بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين
Nabi-nabi 'alaihimus salam adalah beragama ISLAM. Bukan sekadar ajarannya sahaja yang dikaitkan sebagai agama samawi kerana diturunkan daripada langit, malah ia adalah pada nama kerana nama ISLAM ini sememangnya sudah wujud semenjak awal lagi.
Namun ajaran nabi-nabi 'alaihimus salam ini semua ada versinya yang tersendiri yakni yang sesuai untuk kaum masing-masing, walaupun ada antaranya telah dimansukhkan oleh dalil nasikh dari versi Islam yang telah dilengkapkan oleh baginda SAW sebagai utusan Allah yang terakhir untuk sekalian alam. Di mana para nabi a.s adalah seperti sekumpulan pekerja yang membina sebuah bangunan. Di mana semuanya bekerja sesuai mengikut portfolio dan authoriti masing-masing. Dan paling akhir yang ditugaskan menyempurnakan binaan itu adalah nabi Muhammad SAW.
Para Nabi adalah bersaudara dan selain itu mereka juga adalah seagama sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang disepakati kesahihannya oleh Imam Al Bukhari dan Muslim (lihat al Jami'us Shahih). Rasulullah SAW bersabda :
الأنبياء أولاد علات : أمهاتهم شتى ودينهم واحد
Para Nabi memiliki ayah satu, namun ibu mereka berbeza dan agama mereka satu
Jelas sudah bagi yang celik mata hatinya bahawa Para Nabi adalah satu rangkaian utusan yang berkerja untuk agama Islam. Sayugialah dilanjutkan lagi perbahasan ini untuk lebih memahaminya.
Nabi-nabi beragama Islam kerana dinamakan oleh Nabi Ibrahim.
Bahkan beberapa nabi sebelum datangnya Rasulullah SAW menamakan agama mereka dengan sebutan Islam juga. Hujah-hujahnya telah saya sebutkan sebelum ini.
Lihatlah penegasan hujah yang akan didatangkan selepas ini pula sebagai penjelasan yang amat bahawa Islam adalah NAMA yang telah diberi oleh nabi Ibrahim kepada anak cucu baginda. Perkara ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah untuk baginda mengakuinya dan mewariskannya pula (lihat dalil Al Quran yang saya telah saya datangkan sebelum ini). Apa yang jelas adalah wujudnya penamaan Islam oleh nabi Ibrahim a.s sebelum Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah sebagai contoh pelengkapnya (Islam).
Firman Allah :
وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ
عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ
سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ
شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ فَأَقِيمُوا
الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ
فَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرُ
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang
sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan
agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan
susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan
kamu (هو سماكم) : "orang-orang Islam (Muslimiin)" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini,
supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang
memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang
salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta
berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka
(Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan
sebaik-baik Pemberi pertolongan.
( Al Hajj : 78 )
( Al Hajj : 78 )
Nabi Musa juga beragama Islam bukan Yahudi
Firman Allah :
يا قوم إن كنتم آمنتم بالله فعليه توكلوا إن كنتم مسلمين
Berkata Musa : Hai kaumku, jika kamu beriman kepada Allah, maka bertawakkallah kepada-Nya saja, jika kamu benar-benar adalah orang-orang Islam (muslimiin).
Penyihir Fir’aun juga menganut Islam ( baca : bukan Yahudi ) setelah melihat kebesaran Allah melalui mukjizat Nabi Musa a.s.
Firman Allah :
ربنا أفرغ علينا صبرًا وتوفنا مسلمين
Dan kamu tidak menyalahkan kami, melainkan karena kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami. , Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan sebagai orang-orang Islam (muslimiin).
Nabi Sulaiman beragama Islam dan menyeru Ratu Balqis dan seluruh rakyatnya untuk beragama Islam.
Firman Allah :
ألا تعلو عليّ وأتوني مسلمين
Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang Islam (muslimiin) .
Hawariyun; sahabat Nabi Isa juga beragama Islam ( baca : bukan Nasrani / Kristian ).
Firman Allah :
آمنا بالله وأشهد بأنا مسلمون
Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam (muslimun) .
Sekali lagi buat ke sekian kalinya, saya tegaskan semua ajaran yang diterima oleh para nabi dan disebarkan kepada umat masing-masing itu berasal dari Allah SWT jua dengan nama yang sama iaitu Islam. Semua mereka merupakan sebuah rangkaian para penyampai ajaran Islam sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal penulisan ini. Bahkan di dalam petikan ayat-ayat Al-Quran di atas kita membaca dengan jelas penyebutan agama para nabi yakni mereka beragama dengan agama Islam. Sekalipun ia cuma disebut dalam bentuk fa'il (pelaku), ia juga adalah sebahagian isim (nama), maka kerana itu fa'il disebut juga sebagai isim fa'il.
Sekadar mampu, wallahu a'lam