Sabtu, 25 Oktober 2008

HUKUM DUDUK DI ATAS KUBURAN!

Jumhur ulama berpendapat bahawa duduk di atas kuburan hukumnya haram, duduk yang macam mana? ikuti perbahasan di bawah

Aku akui tajuk di atas adalah perkara khilafiah dan telah dibahaskan oleh para ulamak secara tertib mengikut methodologi masing-masing dan aku akui jua qawa'id fiqh yang menyatakan sesuatu ijtihad tidak boleh ditolak dengan adanya ijtihad yang lain (al-ijithad la yunqidhu bil ijtihad).

Akan tetapi aku dengan segenap kekuatan akan cuba membawa hujah-hujah yang ada supaya kaum Muslimin lebih berkeyakinan untuk mengeluarkan diri mereka dari perselisihan dengan mengambil pendapat terkuat untuk dijadikan pegangan sebagai langkah selamat dengan berhati-hati (ihtiyaati) & untuk memberi kesedaran bahawa ini adalah perkara yang jelas mengikut jumhur.

Aku tidak sekali-kali menganggap salah satu pendapat yang dikeluarkan adalah mungkar!! Menurut al- Qardhawi haram atas orang Islam itu mencegah bukan atas perkara yang disepakati oleh Imam-Imam Islam. lihat perbahasan tentang mencegah kemungkaran dalam blog aku di http://ustazthrash.blogspot.com/2008/09/antara-cara-mencegah-kemungkaran-wajib.html

Alangkah lebih Hairan bin Ajaib bin Aneh bin Mustahil bila ada seorang ustaz (?) dari Sg. Petani mengatakan "larangan duduk di atas kubur telah di mansukhkan mengikut pengajian yang bersandar kepada kitab al-Muwattha', barangsiapa yang tidak mengetahui perkara ini maka ia adalah orang yang tidak pernah membacanya" sangat menghairankan lagi kerana dalam kitab al-Muwattha' (terbitan al maktabah at Taufiqiah) yang aku miliki tidak ada menyebutnya pula tentang mansukhnya hadith tentang duduk atas kuburan. Mungkin juga kerana aku mengaji celang celup atau mungkinkah ada al-Muwattha' versi lain yang belum aku ketahui? Walau apa sekalipun aku mesti cari hadith yang menjadi hadith nasikh kepada larangan ini dalam al-Muwattha' sekiranya ada.


Al-Muwattha' yang ada dalam tangan aku, adalah satu-satunya kitab yang dikarang & hasil anugerah Allah atas usaha abu Abdullah Malik bin Anas R.A (Imam Malik) yang dikenali sebagai Imam ahlul Hadith - pencetus kepada mazhab Maliki. Asalnya 10,000 hadith di masukkan ke dalam al-Muwattha' tersebut. Tetapi oleh kerana telitinya Imam Malik dalam bab hadith maka disusun atur dan di edit berulang kali sehingga dibukukan dengan jumlah 500 hadith sahaja dalam tempoh amat lama iaitu 40 tahun. Sebenarnya Imam Malik menghafal sebanyak 100,000 hadith & beliau mampu menghafal 30 hadith yang didengari dalam waktu yang singkat. Imam As Syafie -mazhab Syafi'e juga menghafal al-Muwattha' secara keseluruhan ketika kanak-kanak dan pernah mengajarkannya dengan ijazah Imam Malik sendiri.

Jadi perkara ini seharusnya diperbahaskan secara ilmiah maka benarlah cara ustaz (?) tersebut kiranya ia mahu membuktikannya dengan membawa kitab al-Muwattha' yang dimilikinya sebagai hujah .. tunggu dan lihat.

Kata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah :
"Andaikata sesuatu dakwaan tidak memerlukan bukti, maka hancurlah neraca kebenaran."

Perkara yang perlu diingat : Al Quran sahaja kitab yang tidak memiliki kesilapan sama sekali.

Sebelum dia buktikan dengan al-Muwattha' maka aku nak belek al-Muwattha' yg ada padaku, lihat "babil wuqufi lil janaa-izi wal-juluusi alal maqaabir" hal 150, jil 1 yang cuma ada 3 hadith (hadith no 34 mengenai duduk atas kubur, hadith no 33&35 adalah mengenai duduk ketika adanya jenazah) dari kitab al-Janaa-iz.

Imam Malik rahimahullah berpendapat bahwa duduk yang dimaksud dalam hadits adalah duduk untuk buang hajat. Beliau berkata dalam kitabnya, "Sesungguhnya larangan duduk di atas kubur -menurut kami- bila untuk buang hajat."

Tiada langsung hadith nasikh disebut untuk memansukhkan hadith larangan duduk di atas kubur melainkan beliau menyatakan tentang pendapat beliau sebab tidak diperbolehkan dengan tujuan buang hajat. Bagaimana ustaz (?) tersebut menyatakan bahawa hadith tentang larangan tersebut telah dimansukhkan?.

Sepegetahuanku tentang nasikh mansukh yang wujud dalam bab kuburan ini adalah larangan amalan menziarahi kubur pada awal penyebaran Islam telah disyariatkan bagi mengelakkan sebarang kepercayaan atau amalan-amalan karut yang diamalkan semasa zaman Jahiliah dilakukan semasa menziarahi kubur. Tetapi, setelah asas pemahaman akidah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w, larangan ini telah dihapuskan (mansukh) dengan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Daripada Ali r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur (mansukh), maka sekarang ziarahilah kubur kerana (padanya ada pengajaran) ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat (nasikh)”. (riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

Ibnu Hazm mengesahkan pendapat Imam Malik dengan berkata dalam kitab al-Muhallaa (V/136), "Sebagian orang membolehkan duduk di atas kubur, mereka membawakan larangan tersebut bagi yang duduk untuk buang hajat.

Aku tidak menemui takwilan tentang hanya haram apabila duduk di atas kuburan kerana membuang hajat ini didokong oleh mana-mana dalil serta aku melihat kecenderungan pendapat ini telah memesongkan maksud hadith yang asal.

Disini aku perturunkan juga pendapat Imam as-Syafie (ceritanya dan alimnya ia tentang al-Muwattha' telah disebut di atas), menurut kata di dalam kitabnya al-'umm : "Aku menganggap makruh hukumnya menginjak kubur, duduk atau bersandar di atasnya, kecuali bila seseorang tidak menemukan jalan lain ke kubur yang ditujunya melainkan dengan menginjaknya. Kondisi tersebut adalah darurat, aku harap ia mendapat kemaafan, insya Allah."

Sebagai jawapan kepada pendapat-pendapat ini, maka perhatikan hadith yang akan menyusul, yang mana tulisannya berwarna merah, hadith tersebut jelas menyatakan bahawa yang terlebih dahulu terbakar adalah pakaian kemudian baru menyentuh kulit. Mungkin susunan lafaz hadith ini terlepas pandang daripada pemerhatian sebahagian orang sehingga menyebabkan wujudnya khilaf dalam hal ini, wallahu-a'lam!

Setiap orang yang punya kewarasan pasti mengetahui bahwa duduk untuk buang hajat mestilah membuka atau menyelak kain yang menutupi bahagian qubul dan duburnya. Tidak pernah terdengar seorang pun duduk dengan pakaiannya untuk buang hajat kecuali anak kecil dan orang yang kurang beres akalnya.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

Daripada Abu Martsad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, al-Tirmizi)

-Antara murid terulung Imam as Syafie iaitu Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).
Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur… dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunah ialah menziarahi kubur dan berdoa di sisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

-Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)
-Menurut al-Imam al-San’ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan mengganggu mayat ialah duduk di atas kuburnya”. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah s.a.w melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: “Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini”. Kemudian al-San’ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pendapatnya: “Semua dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: Jangan kamu mengganggu penghuni kubur ini menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata. (al-Ahzab: 58) (Rujuk: Al-San‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

-Sheikh Mohamad Soleh ibn al-‘Uthaimin antara ulama' hari ini yang diakui oleh al-Qardhwi sebagai yang sangat alim dalam ilmu hadith, ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang di antara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur", dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A'nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

Kesimpulannya, amalan menziarahi kubur adalah suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ia dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan.

Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah. Sentiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunah Rasulullah ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Allah SWT.

Isnin, 20 Oktober 2008

NASIHAT & PERINGATAN : rezeki haram penggelap hati.

Sedar atau tidak MASIH RAMAI makan tahi & mengajak pula masyarakat terutamanya muslimin bersama mencari tahi dan makan tahi!!??

Daripada saudara seperjuangan kalian,UstazThrash (ustaz libasan)on the way dari lubang tahi kepada maghfirahNya.


Kepada seluruh kaum Muslimin dan terutamanya saudara seperjuanganku yang dihormati,

Assalamualaikum wbrt tuan-tuan yang pastinya hamba-hambaNya jua,
Per : HENTIKAN SEBARANG PEKERJAAN YANG HARAM!!

Merujuk kepada perkara di atas, terlebih dahulu saya memohon maaf andaikata warkah terbuka saya ini adalah salah dari segi syariat Islam. Sekiranya tidak, abaikan saja permohonan maaf saya ini. Saya sekali-kali tidak akan memohon maaf kepada sesiapa dalam jihad ini selagimana ia tidak bercanggah dengan syariatNya.

Sepertimana yang disedari oleh saudara-saudara sekalian, ramai dikalangan kita mewujud dan menjayakan PERNIAGAAN & LAIN-LAIN pekerjaaan haram sebagai SUMBER KEWANGAN untuk menyara kehidupan semenjak sekian lama, tetapi tahukah bahawa ada antara pekerjaan-pekerjaan tersebut terutamanya yang berkait dengan kewangan adalah haram, tidaklah perlu saya perjelaskan yang satu persatu, apa saja yang dikategorikan oleh ulamak adalah haram mestilah disingkirkan sekiranya ada, sebagai contoh iklan vemma yang menggunakan sistem 'money game'.
  1. BEKERJA SAMBILAN DI RUMAH ..SEHARI SEJAM GAJI MINGGUAN .. DAFTAR PERCUMA..!!- baru,
  2. Mari Online Bersama Waheeda Wassini..Mingguan $5K-$10K..- baru,
  3. Usahawan VEMMA ONLINE: Bekerja dirumah..$$$ Gaji Mingguan$$$.. register dahulu-baru
Saya bagi lagi contoh iklan 'money game' sehinggakan dalam HARAKAH pun ada iklannya walaupun saya yakin ia adalah secara tidak disedari, contohnya seperti ceramicworld yang iklannya siap dengan ala Islamic lagi!

Rujuk mengenai 'money game' yang disebut dalam tajuk PROGRAM KUTU WANG POS: PANDANGAN DARI SUDUT FIQH ISLAM yang saya copy & paste dari web Dewan Ulama' Pas Pusat ke blog saya :-http://ustazthrash.blogspot.com/2008/09/program-kutu-wang-pos-pandangan-dari.html , kalu tak silap saya iklan kutu wang pos ini juga pernah disiarkan dalam Harakah tak lama dulu.

Seluruh kaum muslimin terutamanya para pembela dan pejuang yang menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan hendaklah meninggalkan segala bentuk pekerjaan sebegini. Ingatlah pesan dan sindiran Mursyidul Am tuan guru kita yang bunyinya lebih kurang camni "dosa itu serupo tahik, segalo makey minum, kain baju, kereto & tempat tinggal hok ado adalah tahik .. kalu yo mari dari tahik. Gamok ko kito bergelumey denge tahik?". Ya Allah jijiknya! Maka wajiblah saya sendiri & pihak tuan tidak mencari rezeki untuk diri juga keluarga atau membantu dana gerakan Islam yang berhasil sumberkan tahi. Ia tidak hanya merosakkan kita malah menyebabkan kebanyakan orang ramai juga terbabit dengan percaturan dunia perniagaan yang membabitkan tahi kerana menyangkanya adalah halal.

Bukankah Muslim apalagi yang mengaku bergelar pejuang akan memperhatikan segala kerja buatnya adakah sah atau tidak dari sudut hukum? Kita meyakini Islam itu sempurna dan syariatnya merangkumi setiap perkara, untuk bergelar 'peniaga muslim' rujuklah sama dalam bab muamalat. Sekiranya asal sumber rezeki makan minum pejuang kita datangnya dari rezeki yang haram nescaya lemahlah semangat dan kekuatan rohani mereka. Apa lagi jika kita sentuh dan fikirkan tentang azabnya yang amat pedih kelak!

Apalagi jika kerja-kerja haram dilakukan secara berjemaah, maksud saya seumpama direct selling yang berkonsepkan MLM dalam ertikata lain iaitu secara berangkaian ada upline dan downlinenya. Apabila seorang saja mula menjadi ahli kepada mana-mana syarikat yang tidak suci itu, nescaya tidak mustahil dan pastinya ia akan mengheret orang sekelilingnya untuk bersama membinan rangkaian atau empayar. Hal ini boleh saya umpamakan jika sudah ada yang makan hasil tahi, maka tidak mustahil dia akan ajak lagi saudara yang lain bersama makan tahi.

Rasanya ramai sangat dah antara kita yang terjebak dengan perniagaan haram setelah membaca dan terpengaruh dengan iklan yang ada di dada HARAKAH walaupun mungkin ia adalah sesuatu yang tidak disengajakan oleh bahagian pengiklanan lisan rasmi PAS ini. Mungkin saja pembaca menganggap akhbar ini adalah akhbar yang benar dan sah hukumnya, maka mereka mengamalkan apa yang dibaca di dalamnya serta merebut peluang perniagaan yang ada padanya sehingga kadang-kadang terlupa bahawa ia bukanlah 100% bicara tanpa sesat kerana tiada penulisan yang sebenar al Quran.

Semoga dengan izinNya, nasihat dan peringatan yang mungkin terlebih kasar ini menjadi tukul kepada kita semua dan terutama buat akhbar HARAKAH. Ambillah inisiatif sekiranya tidak mahu jadi pahat yang diketuk dengan tukul! Saya juga tidak mahu melihat Harakah menerima lagi iklan-iklan haram sepertimana akhbar-akhbar yang sebangsa dengan Utusan Meloya dan Berita Hairan yang sememangnya terkenal dengan penuh kerosakan.. Ayuh, bezakan kita dengan mereka dalam masalah haram halal jika mengaku bergelar pembela Islam.

Selesailah tanggungjawab saya untuk kali ini. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum wbrt.

Khamis, 16 Oktober 2008

JAWAPAN MENGENAI ZAKAT INSURAN (MAL MUSTAFAD)


Salam alaik E.j,

Jawapan tentang zakat insuran demo yang berjumlah Rm 19k, wang insuran hok demo boleh dah lebih dari 'nisab'nya atau dah melebihi 1 misqal (85g mas mengikut satu pendapat, 85g bersamaan Rm 7300 + - iaitu harga pasaran mas hok kawe tny toke mas d Terengganu, tapi mengikut pejabat zakat kedah ialah sebanyak Rm 7,675.82). Duit tu diistilahkan mengikut  fiqh zakat sebagai 'mal mustafad' iaitu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang wajib dikeluarkan (duit dari hadiah jawab kuiz & yang seumpamanya pun termasuk) dikira wajib zakat setelah ditolak kos dari perolehan, bayarannya ialah 2.5% dari perolehan. Contoh : insuran demo tu kan Rm 19k - kos = Rm? dibahagikan pula dengan 100 (%) x dengan 2.5, maka dapatlah jumlah Rm yang perlu dikeluarkan zakat..

Kalau nak tolak kos kawe pening, sebab kawe bab dunia insuran kawe tak faham. Tapi mengikut gu kawe ustaz Zaharuddin, bila kawe sms tanya tentang kos, jawapan beliau ialah tak perlu tolak jika kos perubatan ditanggung PERKESO walaupun BELUM dibayar.. namun untuk guaman dan kos berkait dengannya seperti kos perjalanan untuk ke makhamah boleh kira. Kos guaman biasanya ditolak siap kan & baru duit tu diserahkan pada demo kan? Kalau macam tu maknanya payah tolak apa dah!

Kalau nak mudah tak payah kira kos, hehe..hok lebih dari tu demo dapat pahala sunat (ada dalam hadith tentang kisah sahabat r.a secara sukarela nak bayar zakat unta hok molek berbanding zakat hok sepatutnya dia buat keluar). contoh kiraan tanpa tolak kos Rm 19 k bahagi 100% x 2.5% = rm 475.00 atau cara mudah Rm 19000 x 2.5% = Rm 47500 kemudian letak titik sebagai simbol % sebelum 2 angka terakhir, so jawapannya tetap sama Rm475.00.

Mengenai 'haul'nya pula mengikut kitab fiqhul zakat karangan Sheikh Yusof Qardhawi, "duit insuran (nasi + dari aku : begitu juga dengan wang KWSP) tidak perlu haul apabila dikeluarkan" ia berbeza dengan kaedah wang zakat lain yang memerlukan haul iaitu selama setahun mengikut kiraan miladi atau hijri atau 365 hari (buat pilihan sendiri, janji jangan guna kalendar hok lebih panjang kiraan hari dalam setahun sebanyak 365 hari).

Jadi apa yang sudah dikeluarkan oleh demo dengan niat zakat kepada orang miskin dan sesiapa saja selagi ia termasuk asnaf zakat sebelum kawe bagi tau demo ni adalah sah.. kalau tak cukup lagi hok demo keluarkan tu percukupkanla.

Walaupun benda ni jadi khilafiah di kalangan ulamak, kawe secara peribadi lebih suka menyokong pendapat As Sheikh Al-Qardhawi .. sebab kita di galak mengambil pendapat yang lebih selamat lebih-lebih lagi kita dah tau manfaat yang orang Islam dapat daripada hasil pegangan ni.

Kawe juga lebih suka mengutamakan pembayaran kepada asnaf fi sabilillah.. BACA tentang asnaf fi sabilillah di
http://ustazthrash.blogspot.com/2008/09/asnaf-fi-sabilillah-apakah-kriterianya.html

Untuk menyelamatkan demo dunia akhirat pastikan jumlah hok demo bayar tu dah melebihi jumlah kiraan cincai kawe (Rm 475) maka tak yah duk pening lagi bab tu... ni je la tugas kecil kawe sbg sahabat demo dunia akhirat..

Banyak dikalangan orang Islam tak bayar zakat dan antara puncanya sebab tak tau kata ada zakat selain daripada zakat fitrah.. boleh jadi kerana dirasakan payah nak faham penerangannya, jadi kawe harap penerangan kawe ni demo mudah paham dan meyakinkan! Selamat beramal ..

Wallahu a'lam .. wassalam.


Nota : Catatan di atas ni sebenarnya adalah mel aku untuk sahabat aku E.j, mengenangkan ia adalah tanggungjawab dan perkara yang perlu disebar maka aku copy dan paste di sini untuk sama-sama kita mendapat manfaatnya.

Selasa, 14 Oktober 2008

NIHAYAT FATAT EL-ISKENDERI -pengakhiran hidup seorang gadis Iskandariah.

                                               (Silalah klik untuk besarkan gambar)

Sesuatu yang cukup menarik dalam majalah Manar Islam, cerita bagaimana seorang gadis Iskandariah yang menaiki mikrobas (bas kecil) atau bas mini untuk menuju ke sebuah destinasi di dalam wilayah Iskandariah, Mesir.

Pakaiannya agak nipis dan seksi sehinggakan hampir terserlah segala yang disembunyikan selama ini bagi seorang perempuan. Umurnya dalam lingkungan 20 tahun. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk di sebelah pintu mikrobas, seorang lelaki tua yang rambutnya telah dipenuhi uban menegurnya “Wahai pemudi, alangkah baiknya jika kamu berpakaian dengan pakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan
liar lelaki”.

Lalu gadis itu menjawab “siapakah kamu hei orang tua? Apakah di tanganmu ada anak kunci atau sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?”.

Lalu dia ketawa mengejek panjang lantas cuba memberikan handphonenya kepada si tua itu seraya berkata “ambil handphoneku ini dan hubungilah ALLAH SWT serta tolong tempahkan sebuah bilik di jahannam untukku” lantas ketawa lagi..

Si tua dan penumpang-penumpang bas itu terdiam. mereka tidak menghiraukan lagi karenah gadis yang tidak mengetahui hukum hakam itu. 10 minit kemudian mikrobas sampai ke perhentian, lalu penumpang mula mengejutkan gadis tersebut yang tertidur di muka pintu mikrobas, puas di kejutkan. Tetapi, gadis tersebut tetap tak sedar....

Rupa-rupanya dia telah pulang menemui tuhannya dalam keadaan yang tak disangka-sangka (apalagi dalam keadaan menghina Allah dan agamaNya).
 

Para penumpang hanya menggelengkan kepala sambil beristighfar kepadaNYA.

SubhanaLlah..!!!

Petikan daripada manar Islam Jamad al Awwal.

Rabu, 1 Oktober 2008

DESAK : Hukum mereka yang tidak berpuasa tanpa keuzuran.



"Hukum mereka yang tidak berpuasa (tanpa keuzuran) dengan penjara sepanjang Ramadhan & makanan diberi waktu sahur dan berbuka shj".

Diharap ada sokongan untuk menubuhkan jawatankuasa tindakan supaya satu enakmen dibawah undang² Syari'ah digubal untuk membolehkan mereka yang tidak berpuasa tanpa keuzuran ini dipenjara. Kita usahakan satu desakan kepada semua pihak yang memiliki pengaruh dan kuasa tanpa mengira apa parti sekalipun. Usulkan melalui mesyuarat peringkat cawangan kemudian secara berperingkat atau apa sajalah yang dirasakan sesuai..
Lihat dalam kes tuntutan Lina Joy, Tun Dato Sri Fairuz sebagai Hakim Mahkamah Sivil telah memperakui kesyumulan Islam apabila beliau berkata :- " Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi , sosial, budaya, moral atau kehakiman. Dan jika diteliti Perkara-Perkara 11 ( 1 ). 74 ( 2 ) dan Item 1 di Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Perskutuan akan ketara Islam itu meliputi antara lainnya undang-undang Islam".

Maka kenapakah kita sebagai orang Islam yang komited pada Islam sebagai ad-deen tidak boleh menggunakan Artikel yang sama untuk berhujah supaya dibentuk satu enakmen jenayah syariah yang berkaitan dengan mereka yang menghina Ramadhan? Hak mengamalkan agama di dalam Artikel 11 adalah merangkumi pengamalan agama secara syumul dalam semua aspek kehidupannya dan ianya tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak.

Apatah lagi jika diambil dari kata Sheikh Dr. Yusof Qardawi "jadilah kamu hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadhan" Cuba faham, bila hina Ramadhan tak ke hina Allah?

Wahai saudara-saudaraku orang Islam, bangun dan minta hak kamu !!!

Marilah sama-sama kita berdoa agar segala amal ibadah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan Al-Mubarak 1429 diterima oleh Allah SWT dengan pahala yang bahirah. Kita juga berdoa agar kita dapat bertemu semula dengan Ramadhan yang akan datang dalam keadaan kita lebih sihat dan bersedia untuk mengabdikan diri kepada Rab Al-Jalil.

Allaahu Akbar!!!

Isnin, 29 September 2008

Anjuran bersedekah di Aidilfitri

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Nabi s.a.w telah bersabda: Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah (shahih Muslim)

catatan ustazthrash : Sememangnya bersedekah itu adalah dituntut, bersegera melakukan perkara yang baik itu juga adalah di tuntut, lebih utama lagi melakukan pada hari dan waktu tertentu dengan menyedekahkan apa yang ditetapkan seperti hadith di bawah .. mengamalkannya kerana Allah memberi kita ganjaran berlipat ganda InsyaAllah ..

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:

Aku berkesempatan mengikuti sembahyang Hari Raya Puasa (Aidilfitri) bersama Nabi Allah s.a.w, Abu Bakar, Umar dan Othman. Mereka semua mendirikan sembahyang Hari Raya sebelum khutbah. Setelah itu barulah berkhutbah.

Kemudian dia menyambung lagi dengan katanya: Nabi Allah s.a.w turun dan aku melihat ke arah baginda sehingga aku melihat baginda memberi isyarat kepada kaum lelaki supaya duduk dan kemudian datang dan berjalan di kalangan mereka menuju ke tempat para wanita dan Bilal ada bersama baginda. Lalu baginda membaca:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا hingga selesai.

Setelah itu baginda bertanya: Adakah kamu juga berjanji setia demikian? Seorang wanita menjawab di antara kelompok wanita itu dengan jawapan yang tegas: Benar, wahai Nabi Allah! Ketika itu wanita tersebut belum lagi dikenali. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu! Bilal r.a mula menghamparkan pakaiannya sambil berkata: Ayuhlah demi bapa dan ibuku sebagai tebusan kamu! Mereka segera meletak gelang-gelang dan cincin-cincin ke dalam pakaian Bilal.
(shahih Muslim)

Sabtu, 27 September 2008

WUDUK ZAHIR BATIN & SOLAT YANG KHUSYU'




Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.



Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim al Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."
Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?" Hatim berkata,"Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air.*


Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-


1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya ' )
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki."

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan :


1. aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ' Siratal mustaqim '
dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku,
kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.



Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhu, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun".

Apabila Isam mendengar, maka menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

ِAlangkah hebatnya mereka ... inilah solat yang khusyu dan berada dalam makam ihsan. Tiap-tiap ibadat yang dikerjakan kerana didorong oleh perasaan yang sedemikian, pasti ada kesannya kepada tabiat dan budi pekerti kepada yang beribadat itu sendiri. Umpamanya orang yang mendirikan solat kerana kesedarannya akan kebesaran dan kekuasaan Allah, dan didorong oleh perasaan bersyukur dan berutang budi kepada-Nya, akan terjauhlah dia dari perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan apalagi yang dilarang Allah. Dengan demikian solatnya itu akan mencegahnya dari mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak baik itu, sebagaiman firman Allah swt.:

إِنَّ الصّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (Q.S Al Ankabut: 45)

Begitu juga ibadat puasa. Ibadat ini akan menimbulkan perasaan cinta dan kasih sayang terhadap golongan fakir dan miskin pada diri orang yang berpuasa itu. Dan seterusnya dengan ibadat-ibadat yang lain.

Tetapi ibadat yang bukan ditimbulkan oleh keyakinan kepada kebesaran dan kekuasaan Allah, dan bukan pula didorong oleh perasaan bersyukur dan berhutang budi kepada Allah itu, atau dalam ertikata lainnya hanya kerana ikut-ikutan atau kerana sekadar memelihara tradisi yang sudah turun-temurun, bukanlah ibadat yang sebenarnya. Walaupun dia mempunyai rupa dan bentuk ibadat yang kelihatan cantik, namun masih tiada jiwa ibadat itu, tidak ubahnya dengan gambar atau patung, bagaimana pun juga miripnya dengan manusia, tidaklah dinamai manusia. Selanjutnya ibadat yang semacam itu tidak ada kesan dan buahnya kepada tabiat dan akhlak orang yang beribadat itu.


-------------------------------------------------------------

*Wudhu Sebagai Penghapus Dosa

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أظْفَارِهِ. رواه مسلم.

Daripada Uthman bin Affan r.h. dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: sesiapa yang berwudhuk dan memperelokkan wudhuk akan keluar kesalahan-kesalahannya dari jasadnya sehingga ianya keluar melalui bahagian bawah kuku-kuku jarinya. [Muslim]

Hadis ini menjelaskan bahawa syarat untuk keluarnya segala kesalahan dan dosa dari diri seorang yang berwudhuk itu ialah apabila dia memperelokkan wudhuknya.

Wudhu zahir ini juga adalah isyarat kepada keperluan kita menjaga nikmat yang diberikan oleh Allah supaya tidak dicemari oleh kekotoran akan kelakuan yang buruk yakni dosa yang berpunca dari mata dan mulut, tangan, akal fikiran juga telinga dan kaki. Wallahu a'lam

-----------------------------------------------------------------
Ilmu itu milik Allah, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, InsyaAllah akan digandakan ganjaran kepadanya ... Justeru itu sebarkanlah kisah tauladan kesufian ini kepada sahabat-sahabat semua.. Semoga kita sama-sama menerima manfaat dan redhaNya dunia akhirat.