Isnin, 13 Februari 2012

Hukum Berniaga Di Kawasan Larangan Dan Hasil Pendapatan .

Soalan :

Ustaz, ada orang tanya -
Apa hukumnya jika berniaga di tepi jalan sedangkan pihak bandaran telah melarang sama sekali berniaga di kawasan tersebut ? Bagaimana pula hasil dari perniagaan tersebut?

Mohd Fauzi Zakariya.

Jawaban :

Firman Allah :

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأَرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (Al Mulk : 15)

Kekeliruan dalam hal ini berlaku apabila ada segolongan yang berhujah bahawa tanah yang tidak dimiliki adalah milik siapa yang mengusahakannya ...

Tanpa Prejudis - Memang secara asasnya adalah harus membina premis, bercucuk tanam atau lain-lain di atas tanah yang mati yakni tidak memiliki pemilik.
حديث سعيد بن زيد :  من أحيا أرضا ميتة فهي له ، وليس لعرق ظالم حق

Sabda Nabi SAW : Sesiapa menghidupkan tanah mati (yakni tanah yang tidak berpemilik), tanah itu miliknya. Tidak ada sebarang hak bagi orang yang membina/menanam secara zalim (di atas tanah orang lain). [HR Imam at Tirmizi]

Manakala perniagaan pula adalah suatu usaha yang amat dianjurkan Rasullah saw kepada umat baginda. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :
“9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” [HR Imam at Tirmizi]

Namun diingatkan berniaga di atas kawasan yang telah dimajukan, dimiliki atau dikuasai oleh orang lain atau Majlis Perbandaran dll semestinya memerlu keizinan terlebih dahulu. Larangan oleh Majlis Perbandaran adalah wajib untuk diikuti kerana garis panduan atau undang-undang kecil yang ditetapkan adalah berkait dengan usaha mencapai mashalih (kebaikan) dan menghalang berlakunya mafsadat (keburukan) sebagaimana tuntutan Islam itu sendiri. Hal berkaitan sesuatu yang kelihatan asalnya adalah harus namun boleh menyumbang kepada keburukan adalah diperbahaskan melalui kaedah saddul-zara'ie (menutup pintu-pintu keburukan); sebagai contoh :

KAWASAN LARANGAN BERNIAGA ( PENIAGA KECIL ) MAJLIS PERBANDARAN KULIM

Peruntukan Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja Dan Gerai

1.Tidak dibenarkan penjaja menjalankan perniagaan dalam lingkungan 9 meter dari sesuatu simpang jalan.
2. Jarak perniagaan mestilah dalam lingkungan 36 decimeter dari pili bomba
3. Dilarang menjalankan perniagaan di atas tangga kaki lima atau siar kaki awam.
4. Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di dalam mana-mana tempat letak kereta atau motosikal awam.
5. Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di mana-mana kawasan yang difikir boleh menimbulkan masalah gangguan kepada lalu lintas dan pejalan kaki.
6. Dilarang berniaga di kawasan sekitar mana-mana Sekolah, Hospital, Pasar Awam atau Kawasan (yang dirasakan perlu?).
7. Jarak perniagaan haruslah berada dalam (di luar?) kawasan 40 meter dari Perhentian Bas,Stesen Bas dan Perhentian Teksi.
8. Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di semua kawasan pejabat kerajaan.
9. Dilarang menjalankan perniagaan di mana-mana jalan awam yang ditentukan oleh yang dipertua.
10. Dilarang menjalankan perniagaan di semua Jalan Protokol, Jalan Utama serta Jalan Bandaran.

Berdasarkan pengamatan jika dikaji lagi, kawasan larangan meniaga yang termaktub dalam hal ini jelas adalah suatu usaha untuk mengelakkan keburukan yang akan berlaku apabila ianya tidak dipatuhi. Maka secara kesimpulannya, seseorang peniaga dikira berdosa kerana menjalankan perniagaan di atas kawasan yang diuruskan kerajaan tempatan melalui Majlis Perbandaran tanpa kebenaran. Ini kerana ia membina bangunan (sementara, separuh kekal atau kekal) di atas tapak tersebut tanpa kebenarannya bererti telah dalam menceroboh dan merampas hak keselamatan orang lain.

Oleh itu wajib dikosongkan tempat perniagaan tersebut sebagai langkah menyokong dan membantu usaha untuk mengelakkan kemafsadatan daripada berlaku. Atau memohon keizinan serta rayuan untuk terus berniaga di situ jika peniaga terbabit memahami secara yakin bahawa tapak perniagaannya adalah tidak menyalahi apa yang digariskan sebagai KAWASAN LARANGAN BERNIAGA.

Berkenaan hasilnya perniagaanya (atau perkhidmatan) di atas tapak yang tidak dibenarkan berniaga pula adalah tetap halal menurut syara' jika dia berniaga maka pendapatan yang terhasil darinya juga halal.

Jika haram maka pastinya tidak lahirlah kata-kata kata Imam al-Khattabi dalam mesyarahkan hadis Said bin Zaid di atas, yang berbunyi ;

"Maksud hadis ini ialah seorang lelaki menanam pokok di atas tanah yang bukan tanahnya tanpa keizinan tuan tanah atau dia membina suatu binaan di atas tanah orang lain tanpa izin tuannya, maka ia diperintahkan supaya mencabutnya kecualilah jika tuan tanah meredhainya, maka dibiarkan" ['Aunul-Ma'bud, Syarah Sunan Abi Daud].

Namun hasil itu jadi haram jika ianya diperolehi dengan melakukan perkhidmatan atau penjualan barang yang haram.

Ini kerana mengikut kaedah fiqh :
الحكم بالوصيلة حكم بالمقاصد
Hukum bagi wasilah adalah hukum dari maksud

Kaedah di atas ini lahir dari kaedah fiqh :
ما حرم استعماله حرم اتخاذه
Yang haram penggunaannya, haram pula memperolehinya
[Muhamamd al-Zarqa’, Syarah Qawaid / 389]

Apapun berhati-hatilah kerana di sana adanya amaran daripada Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wassallam.

Dari Khaula Al-Ansariah Radiallahuanha ia berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bahawasanya orang yang mencampur adukkan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat kelak.
[HR Al Imam Al Bukhari]
--------------------------

Rezeki Allah ada di mana-mana saja, carilah ia dan pasti didapati. Setiap usaha itu ada ujiannya sebelum berjaya. Justeru itu biarlah kita bersikap berpada dengan yang sedikit asalkan diredhai Allah dan juga sebagai tanda hamba yang mensyukuri nikmatNya. Sesungguhnya bermula dengan sikap ini, maka Allah akan menambahkan lagi rezeki kepada kita.

Firman Allah yang bermaksud : “Jika engkau bersyukur atas nikmat-Ku, nescaya akan Aku tambah. Dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya ahli perniagaan di akhirat nanti akan dibangkitkan sama seperti pelacur dan penipu. Kecuali ahli perniagaan yang bertakwa kepada Allah, menepati janji dan jujur. [HR Ibnu Majah dan Ibnu Hibban]

Maka sayugialah peniaga Muslim tidak hanya memikirkan keuntungan semata tanpa memikirkan akibatnya kepada orang lain. Sesungguhnya darjat para peniaga Muslim yang beretika dalam perniagaannya di dalam Islam adalah sangat mulia.

Daripada Abi Sahid daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, baginda telah bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid. [HR Al Imam At Tarmizi]

Dalam suatu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda : Ahli perniagaan Muslim yang amanah dan jujur di hari akhirat akan berkumpul di dalam syurga bersama para syuhada (orang mati syahid). [HR Hakim dan Ibnu Majah]


Sekadar mampu. Silalah merujuk lagi ... Wallahu a'lam.

'UM