Rabu, 21 Mac 2012

Murtad Dan Hal Yang Bersangkutan Dengannya .

Takrif Murtad

Berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad. Berkata Imam al-Ghazali 'Adapun hakikat riddah ialah pengucapan dengan perkataan kufur secara persendaan atau iktiqad atau engkar, manakala daripada perbuatan ialah menyembah berhala, sujud kepada matahari, demikian juga mencampakkan al-Quran ke tempat kotor dan setiap perbuatan yang jelas menghina agama dan demikian juga ahli sihir dihukum bunuh sekiranya apa yang digunakan untuk sihir itu adalah kufur seperti menyembah matahari atau seumpamanya'.

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad

a) Perkataan
Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 65 dan 66 :
Yang bermaksud : 'Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman..'.

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :
1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (islam) secara darurat seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.
2. Menghalalkan apa yang diharamkan secara ijma".
3. Mengharamkan apa yang dihalalkan secara ijma".
4. Mencela Nabi Muhammad S.A.W atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka.
5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.
6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.
7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

b) Perbuatan
Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada riddah ialah :

1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah S.A.W ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.
2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.
3. Tidak mengamalkan hokum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang.

c) Niat
Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama" bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.
i) Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.
ii) Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.

Masalah

Perkara yang berlaku sekarang itu mungkin disebabkan kejahilan atau perasaan takut dan marah bukan dengan niat si pelakunya untuk murtad, kerana kebiasaannya mereka itu tetap melakukan amalan-amalan Islam walaupun selepas mengucapkan perkataan tersebut. Perkara ini boleh dicontohkan seperti berikut :

i) Seseorang (remaja contohnya) apabila selalu dinasihati dan dimarahi tentu akan merasa tertekan dan marah, oleh itu kemarahannya dilahirkan dengan kata-kata sedemikian rupa bagi mengembirakan perasaannya walaupun hatinya tetap dengan Islam dan perbuatan tersebut dilakukan samada kerana jahil atau kerana tekanan perasaan yang amat sangat.

ii) Seseorang yang ditangkap di atas kesalahan jenayah dalam syara' mungkin juga berada didalam ketakutan atau malu. Oleh itu dia cuba mengelak daripada ditangkap dengan mengaku bukan Islam samada kerana jahil tentang hukum pengakuan tersebut atau tahu tentang hukumnya tetapi dilakukan juga sebagai helah supaya tidak ditangkap, kemudia dia pun mengucap kembali dua kalimah syahadah.

Pertimbangan

Walau apa pun alasan sebab seseorang itu melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad, namun zahir hokum syara' adalah jelas bahawa perkataan dan perbuatan sedemikian boleh membawa kepada riddah yang sangat merbahaya. Akan tetapi untuk menghukum seseorang itu telah murtad kita perlu berhati-hati.

Berkata Syed Sabiq 'Seseorang Islam tidak dikira hukum riddah kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya'.

Berdasarkan Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 106 :
Yang bermaksud : 'Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur'.

Sabda Rasulullah S.A.W :
Yang bermaksud : 'Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan bagi setiap seseorang apa yang diniatkannya'.

Dan kerana hati adalah suatu yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, maka tidak dapat tidak mestilah timbul apa yang jelas menunjukkan kekafirannya dengan Dalil Qat"ie yang tidak boleh ditakwilkan lagi sehingga dinasabkan kepada Imam Malik dimana beliau berkata : yang bermaksud 'Apabila timbul darinya (seseorang) apa yang memungkinkan kufur daripada 99 wajah (cara) dan terdapat apa yang memungkinkan iman dari satu wajah (cara), maka dikira urusannya di atas iman'.

Sabtu, 17 Mac 2012

Buat Keluarga Syuhada

[Sekadar Gambar Hiasan]
Tersebutlah sudah kisah keluarga syuhada ...

Yasir Bin Amir bin Malik dari Yaman asal usulnya
Tiba di Makkah jejaki saudara bersama 2 temannya
Akhir menetap ia dan Abu Huzaifah jadi sahabatnya
Si jariah Sumaiyah Khubath pula dijadikan isterinya

Hiduplah mereka berdua seadanya dengan bahagia
Dikurnia pula mereka dengan si comel riang ria
Ammar namanya diberi, dimanjai dan dikasihi ia
Masa berlalu, bersualah pula Nabi khatamun anbia

Saat itu, marah musyrikin Makkah tak kepalang lagi
Agama Islam sedayanya dihalang puak Quraisyi
Abu Jahal dialah si ketua petualang para pembenci
Islam yang masih lemah dicaci dihina sesuka hati

Memeluklah mereka akan Islam setelah mentafsir
Segala perintah agama ditunaikan walau secara siir
Nah ! akhir terbocor, dizalimi keluarga ini di padang pasir
Diseksa sekeluarga ini dan salah mereka tiada ditaksir

Dikurung diikat Yasir sekeluarga tanpa dikasihani
Dipukul diseksa lalu diperaga oleh yang berjiwa haiwani
Diheret mereka seperti tiada harga oleh si syaithoni
Walau apa terjadi, mereka bertahan demi Islam diyakini

Suasana pilu menikam jiwa, berita mereka luas tersebar
Doa nabi dan janji Jannah buat keluarga yang penyabar
Semangat membara, segala sedih duka mulalah terbakar
Iman mereka dan kaum muslimin semakinlah berkobar

Derita Sumaiyah yang terus diseksa bukan kepalang,
Akhirnya nyawa melayang, ke hadrat Alllah jua ia pulang
Terukir indah kuntum senyuman - kesakitan menghilang
Tergambarkan nikmat yang mula tiba menjelang datang

Kuffar Quraisy melihat geram dan mula rasa hina terpukul
Sumaiyah gugur dengan senyum manis yang tersimpul
Yasir pula terus dijadikan sasaran dendam si pemukul
Tewaslah jua akhirnya Yasir si suami dan bapa yang unggul

Sedang kuffar celaka berpesta nyawa tanpa sedar balasan
Si anak ; Ammar pula dipaksa melihat segala jenis seksaan
Ditabahkan hatinya utnuk menempuh rintangan dan ujian
Setelah dipaksa dan akhir dituruti.. bebaslah Ammar kemudian

Di sisi Rasulullah yang dikasihi, Ammar lebih teguh tegap berdirii
Semua peperangan sertainya dengan jiwa yang amat berani
Dihunus pedang, perkasa menyerbu ke tengah sambil berlari
Kuffar Harbi mula kecut, menikus dan mula menghilangkan diri

Walau setelah Rasulullah telah dijemput Allah ke Jannati
Ammar tetap terus teguh berjuang untuk Islam dan berbakti
Kemudian memimpin pula ia ummat di Kufah seikhlas hati
Segala hal pentadbiran walau sekecil mana sekali tetap diteliti

Pangkat dan harta dilihat ia sebagai barang buruan yang keji
Beramal dan berkerja ia bukanlah kerana mengharap dipuji
Dusta dan zalim akan segera diperanginya sesungguh hati
Itulah ia AMMAR si pewaris pemilik peribadi-peribadi yg terpuji

Namun sebagaimana dikhabarkan oleh Rasul yang bersabada :
[Mafhum] Bahawa Ammar akan dibunuh oleh para penderhaka
Akhirnya, benarlah di usia 93, gugur syahid ia bagai ibuayahnya
Maka bersamalah ia dalam jannnah dan bersama keluarga tercinta

Walllahu a'lam


Lihat juga : Sumayyah Syahidah Pertama Dalam Sejarah

Sumayyah ; Syahidah Pertama Dalam Sejarah

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah syurga”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendoakan keluarga Yasir, “Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka”.

Keluarga yang agung dan mulia ini menghimpunkan segala sisi keutamaan. Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum menebarkan aroma kemuliaan dan ia tersebar dari generasi terawal memeluk Islam sehinggalah ke generasi akhir zaman.

Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik berasal dari Yaman. Beliau datang ke Mekah bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam rangka menjejaki saudaranya. Mereka berdua kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir terus menetap di Mekah. Beliau kemudiannya menjalin persahabatan dengan Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy, yang kemudiannya menikahkannya dengan seorang hamba wanita, Sumayyah bintu Khubath, lalu melahirkan seorang anak lelaki, bernama Ammar. Abu Hudzaifah kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala Yasir dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal dunia.

Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh pelosok Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura. Beliau seorang wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia senja. Namun, beliau memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara dan semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah memulakan dakwah baginda, keluarga Yasir muncul sebagai di antara manusia terawal mengimani risalah Islam dan membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya yang mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita yang sabar dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan beliaulah adalah orang ketujuh yang masuk Islam dan di antara orang terawal yang menampakkan keislamannya. Hal ini disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby Rahimahullah di dalam bukunya, Siyar A’lamin-Nubala’ menerusi riwayat Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu,

Yang pertama sekali menampakkan keIslaman mereka secara terang-terangan ada tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat perlindungan dari bapa saudarany (Abu Talib). Abu Bakar mendapat perlindungan kaumnya. Yang lain-lain pula mengalami penyeksaan yang keras dari orang-orang musyrik, dikenakan baju besi lalu ditelantarkan di bawah terik matahari. Tidak seorang pun dari mereka kecuali harus memenuhi apa yang mereka inginkan, kecuali Bilal. Dia tidak peduli apa yang menimpa dirinya kerana Allah. Dia juga tidak peduli kepada kaumnya. Ketika dia diseksa, kanak-kanak kecil ikut sama mengerumuninya, dan dia hanya mampu mengucapkan, ‘Ahad, ahad, ahad”.

Keluarga Sumayyah turut sama berada di barisan hadapan. Kemarahan kaum Quraisy benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas mereka adalah hembusan kebencian kepada orang-orang yang mengucapkan “Rabb kami adalah Allah”. Penyeksaan-penyeksaan tidak pernah menjadikan kaum Muslimin berundur, malah mereka tetap istiqamah dan terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sementara itu, baginda hanya mampu meniupkan kata-kata semangat dan motivasi keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana tiada seorangpun yang mampu memberikan jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga itu menerima pelbagai jenis penyeksaan dari orang-orang musyrik yang terbakar oleh api dendam dan kebencian terhadap dakwah Islam. Mereka memuaskan keinginan yang gila dengan menyeksa Sumayyah dan keluarganya.  Ibnu Atsir Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya, Usdul Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh Sumayyah dengan berkata, “Dia termasuk orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan dia juga termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat seksaan yang keras kerana Allah”.

KELUARGA YANG SABAR
Tiada yang mampu dilakukan manusia kecuali terkagum terhadap keluarga Yasir, sebuah keluarga yang mulia, yang diberi kemudahan, dan yang mampu menggegarkan para pemimpin kaum musyrikin Mekah. Mereka yang sebelumnya dikenali sebagai orang-orang yang lemah lembut, tidak lagi mempunyai sifat itu tatkala berhadapan dengan kaum kafir yang cuba mengoyakkan keimanan mereka. Bahkan kaum musyrikin hampir hilang akal kerana rasa marah ketika melihat keluarga ini semakin tenang dan mantap, tidak gerun terhadap seksaan, tidak beranjak sedikit pun dari akidah mereka, malah tidak surut kesabaran mereka ketika dijemur di bawah terik matahari dalam keadaan kehausan. Ketegaran keluarga ini membuatkan kaum musyrikin kehairanan, bingung dan semakin berang. Mereka mengheret Ammar bersama kedua ibubapanya ke tengah-tengah padang pasir yang panas sepanasnya, agar mereka keluar dari Islam. Ironinya, keluarga sabar ini sentiasa bertambah keimanan mereka seiring dengan semakin pedihnya seksaan. Mereka semakin pasrah, terutamanya setelah mereka mendengarkan doa memohon pengampunan bagi diri mereka oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Salim Abul-Ja’d meriwayatkan, beliau berkata, “Utsman memanggil beberapa sahabat Rasulullah, di antaranya terdapat Ammar bin Yasir. Ustman berkata, ‘Aku akan menyampaikan kepada kalian hadis tentang Ammar. Aku bersama Rasulullah pergi ke Al-Bathha’ sehingga kami menemui Ammar berserta ibubapanya ketika kaum musyrikin menyeksa mereka. Yasir berkata kepada Rasulullah, “Apakah selamanya aku akan begini?”. Baginda bersabda, “Bersabarlah!”. Kemudian baginda bersabda, “Ya Allah, berilah ampunan kepada keluarga Yasir, kerana Engkau telah berbuat apa yang Engkau Perbuat” . [Ditakhrij oleh Ahmad]

PENENTANGAN SUMAYYAH
Kaum musyrikin Quraisy hampir tidak pernah menghentikan seksaan terhadap Sumayyah dan keluarganya. Selepas suaminya meninggal dunia akibat penyeksaan, Sumayyah semakin menentang dan memberikan reaksi keras terhadap Bani Al-Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang dipelopori oleh Abu Jahal. Dia layaknya orang yang tidak waras dan tidak berperasaan ketika berhadapan dengan  ketegaran Sumayyah mempertahankan akidahnya. Baginya, kedegilan Sumayyah ialah perlecehan terhadap dirinya. Sumayyah telah berjaya mencarik-carik kebesaran nama Abu Jahal di kalangan kaum musyrikin kerana kesabarannya terhadap kerasnya seksaan. Hati Abu Jahal hampir saja meledak kerana Sumayyah tidak mahu memperolok-olokkan dan mengeji nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, walau dengan hanya satu kata seperti yang dipaksakan Abu Jahal kepadanya.

Abu Jahal (semoga Allah menghinakannya), tidak membiarkan satu pun sarana untuk menghalangi manusia dari jalan Allah, melainkan dia akan menggunakannya. Dia tidak mendapatkan satu jalan pun untuk menekan orang-orang Mukmin, melainkan dia akan melaluinya. Ibnu Ishaq Rahimahullah, menyampaikan satu gambaran yang jelas tentang hal ini, dengan berkata,

Abu Jahal, orang jahat yang terperdaya di tengah-tengah kaum Quraisy, jika mendengar berita seseorang masuk Islam, dan orang itu adalah orang yang terpandang dan mendapat jaminan perlindungan,maka dia hanya akan mengingatkannya dan menegurnya dengan berkata, ‘Kau tinggalkan agama bapamu, padahal bapa-bapamu adalah lebih baik darimu. Kami benar-benar akan mengalahkan pendapatmu dan benar-benar akan menghinakan kehormatanmu.’

Jika yang dihadapinya adalah seorang pedagang, maka dia akan berkata 'Demi Tuhan, kami benar-benar akan membuatkan kamu rugi dalam perniagaanmu, dan kami benar-benar akan menghancurkan harta bendamu'. Jika yang dihadapinya adalah orang yang lemah, maka dia akan memukul dan menyeksanya semahu-mahunya. Semoga Allah melaknat dan memburukkannya

SYAHIDAH PERTAMA
Sumayyah Radiallahu Anha adalah wanita pertama yang menampakkan keIslamannya, di samping menjadi syahid pertama yang mengorbankan dirinya di jalan Allah. Dalam peristiwa kesyahidannya itu, terkandung pelajaran-pelajaran berharga bagi sesiapa yang memiliki hati atau mempunyai pendengaran. Beliau menjadi sosok syahid yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat sabar kepada para generasi seterusnya.

Setelah suaminya, Yasir meninggal dunia kerana penyeksaan yang sangat berat, Sumayyah Radiallahu Anha diserahkan pula oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal, sehingga si jahat itu dapat menyeksa dengan segala cara yang diinginkannya disamping mengejek-ejek diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sejuta sumpah seranah dan umpat keji. Suatu petang, Abu Jahal bersikap keras kepada Sumyyah, kemudian berkata kepadanya, “Engkau tidak beriman kepada Muhammad melainkan kerana engkau tergila-gila kepada ketampanannya”.

Apa pula reaksi Sumayyah? Beliau memberikan jawapan yang tidak kalah kerasnya, lantaran kemarahannya yang tidak tertahan dengan tuduhan Abu Jahal itu. Keangkuhan Abu Jahal terbukti apabila beliau menikamkan tombak ke tubuh Sumayyah sehingga menyebabkan Sumayyah meninggal dunia sebagai syahid, rohnya naik kepada Penciptanya dalam keadaan redha dan diredhai, kerana telah memberikan kesaksian tidak berbelahbagi bahawa tiada Ilah selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul Allah.

Mujahid Rahimahullah berkata, “Syahid yang pertama di dalam Islam ialah ibu Ammar, Sumayyah yang ditikam Abu Jahal dengan menggunakan tombak, tepat di ulu hatinya” .(Al-Bidayah Wan-Nihayah, 3/59)

Ibnul Jauzy Rahimahullah berkata,” Dia adalah syahid pertama di dalam Islam. Semoga Allah redha kepadanya sebagaimana Allah membuatkannya redha”.

IBNU SUMAYYAH
Sumayyah, nama ini dan sahabiyah ini tetap hidup abadi menebarkan keharuman setelah mati syahid dan beruntung telah meraih keredhaan Allah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terbiasa memanggil anaknya Ammar, dengan sebutan “Ibnu Sumayyah”. Maka, tidak dapat lagi dimungkiri bahawa panggilan yang diberkahi ini merupakan penghormatan terhadap sahabiyah yang sabar dan baik ini. Panggilan itulah yang lebih sering meluncur dari lisan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia.

Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu pernah berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, ‘Jika manusia saling berselisih, maka Ibnu Sumayyah berada pada kebenaran”. (Kisah ini disebutkan di dalam Siyar A’lamin-Nubala, 1/415-416; Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 3/575)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga sering menyebutkan nama Sumayyah dengan keutamaan dan kebaikan. Sewaktu Perang Badar, baginda menyampaikan khabar gembira bagi “orang baik yang mendapat kebaikan”. (Julukan untuk Ammar, kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda kepadanya, ‘Selamat datang wahai orang baik yang mendapat kebaikan’). Di dalamnya disebutkan juga nama Sumayyah. Peristiwa ini dikisahkan ketika musuh Allah, Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar. Ketika itu Rasulullah menggembirakan Ammar dengan berkata “Allah telah membunuh orang yang membunuh ibumu”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mendoakan untuk Sumayyah dan keluarganya dengan doa yang diberkahi ketika Ammar mendatangi Rasulullah mengadu seksaan yang dihadapi oleh ibubapanya termasuk dirinya sendiri. Beliau berkata, “Wahai Rasulullah, kami mendapatkan seksaan yang sangat keras”. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Bersabarlah wahai Abul Yaqzhan (julukan lain bagi Ammar). Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka” (Al-Isti’ab, 4/325; As-Sirah Al-Halabiyah, 1/484)

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Inilah kisah sahabiyah yang sabar, yang disajikan sirahnya sebagai wanita yang teguh hati pada kebenaran dan keimanan, sehingga menjadi pelopor di dalam perjuangan Islam sepanjang zaman. Ibnu Abdil-Barr Rahimahullah memuji Sumayyah dengan berkata, “Dia termasuklah orang yang diseksa kerana Allah, dan sabar di dalam menghadapi seksaan. Dia termasuklah wanita yang berbaiat, baik dan terutama” (Al-Isti’ab, 4/324)

Semoga Allah merahmati Sumayyah ibu Ammar, wanita dan orang pertama yang mati syahid di dalam Islam, ibu orang yang pertama membangun masjid dan digunakan untuk solat. Kesejahteraan bagi keluarga Yasir, kesejahteraan ke atas kalian kerana kesabaran kalian dan sesungguhnya kalian akan mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Terimalah khabar yang baik wahai keluarga Ammar, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga” (Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang disampaikan oleh Ustman Al-Affan. Dipetik dari Thabaqat Ibnu Sa’ad, 3/249; Majma’ Az-Zawaid, 9/293; Tarikhul Islam Adz-Zahaby, 3/572)

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah telah memberi dari orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang kerana Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kalian lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar” (At-Taubah: 111)

Sumayyah bintu Khubath Radiallahu Anha termasuk sejumlah wanita yang terawal menerima Islam dan bersegera memenuhi janji Allah serta membenarkan apa yang telah dijanjikan Allah kepada kaum Muslimin, sehingga beliau berhak mendapat khabar gembira sebagai orang yang dijanjikan syurga. Bagaimana pula dengan kita sebagai kaum muslimah akhir zaman? Semoga kisah ini menjadi obor penyuluh dan menyemarakkan lagi semangat kita dalam mendakwahkan agama Allah ini sehingga tiba janji Allah yang seterusnya, "akan berdiri semula kekhilafahan di atas manhaj kenabian" [HR Ahmad]

Rabu, 14 Mac 2012

Doa Khatam Qur'an Bukan Amalan Rasul ?

       بســـم الله الـرحمـن الـرحـــيم       
Segala puji-pujian kepada Allaah, Rabb sekalian alam. Salam dan Selawat ke atas Rasulullah, dan keluarga serta para sahabat baginda, tabien juga atha tabien; dan ke atas sekalian orang yang berusaha untuk mengikuti dan mempratikkan segala ajaran dan menjauhkan segala larangan baginda SAW. Firman Allah :
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
[Al Baqarah 2 :129 ]

Syok membaca satu soal jawab, maka 'UM kongsikannya di sini. Semoga kalian boleh tumpang zauq ilmu dalam Islam yang luas ini dan semoga ia menjadi manfaat buat kita semua, insyaAllah.
Persoalan khatam Quran dalam solat jarang muncul di negara kita .. Kenapa?

Pertanyaan :
Saya mohon anda mengirimkan doa (setelah) mengkhatamkan Al-Qur’an yang terdapat riwayatnya dalam sunnah nabawiyah.

Jawaban :
Alhamdulillah.

Tidak ada dalam sunnah nabawiyah  suatu doa khusus setelah menghatamkan Al-Qu’an, bahkan tiada juga daripada para shahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau para Imam yang terkenal. Apa yang banyak tertulis di akhir mushaf yang disandarkan kepada Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, tidak ada dalilnya. Silakan lihat Fatawa Syeikh Ibnu Utsaimin, 14/226.

Doa setelah mengkhatamkan Al-Qur’an boleh dilakukan setelah mengkhatamkannya, sama ada dalam solat atau di luar solat. Namun doa setelah mengkhatamkannya dalam solat tiada asalnya. Manakala yang di luar solat, terdapat riwayat tentang perbuatan Anas radhiallahu’anhu.

Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah pernah ditanya: “Apa hukumnya berdoa setelah mengkhatamkan Al-Qur’an dalam qiyamul lail di bulan Ramadan?”

Beliau menjawab: “Saya tidak mengetahui adanya sunnah daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengenai doa setelah mengkhatamkan Al-Qur’an dalam qiyamul lail di bulan Ramadan. Tidak juga dari para sahabat (r.anhum). Yang paling hampir dalam masalah ini adalah riwayat Anas bin Malik ketika beliau mengkhatamkan Al-Qur’an, maka beliau mengumpulkan keluarganya dan berdoa. Dan ini dilakukan di luar solat.” (Fatawa Arkanul Islam, hal. 354)

Syeikh Bakr Abu Zaid juga mempunyai tulisan yang bermanfaat dalam masalah ini. Pada penutupan penulisannya, beliau berkata: “Dari keseluruhan huraian dalam dua bab terdahulu, kita tiba pada penutupan dalam dua pembahasan.

Pembahasan pertama : Tentang doa khatam Al-Qur’an secara mutlak. Kesimpulan dalam hal ini adalah sebagai berikut;

Pertama, bahawa berbagai riwayat marfu (hadis yang rangkaian sanadnya sampai kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam) dalam masalah doa secara umum untuk mengkhatamkan Al-Qur’an, tidak ada satupun yang shahih dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Yang ada, hanyalah riwayat maudhu (palsu) atau lemah yang tidak mungkin terangkat darjatnya. Bahkan hampir dipastikan tidak ada satupun riwayat yang dapat dijadikan sandaran dalam bab ini secara marfu. Kerana semua ulama yang mengumpulkan riwayat-riwayat tersebut dan menulisnya dalam bab ilmu Al-Qur’an dan zikir, seperti Imam An-Nawawi, Ibnu Katsir, Al-Qurtuby dan As-Suyuthi, redaksi yang mereka sebutkan umumnya tidak berbeza dari apa yang telah disebutkan. Kalau saja mereka semua mempunyai sanad yang lebih baik, nescaya akan mereka sebutkan.

Kedua, riwayat yang shahih tentang doa khatam Al-Qur’an adalah perbuatan Anas bin Malik radhiallahu’anhu. Dimana beliau mengumpulkan keluarga dan anaknya untuk -tujuan- itu, dan perbuatan beliau tersebut kemudiannya diikuti pula oleh sejumlah tabi'in. Sebagaimana dinyatakan dalam riwayat Mujahid bin Jabr rahimahumullah ajma’in (semoga Allah merahmati mereka semua)

Ketiga, tidak didapatkan sedikitpun teks yang bersumber dari dua imam; Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi'i yang menyatakan disyariatkannya hal tersebut, rahimahumullah ta’ala. Justeru riwayat yang ada dari Imam Malik rahimahullah adalah bahawa hal itu bukan amalan masyarakat (Madinah saat itu), dan sesungguhnya khatam (Al-Qur’an) bukan sunnah dalam qiyam Ramadan.

Keempat, anjuran doa khatam (Al-Qur’an) diriwayatkan Imam Ahmad rahimahullah ta’ala sebagaimana yang dikutip oleh para ulama kami dari mazhab Hanbali. Hal inipun dikuatkan sebagian ulama masa berikutnya dari ketiga mazhab.

Pembahasan kedua : Tentang doa khatam (Al-Qur’an) dalam solat. Kesimpulannya adalah sebagai berikut:

Pertama: Bahawa tiada satu huruf pun yang diriwayatkan tadi dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau dari salah seorang sahabat radhiallahu’anhum, yang menunjukkan disyariatkannya berdoa dalam solat setelah khatam (Al-Qur’an) sebelum ruku atau setelahnya, baik untuk Imam maupun sendiri.

Kedua: Bahawa maksimal yang ada dalam bab ini adalah apa yang disebutkan oleh para ulamak mazhab (Hambali) yang diriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullah ta’ala dalam riwayat Hanbal, Fadl dan Harby –yang tidak dapat kami ketahui sanadnya- yang menjadikan doa khatam (Al-Qur’an) dalam shalat Taraweh sebelum ruku'. Dalam riwayat lain darinya –yang juga tidak diketahui siapa yang meriwayatkannya- bahwa beliau membolehkan hal tersebut dalam doa witir. (Silakan lihat 'Marwiyyat Doa Khatmi Al-Qur’an')...
Wallahu ‘alam.

Silakan juga lihat : Cara Rasulullah SAW dan Para Sahabat R.Anhum Khatam al Qur'an

Jumaat, 2 Mac 2012

Cara Rasulullah SAW Dan Para Sahabat Khatam Al Quran. Dan Cara KITA ??

Soal :
Assalamualaikum akhi, maaf ganggu.. nak tanya sikit..
Bagaimanakah cara-cara Rasulullah SAW khatam Al Quran ??

WFN.

Jawab :
Wa'alaikumussalam wbrt ya ukhti al karimah.  
Sekadar mampu,

ٌRasulullah SAW membahagi isi Al-Qur`an menjadi tujuh bahagian (di mana setiap harinya baginda membaca satu bahagian tersebut), sehingga baginda mengkhatamkan Al-Qur’an sekali dalam seminggu.

Aus bin Huzaifah -rahimahullah- berkata: Aku bertanya kepada para sahabat Rasulullah -shallallahu alaihi wasallam-, “Bagaimana caranya kalian membahagi Al Qur`an untuk dibaca setiap hari?”

Mereka menjawab:


 نُحَزِّبُهُ ثَلَاثَ سُوَرٍ وَخَمْسَ سُوَرٍ وَسَبْعَ سُوَرٍ وَتِسْعَ سُوَرٍ وَإِحْدَى عَشْرَةَ سُورَةً وَثَلَاثَ عَشْرَةَ سُورَةً وَحِزْبَ الْمُفَصَّلِ مِنْ قَافْ حَتَّى يُخْتَمَ

“Kami membaginya menjadi (tujuh bagian yakni) :
Tiga surah, lima surah, tujuh surah, sembilan surah, sebelas surah, tiga belas surah dan hizb al Mufashshal ; iaitu dari surah Qaf sampai akhir (mushaf).”
(HR. Ahmad, no. 15578).

Rasulullah SAW mengkhatamkan al Qur'an adalah dengan membaca daripada al Fatihah sehingga ke surah an Naas kemudian terus disambung ulang kembali al Fatihah sehingga ayat ke 5 surah al Baqarah. Kaedah ini sebut oleh baginda SAW sebagai al-Hal wa al-Murtahil.

أن رجلاً قال : يارسول الله أي الأعمال أفضل؟ قال: الحال المرتحل. قال: يارسول الله، وما الحال المرتحل؟ قال: يضرب من أول القرآن إلى آخره ومن آخره إلى أوله

Seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah s.a.w., apakah amalan yang lebih afdhal ? Sabda Baginda SAW : Al Hal wa al Murtahil”. Kata lelaki itu : “Apakah itu al-Hal wa al-Murtahil?”. Jawab Nabi SAW : “Membaca dari awal al-Quran sehingga akhirnya, dan dari akhirnya hingga awalnya”  [ HR. at Tirmizi ]

Sesetengahnya (para muhaddithiin) mengatakan bahawa hadis ini adalah dhaif. Walaupun begitu al Mubarakfuri di dalam Syarah Tirmizi (
سنن الترمذي » كتاب القراءات ) melaporkan sebuah hadis yang sama matannya, namun daripada jalur yang berbeza yakni daripada riwayat Ibnu Abbas sebagai dalil bahawa ianya adalah amalan sunat.

Dan ianya juga adalah merupakan amalan ahli Mekah.

Maksud al Hal wa al Murtahil ini juga adalah telah diterangkan oleh al Imam as Suyuthi  :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا قرأ قل أعوذ برب الناس افتتح من الحمد ثم قرأ من البقرة إلى أولئك هم المفلحون

Adalah Nabi SAW ketikamana telah membaca sampai Qul a'uzu biRabbinnaas (surah an Nas), dibuka kembali (diulang baca) daripada al Hamdu (al Fatihah), kemudian Nabi s.a.w. membaca daripada al-Baqarah sampai kepada ulaaaa-ika humul muflihuun (al Baqarah, ayat ke 5).
( الإتقان)
Jelasnya kaedah Rasulullah adalah 'khatam-sambung' yakni tidak berhenti walaupun setelah menamatkan 30 juz bacaan atau dalam ertikata lainnya tidak mengakhiri bacaan pada surah an Naas seperti yang difahami kebanyakan, bahkan ini adalah suatu sunnah dan kaedah bacaan Rasulullah yang lebih afdhal untuk diikuti. 

Khatam dan berdoa disebut di dalam al Itqaan adalah dengan tidak menyebut secara panjang lebar. Sedang perlakuan membaca doa ini adalah daripada salah seorang sahabat iaitu Anas r.a yang juga salah seorang penulis wahyu mengumpulkan ahli keluarganya dan membaca doa setiap kali beliau khatam al Quran.
(حديث موقوف) أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَبَّاسِ بْنِ حَيَّوَيْهِ ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ صَاعِدٍ ، حَدَّثَنَا بِسْطَامُ بْنُ الْفَضْلِ أَخُو عَارِمٍ ، حَدَّثَنَا أَبُو قُتَيْبَةَ ، حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ أَبِي الْحَزْمِ ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ ، أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَبَّاسِ بْنِ حَيَّوَيْهِ ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ صَاعِدٍ ، حَدَّثَنَا بِسْطَامُ بْنُ الْفَضْلِ أَخُو عَارِمٍ ، حَدَّثَنَا أَبُو قُتَيْبَةَ ، حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ أَبِي الْحَزْمِ ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : " كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ مِنْ أَوَّلِهِ إِلَى آخِرِهِ فِي الْفَرَائِضِ حَتَّى يَخْتِمُوهُ "
Apapun sememangnya dalam Islam tiada majlis khusus khatam al Qur'an. apa yang dinyatakan di atas hanyalah amalan peribadi oleh Anas r.a bersama keluarga. Jika anda mahu melakukannya tidak salah.

Oleh itu jelaslah bahawa baginda SAW tidaklah pernah melakukan majlis khatam al Quran, membaca doa setiap kali khatam pula adalah amalan Anas. Tiadalah jua golongan para salafussoleh melakukan majlis kenduri khatam sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita suatu ketika dahulu. Namun pada pada pandangan saya sebagai yang terlibat dalam mendidik anak-anak setempat dalam mempelajari al Quran, sukalah saya berpesan jika ada yang memiliki lebihan peruntukan dan mahu membuat majlis kenduri khatam al Quran atas rasa kesyukuran mungkin. Maka sebaiknya terlebih dahulu ia memuliakan syariat Islam itu sendiri dengan mengutamakan apa yang lebih diutamakan oleh al Quran itu sendiri yakni dengan melakukan infaq fi sabilillah bukannya dengan mengeluarkan perbelanjaan untuk melakukan kenduri khatam al Quran dengan pulut kuning dan sebagainya. Apatah lagi jika kenduri itu hanyalah sekadar menjamu orang yang kebanyakannya adalah daripada golongan yang 'cukup makan'. Dalam erti kata yang lainnya gunakanlah peruntukan tersebut untuk kebaikan para fakir yang memiliki kemampuan atau kepandaian dalam membaca al Quran untuk mendalami al Quran itu sendiri

وإعانة الفقراء بالإطعام في شهر رمضان ، هو من سنن الإسلام . فقد قال النبي صلى الله عليه وسلم : من فطر صائماً فله مثل أجره . وإعطاء فقراء القراء ما يستعينون به على القرآن عمل صالح في كل وقت ، ومن أعانهم على ذلك كان شريكهم في الأجر.   -
مجموع فتاوى ابن تيمية - 25/298

Membantu orang fakir dengan memberi makanan pada bulan Ramadan, adalah termasuk sunnah dalam Islam. Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda :

"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka kepada orang puasa, maka dia akan mendapatkan pahala sepertinya (orang yang berpuasa)".

Memberikan bantuan kepada para fakir yang pandai membaca Al-Quran dengan sesuatu yang boleh membantunya dalam mendalami Al-Qur’an adalah termasuk amalan sholih setiap waktu. Barangsiapa yang memberikan bantuan sedemikian itu, maka dia bersama-sama mendapatkan pahalanya. [Majmu' Fatawa Ibnu Taimiyah - 25/298]

Sekadar mampu .. Wallahu a'lam