkafiran merupakan masalah yang sangat besar fitnah dan
musibahnya, banyak perpecahan yang terjadi di dalamnya,
berselisihnya hawa nafsu dan pendapat tentangnya dan telah
terjadi pertentangan antara alasan-alasan mereka……
Sesungguhnya sebesar-besar bentuk kejahatan adalah menuduh
individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya dan
tidak akan merahmatinya, bahkan Allah akan mengekalkannya
dalam neraka (kerana yang sedemikian adalah) hukum bagi
orang kafir setelah mati.[31]
Kesimpulannya, sekiranya dalam diri seseorang itu terdapat
beberapa ciri kekafiran, sikap kita bukanlah mengkafirkannya
tetapi berusaha mencari jalan agar dia menghindari ciri-ciri
kekafiran tersebut. Berilah nasihat, tegakkan hujah dan
bukalah ruang untuk dia berfikir dan berusaha mengubah diri
sekalipun hanya secara bertahap-tahap. Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala :
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan
cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang
lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan
Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk.[32]
[1] al-Hujuraat
(49):11
[2]
Sahih
al-Bukhari, Kitab al-Mazhalim, hadis no. 2442.
[3]
Sahih
al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no.
6045.
[4]
Sahih
al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no.
6103.
[5] Dinukil dari
kitab Dr. Khalid bin Ali bin Muhammad al- Anbary,
Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum
Allah? (edisi terjemahan oleh Abu Abdirrahman
al-Salafy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya 2004) ms. 11.
[6] Diriwayatkan
oleh al-Zahabi dalam Siyar ‘Alam al-Nubala`,
jld. 4, ms. 198; dinukil dari kitab Kafirkah
Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum Allah?,
ms. 11.
[7] al-Naml
(27):83-84.
[8] al-Baqarah
(2):34.
[9] al-Fussilat
(41):3-4.
[10] al-Baqarah (2):8.
[11] Dinukil dari
kitab Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili, Manhaj
Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah (edisi
terjemahan oleh Abu Ahmad Syamsuddin, Pustaka
al-Kautsar, Jakarta 2002), ms. 97.
[12]
Kitab
al-‘Aqidah ath-Thahawiyah (edisi terjemahan
terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2001), ms. 530-535.
[13]
Dinukil dari
Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum
Allah?, ms. 96.
[14]
Sahih Sunan
Abu Dawud, Kitab al-Hudud, hadis no.
4402.
[15] Dinukil dari
Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, ms.
117.
[16] al-Ahzab (33):05
[17]
al-Nahl (16):106
[18]
Sahih Muslim,
Kitab al-Taubah, hadis no. 2747. Bermaksud,
orang yang kehilangan kenderaannya sepatutnya
berkata: “Ya Allah, Engkau adalah tuhanku dan aku
adalah hamba-Mu.” Namun oleh kerana terlalu gembira,
dia tersalah sebut sehingga menyatakan Allah sebagai
hambanya. Kesalahan ini diampunkan.
[19]
Dinukil dari
Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, ms.
129.
[20] Dinukil dari
Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, ms.
119. Penulis ingin menarik perhatian para pembaca
sekalian kepada dua nukilan di atas yang membatalkan
salah faham sebahagian umat masa kini yang menuduh
kononnya Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyah amat rakus
menjatuhkan hukum kafir ke atas umat Islam. Yang
benar beliau amat berhati-hati dalam bab ini.
[21] al-Israa’ (17):15
[22] al-Nisaa’ (4):165
[23]
Sahih Sunan
Ibnu Majah, Kitab al-Nikah, hadis no.
1515.
[24] al-Taghaabun
(64):16
[25] al-A’raaf (7):42
[26] al-Nisaa’ (4):94
[27]
Sahih Muslim,
Kitab al-Iman, hadis no. 96.
[28]
Sahih Muslim,
Kitab Al-Imarah, hadis no. 1854.
[29] al-Hujuraat
(49):14
[30] Dinukil dari
Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum
Allah?, ms. 16.
[31] Dinukil dari
Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum
Allah?, ms. 11.
[32] al-Nahl (16):125
Disalin tanpa suntingan dari Himpunan Risalah oleh al Fadhil Hafiz Firdaus Abdullah |
||
Tujuan aku hanya mahu memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. KepadaNya jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.(Hud: 88)
Ahad, 23 Januari 2011
Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah Dalam Isu Takfir.
Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah Dalam Isu Takfir.
2011-01-23T15:20:00+08:00
Ustazthrash
al ahkam|Asas Pengenalan Agama Islam|
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)