Sabtu, 17 Disember 2011

Menjawab Persoalan Mengenai Kempen Politik Untuk Mendapatkan Jawatan.

Meletakkan  tajuk sepertimana dalam persoalan iaitu "SABDA RASULULLAH VS FATWA ULAMA2 PARTI"  adalah suatu tuduhan dan fitnah yang besar ditimpakan dengan kejam ke atas para ulama parti terutamanya golongan ulama PAS; pimpinan jama'ah Islam yang sedia ada di negara ini. Bukankah tajuk itu secara tidak langsung membawa faham bahawa para ulamak parti menentang hadith Rasulullah SAW? Bukankah menentang Rasulullah SAW itu kafir jadinya? Konten dalam teks tersebut juga adalah berbentuk serangan dan fitnah yang dilemparkan kerana ia membawa pengertian "ulamak berhujah dengan akal semata" dalam isu meminta jawatan.

'Hukum rapuh' yang diwujudkan penulis tersebut adalah di atas sikap tidak wajar; tanpa mengikuti landasan ilmu yang sebenar.. Adalah suatu kejahatan yang amat apabila ia didakyahkan pula kerana perbuatan tersebut bakal mendatangkan bahana yang buruk kepada perjuangan Islam khususnya di negara ini yang sepatutnya didokongi bersama. Orang ramai akan semakin jauh daripada kalangan ulama dan segala percakapan serta perbuatan yang selama ini benar akan mula dipersalahkan. Sikap menghormati para ulama akan semakin terhakis.

Secara asasnya meminta jawatan sememangnya adalah dilarang dalam Islam. Namun di sana adanya kelonggaran sebagaimana disebut oleh Imam Nawawi rhm yang meletakkan hadith-hadith yang berkaitan perkara ini di dalam kitab beliau; Riadhus Sholihin di bawah bab 81 : "Larangan Meminta Jawatan Kecuali Dilantik ATAU Dalam Keadaan Darurat". Dan sudah tentunya dalam hal sebegini penulis itu sendiri tentunya juga tidak berhajat untuk saya tandingkan beliau pula dengan Imam Nawawi rhm dalam memahami hadith-hadith Rasulullah SAW atau mana-mana ulama lain seperti Imam al Qurthubi yang akan saya datangkan hujah-hujah mereka selepas ini.

Di bawah tajuk "Larangan Meminta Jawatan Kecuali Dilantik ATAU Dalam Keadaan Darurat", Imam Nawawi mendatangkan empat buah hadith, tiga darinya mengenai meminta jawatan dan satu selainnya adalah mengenai akibat merebut jawatan. Perhatikan "kecuali" .....

Sayugialah diingatkan di sini apa yang telah disepakati, apabila sesebuah negara tidak diperintah secara Islam bererti ia adalah negara yang penuh dengan kezaliman. Manakala memerangi kezaliman itu secara muwajahah silmiyah itu adalah suatu kewajaran kerana kezaliman itu adalah punca pelbagai kejahatan yang wajib diperangi dengan apa saja cara yang diharuskan! Percakapan dan penerangan semata sekalipun berapi-api tidak akan mengubah hakikat ini kerana itulah adanya penjelasan daripada Imam Nawawi dalam meletakkan tajuk pada bab tersebut. Justeru itu, janganlah sesiapapun bermain dengan kalam faadi dalam perjuangan ini!

Ketahuilah juga selain hujah di atas, adanya komentar-komentar para mufassirin yang mengisyaratkan akan kewajaran meminta jawatan atau menonjolkan diri untuk mendapatkan jawatan dalam keadaan tertentu seperti membina atau menguatkan lagi jama’ah Islam dan apalagi jika membina kepimpinan negara, ia bukanlah suatu dosa asalkan bukan dengan niat merebut atau haloba kepada kekuasaan. Fuqaha menggunakan dalil dari al Quranul Karim, iaitu :

Firman Allah :
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirkannya".
(Yusuf : 55)

Silalah kita melihat pula tafsiran mufassirin yang menyentuh rapat perihal persoalan.

1. Berkata Imam At-Thabari dalam tafsirnya atas ayat tersebut (VII/241), berkata Ibnu Zaid tentang makna kalimat Qaalaj’alnii… : bahwa Fir’aun Mesir tersebut memiliki banyak sekali pembantu-pembantu selain untuk urusan menteri perbendaharaan (pertanian), maka semua pembesar Mesir setuju pada pengangkatan Yusuf di posisi tersebut dan mereka semua tunduk pada keputusannya.

2. Berkata Syaibah Adh-Dhabiy: Maksudnya mengurus urusan pangan (tadbir sumber makanan dan perkara berkaitannya). Adapun makna Inni hafiizhun ‘aliim : Hafiizh (mampu amanah dalam mengurus) tugas tersebut dan ‘aliim (tahu ilmunya) atas pekerjaan tersebut.

 3. Berkata Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya (II/633): Dalam ayat ini menunjukkan dibolehkan bagi seseorang memuji dirinya sendiri (tentang kelebihan dan potensinya), jika orang lain tidak tahu dan hal tersebut diperlukan.

 4. Imam Al-Baghawiy dalam tafsirnya (I/251) menukilkan hadith Nabi SAW dari Ibnu Abbas ra:
 “Semoga Allah SWT merahmati saudaraku Yusuf as, seandainya ia menyatakan ANGKATLAH AKU SEBAGAI MENTERI PERBENDAHARAAN, saat pertama bertemu maka ia akan diangkat. Tetapi ia sengaja mengakhirkannya selama setahun, sehingga ia boleh bersama Raja Mesir tersebut di rumahnya.”

 5. Berkata Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya (IX/181): Di dalam ayat ini ada beberapa hukum fiqh sebagai berikut:
 5.1. Baginda (Yusuf a.s.) menjelaskan (memperkenalkan) siapa dirinya, iaitu orang yang mampu mengurus amanah tersebut dan mengetahui -akan tahap- ilmunya. (inilah keadaan yang perlu difahami)
 5.2. Berkata sebagian ulama (di antaranya Imam Al-Mawardi) bahawa para ulama berbeza pendapat tentang makna ayat ini, berkata sebahagiannya "bahawa dibolehkan bagi seorang yang memiliki keutamaan untuk bekerja pada seorang yang pendosa (fajir) atau penguasa yang kafir dengan syarat ia mengetahui hal-hal yang salah sehingga ia berupaya memperbaikinya semampunya. Adapun jika yang dilakukannya tersebut untuk menuruti syahwat sang pendosa, maka hal yang demikian tidak diperkenankan".

Dan berkata pula sebahagian ulama lainnya, "bahawa hukum ini hanya khusus untuk Yusuf a.s saja dan tidak berlaku bagi selainnya".

Tetapi menurutku [Imam al Qurthubi] pendapat yang pertama lebih kuat, walLahu a’lam.

Lihatlah pula apakah kata Imam al Qurthubi seterusnya dalam hal seseorang yang kempenkan dirinya untuk sesuatu jawatan yang dia ada keahlian padanya.

5.3. Dalam ayat ini juga menunjukkan hukum dibolehkannya seseorang untuk menyampaikan keahliannya dalam sesebuah pekerjaan.

Ada yang menyatakan bahawa hal ini adalah bertentangan dengan hadith riwayat (Bukhari dan) Muslim daripada Abu Sa’id, Abdur Rahman bin Samurah r.a, beliau berkata :
Rasulullah (SAW) bersabda kepada saya: (dimana telah bersabda nabi SAW)

“Wahai Abdur Rahman janganlah engkau meminta kekuasaan (jawatan) kerana sesungguhnya jika engkau diberi kerana engkau memintanya maka ia dibebankan seluruhnya padamu, sedangkan jika engkau diberi tanpa engkau memintanya maka engkau akan ditolong (Allah SWT).”
[Muttafaqqun ‘Alaih]

Maka jawabanku [Imam al Qurthubi] atas hal ini adalah sebagaimana berikut:

1) Ketika nabi Yusuf a.s. meminta kekuasaan tersebut ia mengetahui tidak ada seorangpun yang lebih adil dan lebih baik untuk menyantuni fakir miskin untuk tugas tersebut, sehingga menjadi fardhu ‘ain baginya dan bagi sesiapapun selain nabi Yusuf a.s untuk menyampaikan kemampuannya dan maju ke depan mengambil jabatan tersebut.

Adapun jika baginda melihat adanya orang lain yang lebih adil dari dirinya dan lebih mampu maka wajib baginya menyerahkan pada orang lain tersebut sebagaimana hadith Muslim di atas.

2) Bahawa nabi Yusuf a.s tidaklah memuji dirinya sendiri, baginda tidak mengatakan bahawa ia orang baik atau ia tampan, melainkan ia hanya menyampaikan informasi yang benar tentang kemampuannya dan tidak menyembunyikannya. Sehingga berkata Nabi SAW memuji Yusuf a.s : “Al Kariim ibnul Kariim ibnul Kariim ibnul Kariim, Yuusuf bin Ya’quub bin Ishaaq bin Ibrahiim.”

3) Bahawa beliau menyampaikan tentang hal tersebut karena orang-orang belum tahu, sehingga beliau a.s. menganggap fardhu ‘ain atas dirinya untuk menjelaskan agar mereka mengetahuinya,
4) Bahawa hal ini menjadi hukum bolehnya seseorang untuk mensifati dirinya tentang kemampuan dan kelebihannya, berkata Imam Al-Mawardi bahwa maksudnya bukan seluruh kelebihannya disampaikan, melainkan hanya yang berkaitan dengan jenis pekerjaan yang sedang atau akan dihadapi tersebut.

Jelasnya di sini adanya khilaf. Bukankah kaedah fiqh telah menyatakan sesuatu ijtihad tidak akan tertolak dengan adanya ijtihad yang lain. Ia bukanlah perkara mungkar qat'ie yang wajib dicegah sebagaimana yang dijelaskan oleh muhaddithin dalam menerangkan hadith berkaitan nahyu mungkar. Janganlah disemarakkan api perpecahan pada tindakan sedangkan niat dihati mahukan penyatuan ummah.

Kami mengakui bahawa kami tidaklah sempurna dan begitulah juga dipihak saudara. Nasihat saya yang khusus kepada saudara Al Mahdi.

Sebutlah nama Allah dan celikkanlah mata hati saudara pula. Ketahuilah saudaraku, jama'ah Islam iaitu PAS lebih awal terlibat dengan penyatuan ummat Islam di Malaysia dengan berqias kepada bai'ah harakiah (faham betul-betul kertas undi hanya alat) untuk mewujudkan bai'ah udzma/imam/khalifah dan bai'ah udzma yang sebagaimana dilaungkan kemudian oleh HT. Bai'ah udzma ini mungkin tidak akan wujud di negara ini jika waqi' semasa tidak difahami kerana kenyataan di atas hanya menambah pecah belah ummat Islam di negara ini yang masih dihantui dengan pelbagai permasalahan lain.

Sedarlah dakwah Islam dan nasihat kepada pentadbiran negara ini yang diamalkan PAS tidak hanya dalam bentuk kata-kata atau penulisan semata-mata, malahan PAS juga berpegang kepada konsep muwajahah silmiyah kerana mengambil kira kerajaan hari ini yang tidak mengambil Islam sebagai dasar pemerintahan.

Sedarlah HT pula adalah jama'ah yang kemudian datangnya ke Malaysia ini. Namun atas alasan apapun janganlah dilupakan ta'adud jama'ah yang diwujudkan HT di negara ini sebenarnya beralasan atas gerak kerja yang berbeza dengan memegang faham yang berbeza dengan kami, maka ia tidak boleh tidak mestilah berpegang kepada syarat lain keharusan berta'adud yakni berkesinambungan dengan jama'ah sedia ada yang menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai perundangan tertingginya untuk mengelakkan bertambah parahnya perpecahan di kalangan kaum Muslimin.

Oleh kerana itu, fahamilah apa sebenarnya Ahlus Sunnah wal Jamaah yang disabdakan junjungan kita Rasulullah SAW. Cukuplah golongan yang tidak berhajat secara benar untuk memperjuangkan Islam menentang dan menghina kami dengan kecaman-kecaman yang tidak benar.

Walau bagaimanapun kami yakini sebenarnya apa yang dipertikaikan saudara tidak mewakili faham HT yang sebenar, jika itu fahaman HT yang sebenar. Maka tinggalkanlah perjuangan yang sebegitu kerana Allah dan dengan nama Allah Yang Maha Memberi Petunjuk lagi Maha Pengampun silakanlah saudara memadam 'hujah rapuh' saudara yang medakyahkan ajaran karut untuk menolak para ulamak haraki yang berparti!


Wallahu a'lam
Ustazthrash Mujahid (UM)

Selasa, 15 November 2011

PENAWAR UTAMA KEPADA BISA RANJAU KEHIDUPAN.

"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah.."
(Tazkirah ringkas seorang ulamak terkenal tanah air -2010)

Kehidupan yang penuh dengan keserabutan, kebimbangan dan kerisauan. Masalah ekonomi yang meruncing walaupun ada yang bergaji besar namun masih tidak mencukupi, tidak pernah merasa puas dengan segala apa yang ada. Rumahtangga yang sentiasa bergolak- isteri yang tidak patuh dan anak-anak yang derhaka. Pertengkaran yang tidak berkesudahan dengan kenalan, sahabat handai juga jiran tetangga. Tanah air yang diduduki pula tidak dirasakan aman kerana masalah sosial yang merunsingkan dan penjenayah pula berada di merata-rata ceruk dan rongga. Inilah antara sedikit ranjau yang berbisa dalam kehidupan.

Ramai dikalangan kita yang mengakui Islam sebagai cara hidup, pastinya pernah memiliki atau sentiasa berkesedaran bahawa kebanyakan masalah yang timbul dalam hidupnya ini sebenarnya adalah kerana sikap diri sendiri yang mengakibatkan kesannya kepada semua aspek sehingga membabitkan anggota masyarakat yang lain. Ramai yang sedar maslah utama adalah kerana keborokan yang berpunca daripada kejahilan sebagaimana kepincang dalam kehidupan masyarakat jahiliah di zaman Rasulullah. Di mana yang kerananya itu kita tidak mendapat keredhaan ALLAH swt. Wa nastaghfiruka wa natubuu ilaik..

Penyakit berbisa dah tau puncanya, maka janganlah berlengah untuk menawarkannya. Ambillah al Quran sebagai ikthiar usaha yang utama untuk mengubatinya. Maka dengannya mengubah kejahilan dan dengannya pasti mengubah hati serta sikap kita dalam menangani ranjau kehidupan.

Firman Allah :

"Dan mereka yang berjihad (bersungguh-sungguh) pada (mendapat keredhaan) Kami, Kami pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka akan jalan-jalan Kami, dan sesungguh-sungguhnya pasti Allah tetap bersama para MUHSININ."
(Al ’Ankabut : 69)

Muhsinin adalah golongan yang berjihad (bersungguh-sungguh) di jalan Allah SWT untuk sampai dan berhubung dengan ALLAH. Atau dalam ertikata yang ringkasnya mereka adalah golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan mereka keranaNya.

Mereka ini sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencapai redhaNya dengan melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Setiap perkara diambil berat dari sekecil perkara seperti hukum bersuci sehinggalah perkara yang besar seperti bab kepimpinan negara. Mereka amat bimbang sekali tersasar dari jalan yang diredhaiNya. Maka dengannya mereka sentiasa mendapat petunjukNya untuk sentiasa berada di atas jalan yang sebenar.

Maka dengan usaha yang sedemikian Allah pasti akan memberi SEPENUH perhatian kepada mereka dari maqamNya Yang Maha Agung dan kerana dengannya itu Dia melimpahkan keredhaanNya kepada mereka.

Pastinya Allah menghargai usaha-usaha mereka untuk sampai kepadaNya dan kerana itu Allah memberi bimbingan kepada mereka. Sesungguhnya Allah memandang tinggi kepada JIHAD (kesungguhan) mereka dan kerana itu DIA memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Bahkan Allah memandang tinggi juga kepada kesabaran dan IHSAN mereka dan kerana itu jua Allah membalas mereka dengan SEBAIK-BAIK balasan.

Sesungguhnya, mereka yang mendapat hidayahNya adalah orang yang memiliki ketaqwaan. Orang yang bertaqwa itu adalah diredhaiNya, maka sentiasa dia mempunyai jalan keluar daripada sebarang masalah yang dihadapinya. Malahan dia pastinya mendapat pelbagai kurniaan yang tak tersangka serta tidak terhitung sebagaimana yang telah dijanjikanNya dalam al Quran.

Ayuh betulkan niat keranaNya dan mulakan dengan sikap 'Rajin Belajar dan Membaca' terutamanya kitab Tafsir, Hadith dll untuk mengetahui ajaran-ajaran Islam yang sebenar serta mengamalkannya pula secara kaafah dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap muhsiniin. 

Alangkah bahagianya kita apabila berada dalam maqam Muhsinin yang dijanjikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh.

ILMU YANG BENAR membuahkan AMAL YANG BERSUNGGUH dan menghasilkan nikmat IMAN mereka yang MUHSININ lagi muttaqin.

Wallahu a'lam

Ahad, 13 November 2011

Hukum Ejaan Kalimah Allah Dalam Tulisan Arab Atau Jawi

Salam alaik, merujuk kepada surat khabar bertarikh 11.11.2011, saya terlihat ada perkataan Allah Akbar (Jawi) pada setiap muka surat yang membuat pengucapan Hari Lahir kepada Sultan Kelantan. Adakah keratan tersebut perlu dibakar dan dihanyutkan @ tidak mengapa?

Nizam Rasdi, Johor.

Wa alaikassalam wbrt, saya akan menjawab sekadar mampu...

Berlandaskan kaedah menghukum dalam mazhab Syafi’e iaitu :
الاصل الاشياء الإباحة حتى يدل الدليل التحريم
(asal setiap perkara adalah diperbolehkan sehingga adanya dalil yang menunjukkan akan keharamannya).

Justeru itu, untuk mengatakan tidak boleh mesti ada dalil yang jelas dan khusus tentang larangan perbuatan tersebut selagimana tiada maka ia kekal diperbolehkan.

Firman Allah :
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (adalah seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,” [An-Naml ayat 30]

Dalam ayat tersebut jelas Nabi Sulaiman telah menulis Basmalah di dalam surat kepada Ratu Balqis yang saat itu masih kafir.

Jika dilihat kepada perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah SAW sendiri juga memerintahkan untuk ditulis Basmalah dalam surat perjanjian tersebut. Malahan kedapatan banyak lagi surat Rasulullah SAW yang dihantar kepada An Najasyi di Habsyah dll untuk menyeru mereka memeluk Islam, di mana dalam surat-surat baginda pastinya ditulis Basmalah dan Muhamad Rasulullah. Bahkan cop mohor baginda juga diukir dengan lafaz Muhamad Rasulullah.

Jelasnya Rasulullah yang paling kasih pada Allah sedikitpun tidak berasa bimbang dengan kemungkinan mereka akan menghina kalimah Allah dalam ejaan Basmalah atau selainnya yang ditulis dalam surat-surat tsbt sama ada penerimanya akan mengoyak atau memijak surat tersebut.

Apapun terpulanglah kepada masing-masing untuk mengambil sebarang langkah untuk lebih memuliakannya walaupun tiadalah ia diperintahkan.

WALLAHU A'LAM..

~Soalan yang ditanya dalam wall fb Ustazthrash Mujahid~

Jumaat, 11 November 2011

Petua Orang Muda : Gout, Kayap, Racun Dan Sakit Kepala

Lama sangat dah rasanya aku tak menulis untuk siri petua orang muda ni. Wajib atas aku membantu saudara seagama aku tak kira dalam apa hal sekalipun. Kalau sakit maka hendaklah berubat. Aku tak sanggup dipersoalkan pada hari akhirat kelak kerana menyembunyikan apa yang aku tahu sedangkan ia bermanfaat kepada orang ramai. Lagipun aku tak kaya harta, nak bagi ubat percuma tak mampu. Hanya nasihat dan petua yang dapat aku cadangkan.

Semoga Allah menyembuhkan kalian. Bersabar dan redhalah di atas kesakitan. Jangan sesekali mengeluh. Emosi yang tidak tenang mungkin melambatkan lagi proses penyembuhan. Sesungguhnya ada hikmah disebalik ujianNya. Dialah Yang Maha Penyayang. Mungkin dengan kesakitan itu membuatkan kalian lebih menghampirkan diri lagi kepadaNya. 

Sebelum mengamalkan petuan-petua ini macam biasalah, mulakanlah sekurang-kurangnya dengan membaca basmallah (bismillah..), bertahmid dan berselawat. Mohon ampun atas segala dosa dan mintalah penyembuhan daripada Allah.

Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Menyembuhkan.

Petua Gout

Kupas bawang putih sebanyak 2 sehingga ke 3 labu, kemudian masukkan ke dalam gelas kaca dan tudung (boleh je masukkan dalam botol pun heheh). Biarkan semalaman, kemudian makanlah keesokannya sedikit demi sedikit. Kemudian banyakkan berjalan kaki ayam di atas batu-batuan sebaiknya ketika waktu pagi antara jam 9 -11. Batu-batu ini biasanya pada waktu itu sedikit panas dan kepanasan ketika itu memberi kesegaran pada tubuh badan. 

Petua ni aku ambil daripada seorang sahabat yang menerimanya daripada seorang lelaki iban.

Petua Kayap

Daripada pengalaman yang aku lalui sendiri setelah beberapa kali terkena kayap pelbagai jenis.

Ambil daun delima tumbuk lumat kemudian campurkan dengan sedikit air dan tampal pada bahagian yang terkena kayap. Boleh juga menggunakan daun semalu (pohon yang daunnya menguncup apabila tersentuh) dan akarnya dibasuh kemudian direbus untuk dibuat minum, ini diajarkan Tok Mat Kelam kepada aku. Berdasar pengalaman penggunaan bedak sejuk atau selut dicampur air hanya lebih untuk merawat kayap biasa yang kurang menyakitkan.

Rawatan yang paling menyakitkan dan best adalah daripada kacang merah atau hijau. Di mana kacang-kacang ini dimamah terlebih dahulu kemudian semburkan kepada bahagian yang terkena kayap. Tapi hati-hati kalau mahu menaggalkannya, mesti basahkan kembali sehingga ia lembut dan kembang dulu. Jika tak memang menyakitkan

Petua Menawarkan Racun

Minum air kelapa muda, jika sanggup minumlah sebanyak 7 biji sekaligus tambah dengan  susu sekotak. Mulakan dengan 4 biji dikuti dengan setengah kotak susu yang besar (contoh : Dutch Lady dll). Kemudian minum lagi 3 biji dan habiskan susu. Anda mungkin muntah-muntah dengan banyak. Proses minum begini diistilah juga sebagai 'cuci dalaman atau cuci perut'. Aku pernah guna kaedah ni untuk bantu beberapa penagih dan mereka yang disantau. Alhamdulillah ada kesannya...

Untuk mendapat hasil yang lebih baik rebuslah pula sebiji buah kundur dan makan sehingga habis, berkenaan dengan size kundur tu pandai-pandailah. Kemudian carilah selut putih dibancuh dengan air, tapis dan amalkan meminumnya setiap hari untuk meneutralkan racun dan bisa-bisa yang berbaki. Selut putih ini juga boleh membantu alahan atau alergik. Cubalah juga meminumnya jika anda terkena cirit birit.  

Pernah juga aku kena keracunan makanan, aku muntah dengan teruk tak yah minum air kelapa dengan susu pun.. hehe. Kalau tak silap 7 atau lapan kali aku muntah. Aku saja tak nak pergi ke mana-mana klinik atau hospital walaupun hanya seberang jalan rumah aku je. Nak test apa yang paling simple untuk menawarkannya, dengan doa, secubit dua garam (sebaiknya korang guna garam kasar) dilarutkan dengan air panas dan sedikit urutan dibahagian hujung kaki akan melegakannya. Alhamdulillah ia benar-benar berkesan.

Petua Menghilangkan Kesakitan Kepala Akibat Panas.


Pada suatu hari beberapa tahun lalu sedang sakit kepala yang amat, aku mendapat ilham untuk mengurangkan kesakitan dengan melekapkan besi (pedang hadiah daripada ayah) ke dahi. Alhamdulillah kesakitan itu berkurang dengan cepat. Setelah berulangkali melekapkan besi ke dahi, aku ubah dengan menggunakan batu sungai. Saja nak test... Kesannya juga memuaskan dan rasanya lebih memuaskan dari menjerlum dengan air asam jawa dan juga ais. Apapun cubalah dulu mungkin ada beza antara kita.   

Sebelum ni ada jugak aku tulis petua stress dan migrain kot.. rajin-rajinkanlah diri kalau nak dapat ilmu.

Wallahu a'lam...
-----------

Apapun jangan kerana ada petua ini maka diabaikan pula perubatan moden. Banyak lagi petua lain yang akan menyusul. InsyaAllah... ruang masa yang ada perlu dibahagi-bahagikan mengikut keutamaan. Kewajiban-kewajiban itu lebih banyak daripada waktu yang ada.

Semoga Allah memperkenankan segala usaha kita sekalian ... sebar-sebarkanlah kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama.


Rabu, 9 November 2011

Berbantah-bantahan Adalah Antara Punca Kemunduran Dan Kehinaan Yang Menimpa Ummat Islam

Kemunduran dan kehinaan yang menimpa ummat Islam kini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang mana semuanya ada diterangkan di dalam Al Quran dan hadith-hadith. Di antaranya ialah firman  Allah :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
(Al Anfaal :46)

Punca-punca perselisihan atau sikap berbantah-bantahan pula ialah :

1.      Firman Allah :

Dan di antara orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani", Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.
(Al Maa’idah : 14)

2.       Firman Allah :

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran (pengetahuan) yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.
(As Syuraa : 14)

3.      Sabda Baginda SAW :

Apabila kamu berjual beli dengan al ‘ainah dan kamu mengikut pemerintah-penerintah yang zalim dan kamu asyik dengan ladang-ladang kamu dan kamu meninggalkan jihad kamu, nescaya Allah akan menimpakan ke atas kamu kehinaan yang tidak akan terhapus sehinggalah kamu kembali kepada ajaran agama kamu.[1]

4.      Firman Allah :

Kemudian kamu ini (Wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Al Baqaarah : 85)

5.      Sabda Rasulullah SAW :
يوشك أن تدعي عليكم الأمم كما تداعي الأكلة الى قصعتها. فقال قائل : أو من قلة يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينز عن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن في قلوبكم الوهن. قال قائل :يا رسول الله وما الوهن؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت.
Akan tiba saatnya di mana kamu akan dikerumuni (diserbu) oleh umat-umat lain (musuh-musuh dari pelbagai sudut) sebagaimana orang-orang yang sedang makan menghadapi hidangannya. Bertanya salah seorang daripada mereka : Adakah kerana bilangan kami pada masa itu sedikit wahai Rasulullah? Jawab Baginda : Bahkan kamu pada hari itu banyak. Tetapi kamu adalah kosong dan hanyut seperti buih-buih. Dan Allah akan mencabut daripada musuh-musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, dan Dia menanam (mencampakkan) pula ke dalam hati-hati kamu –penyakit- al-wahn. Bertanya salah seorang daripada mereka : wahai Rasulullah apakah al wahn itu? Jawab Baginda : Cintakan dunia dan bencikan mati. [2]

Justeru itu ketahuilah jama’ah yang diwajibkan setiap Muslim memberikan bai’ahnya ialah jama’ah yang berusaha membebaskan umat Islam daripada seluruh penyakit yang membawa kepada kehinaannya sehingga umat Islam diumpamakan kosong dan hanyut seperti buih-buih. Antara penyakit tersebut ialah al wahan sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith di atas.

[1] Hadith Riwayat

[2] Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Tsauban

Jumaat, 28 Oktober 2011

Debat Di Alam Maya Menurut Perspektif Islam



بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah : Pengenalan Dakwah Alam Maya.

Dakwah adalah suatu takhlif atau kewajiban yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada seluruh hamba-hambaNya yang mukhallaf. Secara asasnya, dakwah tidak terbatas kepada sesuatu tempat dan waktu secara khusus. Dakwah juga tidak terhad oleh wasilah (cara) tertentu sahaja dan ia adalah tugasan mulia yang dilaksanakan oleh para Nabi dan Rasul, kemudian dilanjutkan pula oleh para pewarisnya dari kalangan para ulama dan kaum muslim semuanya.

Sebagaimana yang diketahui dakwah tidak boleh tidak semestinya melibatkan wasilah. Fakta semasa membuktikan dakwah hari ini telah melangkaui wasilah konvensional dan tradisional kerana kini wasilahnya lebih luas; contemporary dan moden seperti menerusi telefon dan sms juga sistem audio dan visual. Mutakhir ini dakwah semakin moden dan menampakkan pengaruh melalui penggunaan internet ; emel, laman forum diskusi, laman sosial seperti yahoo messenger, facebook, MIRC, blog dan seumpamanya memenuhi ceruk rongga lautan alam maya yang tak bertepi. Sedangkan dahulunya hanya menggunakan berbagai wasilah seperti perutusan surat, penulisan-penulisan kitab, usrah-usrah, halaqah, katibah-katibah, wacana dan lain-lain yang tidak bersifat sepertimana hari ini di mana "dunia dihujung jari anda".

Berdakwah di alam nyata sememangnya memiliki beberapa perbezaan dengan dakwah di alam maya. Dalam keadaan sebenar kita mengetahui siapakah mad'u (sasaran dakwah) kita secara langsung kerana kita melihatnya secara fizik, terjadi pertentangan mata sehingga komunikasi dapat berlangsung secara hampir sempurna dengan adanya bahasa lisan dan tubuh badan. Berbeza dengan alam maya, yang mana kita tidak mengetahui siapa dan apakah watak sebenar mad'u kita kerana komunikasi yang terjadi biasanya hanya melalui tulisan. Dalam erti kata lain bolehlah dikatakan dakwah di alam maya memiliki keterbatasan dibandingkan dengan alam nyata.

Realiti Dakwah Menggunakan Kaedah Berdebat Di Alam Maya.

Penggunaan wasilah seumpama fb group dan laman-laman forum lain yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun amatlah dikesali apabila di antaranya kelihatan tidak dikawal dengan baik. Malahan segelintir mereka yang berpendidikan termasuk juga sebilangan kecil para da'ie yang sepatutnya lebih faham daripada sebahagian yang lainnya akhirnya terjebak sama dengan perbahasan dan perdebatan yang agak keterlaluan, keadaan ini pastinya adalah sesuatu yang menyedihkan kerana memungkin dakwah berubah menjadi dakyah.

Realiti masakini, jika ditinjau kepada forum-forum debat atau diskusi di wall facebook group atau seumpamanya membuktikan banyak sekali perdebatan yang tidak bermanfaat terjadi. Kebanyakkannya pula tidak ada moderator yang memoderasi argumentasi yang muncul di situ. Sehingga semua jenis argumentasi mulai dari yang benar dan salah bercampur aduk di situ, malah tidak dapat dinafikan terdapat makian, hasutan, penghinaan, provokasi dan lainnya yang jelas tidak akan membawa kebaikan dan manfaat bagi keimanan.

Gejala yang tidak sepatutnya janganlah dibiarkan berterusan dalam wasilah mana sekalipun, namun wasilah moden untuk berforum, berbahas serta menjawab pelbagai  isu dan persoalan adalah sesuatu perkara baru yang berpengaruh juga tidak terlepas daripada hukum sepertimana dakwah di alam nyata. Perkara-perkara yang merosakkan tugas dakwah pasti boleh dielakkan jika adanya kefahaman yang jitu dalam fiqh yang berkaitan dengannya, InsyaAllah.

Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh semua pihak untuk menghilangkan mafsadat yang sentiasa memburu para da'ie yang terbabit dalam perdebatan di alam maya. Jangan terus dibiarkan niat-niat dakwah yang baik pada awalnya berubah menjadi sesuatu yang mudharat dan tidak bermanfaat kepada para da'ie dan mereka yang sama melabuhkan sauh di situ untuk tumpang mengaut hasil. Tiada jalan lain selain daripada saling mengingatkan dengan hak dan kesabaran.

Justeru itu perlunya usaha-usaha untuk membuat sebuah penjelasan tentang panduan-panduan dakwah khususnya melalui media baru ini agar seorang muslim dapat lebih bijaksana dan menepati kehendak syara’ dalam memanfaatkannya untuk menyeru ke jalan Allah dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan akhlak muslim yang soleh dan sempurna.

GARIS PANDUAN DEBAT ALAM MAYA


Dalam alam maya terutamanya laman sosial seperti fb group dan seumpamanya, kerapkali pelayar-pelayarnya bertembung ombak-ombak diskusi atau debat yang terjadi dalam membahas sesuatu permasalahan atau isu. Sememangnya benar jika dikatakan debat (jidal) adalah suatu cara daripada pelbagai cara yang ada untuk berdakwah dan ianya diizinkan oleh Allah swt, sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an al kariim :
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik (an Nahl 16: 125)

قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إِنَّ اللهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (al Mujaadalah 58: 1)

Selain memperbolehkan wasilah debat atau diskusi ini, Allah dan rasulNya juga telah menentukan garis panduan dalam melakukan debat ini kerana daripada segi hukum asalnya adalah sama walaupun dalam hal aplikasinya adalah berbeza. Sayugialah para da'ie dan para pelayar lain di alam maya sekalian memahaminya.

Langkah-langkah awal yang utama mesti diambil kira sebelum berdebat.

Perhatikan siapa yang kita berdepan.

Pertama sekali dalam perdebatan selepas membetulkan niat yang menjadi asas dan mempunyai pengetahuan mengenai amal yang mahu dilakukan ialah perhatikan siapakah lawan debat atau diskusi kita. Sebagai pendakwah (da'ie) yang terpaksa memilih jalan debat dalam keadaan tertentu seharusnya mempunyai sasaran iaitu objek dakwah (mad'u) di mana mad'u itu adalah seseorang yang kelihatannya memang menginginkan dan mencari kebenaran, bukan hanya menyenangi debat atau menjadikan debat untuk memperolok-olok agama Islam. Dalam ertikata lain dia membuka ruang untuk seseorang menyampaikan hujah kebenaran bukan bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya bersilat kata dengan membabi buta dalam mempertahankan alasannya apabila diberi hujah kebenaran yang dibawa kepadanya.

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلا أُوتُوا الْجَدَلَ ثُمَّ تَلا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الآيَةَ: مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلا جَدَلا بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ
“Tidak ada satu kaum yang tersesat setelah mendapat petunjuk, melainkan kerana mereka suka berdebat” Kemudian Rasulullah saw membaca ayat: “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar. (Az-Zukhruf 43: 58)” [HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad]

Justeru itu hendaklah disedari bahawa tidak semua manusia yang diseru dengan ayat-ayat Allah akan bertambah keimanannya. Bukankah Allah SWT telah memperingatkan kepada kita bahawa adanya golongan yang bertambah kekafirannya ketika dibacakan ayat-ayatNya. Maka ayat Allah tidak layak dibacakan kepada mereka yang tergolong dalam kategori ini.

وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ
Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir
(at Taubah 9: 125)

Mungkin pada awalnya mereka ini berpura-pura namun jika sudah mendapat kepastian bahawa teman diskusi kita adalah termasuk orang munafik ataupun kafir yang memang bukan mencari kebenaran dalam debat dan diskusi, maka segeralah meninggalkannya dan beristighfarlah kepada Allah kerana kita mungkin telah melakukan hal yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu) (al An’am 6: 68)

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu diperdengarkan ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.
(An-Nisaa 4: 140)

Maksud “duduk berserta (bersama)” adalah berada dalam suatu forum atau yang seumpamanya, sehingga seolah-olah dengan adanya kita disitu menjadi bahan pengesahan bahawa apa yang mereka lakukan iaitu memperolok ayat-ayat Allah adalah suatu keharusan.

Imam as Syafi’ie sendiri berpendirian tegas dalam perihal berdebat dengan orang semacam itu :

مَا نَاظَرْتُ أَهْلَ الْكَلام إلا مَرَّةً وَأَنَا أَسْتَغْفِرُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ ذَلِكَ
“Tiadalah aku berdebat akan ahli kalam kecuali sekali. Dan setelah itupun aku beristighfar kepada Allah dari hal sedemikian itu”.

Imam Malik pula mengancam tindakan berdebat yang sebegitu dengan berkata :

“Termasuk (perbuatan) merendah dan meremehkan ilmu jika seseorang membicarakan ilmu di hadapan orang yang tidak mentaati ilmu itu”.

Dan Imam al Auza’ie juga telah menyampaikan:

إذَا أَرَادَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِقَوْمٍ شَرًّا فَتَحَ عَلَيْهِمْ الْجِدَالَ، وَمَنَعَهُمْ الْعَمَلَ
“Jika Allah menginginkan kehinaan pada sesuatu kaum, maka Allah akan membuka atas mereka jidal (perdebatan), dan menghalangi mereka dari beramal.”

Berpandukan kepada petikan-petikan di atas (lihat juga :: berbantahan dan debat yang merugikan ), maka jelaslah daripada melayani golongan sebegini adalah lebih baik kita melakukan dengan cara yang lebih berhikmah dengan menggunakan masa yang ada dalam dunia maya untuk menambah pengetahuan dan membuat posting atau entry dakwah tanpa perlu menjawab setiap bantahan mereka. Kemudian carilah sasaran dakwah lain yang lebih bermanfaat kepada dakwah.

Ingatlah, menghabiskan masa walaupun cuma sebentar untuk berdebat dengan mereka yang bersikap sebegitu tetap bererti kita membuang kesempatan untuk berdakwah kepada mereka yang mau mendengarkannya. Atau anda boleh beramal saja dengan pelbagai amalan soleh yang lain daripada mendebat orang yang tidak ingin mencari kebenaran. Apapun jangan lupa untuk mengikut keutamaan tugasan kaum Muslimin. Sila rujuk kitab Fiqh al Aulawiyat oleh sheikh Dr Yusuf al Qardhawi.

Perhatikan tajuk yang diperbahaskan


Seorang mukmin pastinya tidak akan menceburkan dirinya dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya didiskusikan apalagi diperdebatkan. Seorang mukmin tidak akan terburu sehingga terjerumus dalam perkara yang tidak bermanfaat, dan juga dalam perkara-perkara yang tidak akan meningkatkan keimanan ketika mendebat/mendiskusikan sesuatu tajuk. Begitu juga harus diperhatikan mengenai konsep nahyu munkar ( klik : Antara cara mencegah kemungkaran )

Dalam berdiskusi, kita hanya boleh membahas hal-hal yang telah Allah perbolehkan untuk mendiskusikannya, dan menjauhi perkara yang telah dilarang atau dimakruhkan untuk mendiskusikannya. Termasuk perkara ini adalah mendebat Allah dan ayat-ayatNya.

وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ
dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia-lah Tuhan Yang Maha keras siksa-Nya.
(ar Ra’du 13: 13)

جِدَالٌ فِي اْلقُرْآنِ كُفْرٌ
Berdebat tentang al Qur’an adalah kufur [HR. Ahmad Syakir]

Selain itu, kita juga diperintahkan untuk jangan terlalu dalam dalam memperdebatkan sesuatu yang ghaib semacam takdir, eksistensi Allah dan yang semacamnya

Diriwayatkan dari Nabi saw. beliau bersabda, “Jika diperbincangkan tentang sahabatku maka hentikanlah, jika diperbincangkan tentang ilmu nujum maka hentikanlah, dan jika diperbincangkan tentang takdir, maka hentikanlah,” (Hasan, lihat kitab ash-Shahihah ).


Konsep perdebatan menurut perspektif Islam

Masa para da'ie adalah terlalu berharga untuk membantah golongan yang memang tidak ingin mencari kebenaran. Dan apabila kita menemui entry, posting atau komen-komen yang menyerang Islam di internet, janganlah terburu-buru untuk membahaskannya secara berdebat sehingga meninggalkan konsep debat yang digariskan kerana mungkin itulah yang diingini oleh segelintir pihak yang memusuhi Islam. Mereka ini sentiasa berusaha mencari peluang untuk menjadi mulia dengan memijak kepala para da'ie sedangkan mereka ini bukanlah layak menjadi mad'u yang perlu diperbetulkan namun sebenarnya mereka ini adalah al mala' dan al mustakbirin.

Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya. Dan mereka berkata lagi: "Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa. (Saba' : 34-35)

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat). Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami melihatmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata. (al A'raaf : 59-60)

Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!. Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam agama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata. (Shad : 4-7).

Secara asasnya, ada beberapa konsep berkaitan debat menurut perspektif Islam yang perlu diketahui dan difahami, antaranya :

1. Debat dilakukan dalam percanggahan idea yang sedang diperbahaskan
Debat dilakukan dengan menyerang dan menjatuhkan alasan-alasan yang batil dengan memberikan hujah-hujah yang jitu dan benar, berdasarkan kajian hingga sampai pada suatu kebenaran. Dalam konsep yang mudah disebut, debat memiliki dua sifat iaitu merobohkan dan membangun argumentasi-argumentasi.

Di antara teladan cara debat melalui kaedah berfikir secara rasional yang diajarkan melalui al Quran adalah:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَآجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ
Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan,” orang itu berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat,” lalu hairan terdiamlah orang kafir itu; (al Baqarah 2: 258)

2. Debat mesti dilakukan dengan cara yang baik sebagaimana yang diperintahkan Allah

Maksudnya dilakukan dengan menggunakan panduan yang sama, iaitu al Qur’an dan al Hadis. Bukan berpandukan pada hujah yang tidak bersandar ataupun dengan akal fikiran yang tidak sewajarnya. Sekiranya menggunakan akal, maka semestinya dengan menggunakan buah fikiran (idea) yang rasional seperti dinyatakan dalam konsep pertama, bukan menggunakan kaedah spekulatif (yang berdiri persangkaan ataupun falsafah yang menyeleweng).

مَنْ كَانَ يُؤْ مِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلاَخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا اَوْلِيَصْمُتْ

Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam [HR Bukhari dan Muslim]
أما بعد فإن أصدق الحديث كتاب الله و خير الهدي هدي محمد صلى الله عليه و سلم

Amma ba’du: sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk, adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam [HR. Tirmizi, Ibnu Majah]
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ
Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu Al Qur’an) (az Zumar 39: 23)

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ
Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya: “Jika agama itu dibangun dengan akal fikiran tentu saja bagian bawah khuf (sarung kaki yang diperbuat daripada kulit) lebih patut disapu daripada bahagian atas. Sesungguhnya saya melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di bahagain atas khufnya. [HR. Abu Daud]

3. Menghindari berkata yang buruk, keji, mencaci atau memaki individu

Ketika kita sebagai da'ie berdebat maka perlu sentiasa ingat bahwa apa yang kita debatkan adalah idea yang disampaikan oleh orang yang dianggap sebagai mad'u, yang telah kita niatkan untuk mengubahnya. Maka mesti berusaha untuk tidak menjatuhkan peribadi yang menyampaikan alasan. Jangan sehingga kita menyerang keperibadiannya dan sehingga menggunakan kata-kata yang tidak mencerminkan keimanan kita kepada Allah.

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ، وَلاَ اللَّعَّانِ، وَلاَ الْفَاحِشِ وَلاَ الْبَذِيءِ
Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji [HR. Tirmidzi]

Namun begitu tidaklah Islam itu menafikan hak seseorang yang dimaki hamun untuk membalas kata-kata yang dilemparkan terhadap dirinya. Apapun janganlah kita memulakan dan membalas lebih daripada apa yang dilemparkan kepada kita, sebaik-baiknya adalah memaafkan. Jika dilihat sehingga peluang untuk berdakwah telah ditutup oleh mad'u yang berubah kepada al mala' atau mustakbirin. Maka tinggalkanlah mereka.

Lihat : Keadaan yang mengharuskan mengumpat dan mencerca

4. Tidak mencari-cari perdebatan atau senang dengan perdebatan
Sebagaimana yang diterangkan pada awalnya al Qur’an telah menjadikan debat sebagai salah satu cara dalam menyampaikan kebenaran Islam, tapi haruslah diingat bukanlah bererti al Qur’an memerintahkan kita untuk sesuka berdebat dan apalagi sengaja mencari-cari perdebatan. Sebagai da'ie seseorang mukmin itu seharusnya memahami bahawa perdebatan cumalah sejuzu' dari uslub dakwah. Ianya adalah jalan terakhir dalam dakwah, bukan malah mengawali dakwah dengan perdebatan. Jangan didahului sesuatu yang kemudian, yang utama diutamakan dan yang kemudian mestilah dikemudiankan.
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (al Anfaal 8: 46)


Peringatan Penting : Tinggalkan perdebatan di laman terbuka.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, diperbolehkan perdebatan cumalah sebagai jalan terakhir dalam cara berdakwah dengan bertujuan menegakkan yang hak dan meruntuhkan kebatilan atau sekurang-kurangnya ia adalah usaha menghilangkan mafsadat serta mendatangkan masalih. Maka apabila perdebatan yang menjadi jalan terakhir ini dilakukan melalui wasilah berbentuk umum yang dapat terlihat secara terbuka, maka memungkinkan sahaja perdebatan semacam ini akan lebih banyak mudharatnya bagi yang lain dan pasti akan menjadi perdebatan yang tidak berhujung jika ia tidak terkawal.

Dalam suasana terbuka sebegitu terkadang emosi yang lebih menguasai, dan emosi yang diluahkan melalui penulisan ini dibaca oleh sesiapa saja dan menimbulkan suatu persepsi buruk kepada para da'ie. Jelas sekali hal-hal seperti ini menimbulkan mudharat dan haram hukumnya. Sedangkan kaedah fiqh menyatakan: “wasilah (sarana) yang boleh membawa kepada keharaman maka wasilah itu haram”. Maka berdebat di internet dalam forum-forum umum dan boleh diakses semua orang tanpa moderasi adalah haram kerana kewujudan moderator dalam hal sebegini adalah wajib untuk menghalang sebarang keburukan. Untuk lebih memahaminya silalah memahami konsep sad'u zara'ie.

Jika benar-benar ingin menasihati dan berdebat secara ahsan, seorang da'ie perlulah mengundang mad'u untuk berdebat dan berbahas secara tertutup kerana ini lebih baik daripada kita berdebat dan berdiskusi secara terbuka di alam maya. Boleh sahaja dibuka satu forum atau fb group yang khusus untuk para pendokong isme yang bukan Islam yang memiliki kriteria mulia sebagai pendiskusi yang baik untuk berdebat dengan secara terhormat, itupun jika debat diperlukan sebagaimana telah disebut bahawa ia adalah jalan terakhir. 

Sebagaimana kewujudan fb group dan seumpananya yang membincangkan isu-isu berat seperti pertembungan pemikiran, para admin yang terbabit hendaklah memainkan peranan utama untuk menjadikan laman yang diuruskan sebagai medan diskusi atau debat yang memberi manfaat yang seumpama sebuah lubuk yang dihuni oleh ikan-ikan yang bernilai tinggi.

Tanpa kefahaman yang jitu dan kesungguhan dalam melaksanakan beberapa method yang telah disebut, maka pasti banyak perbahasan dakwah berubah rupa. Al mashalih yang cuba dipukat namun mafsadat yang terlekat. Tidaklah boleh sama sekali mana-mana admin yang sepatutnya bertindak sebagai moderator dan tuan rumah membiarkan posting-posting dan komen-komen yang bertentangan dengan agama atas alasan apa sekalipun. Janganlah dibiarkan sebegitu saja tanpa sebarang tindakan. Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara.


Justeru itu niat yang benar daripada setiap individu di sana hendaklah dilaksanakan dengan cara yang benar. Bila mana ditemui sesuatu yang bercanggahan dengan kehendak Islam di internet, maka kita memiliki pilihan samaada mahu turut serta atau tidak kerana dakwah tidak semestinya hanya berbahas dan hanya bertempat dalam dunia maya. Jangan risau peluang kita untuk mengaut pahala masih banyak, insyaAllah.

JANGAN DIBIAR DAKWAH MENJADI DAKYAH


والله اعلم

Di sunting oleh : Ustazthrash Mujahid daripada penulisan asal oleh saudara di negara jiran.

BERBANTAHAN DAN DEBAT YANG MERUGIKAN : Peringatan Para Ulama Salaf Terhadapnya.

Di sunting oleh :: Ustazthrash Mujahid

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..
Sama-samalah kita merenung dan memuhasabah diri, siapakah diri kita dalam masalah yang dibicarakan ini. Setiap kata dan kalimat yang terbit hendaklah diambil kira.

Semoga usaha ini dapat membina sakhsiyah Islam, InsyaAllah..

1. Nabi Sulaiman ‘alaihissalam
Nabi Sulaiman ‘alaihissalam berkata kepada putera baginda :
“Tinggalkanlah mira’ (jidal, mendebat kerana ragu-ragu dan menentang) itu, kerana manfaatnya sedikit. Dan ia membangkitkan permusuhan di antara orang-orang yang bersaudara.” 
[Ad-Darimi: 309, al Baihaqi, Syu’abul Iman: 1897]

2. Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu
Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata :
“Cukuplah engkau sebagai orang zalim bila engkau selalu berdebat. Dan cukuplah dosamu jika kamu selalu menentang, dan cukuplah dosamu bila kamu selalu berbicara dengan selain  zikir kepada Allah.” 
[al-Fakihi dalam Akhbar Makkah]

Sementara ad-Darimi meriwayatkan bahwa Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Engkau tidak menjadi alim sehingga engkau belajar, dan engkau tidak disebut mengerti ilmu sampai engkau mengamalkannya. Cukuplah dosamu bila kamu selalu mendebat, dan cukuplah dosamu bila kamu selalu menentang. Cukuplah dustamu bila kamu selalu berbicara bukan dalam zikir tentang Allah.” 
[Darimi: 299]

3. Muslim Ibn Yasar rahimahullah
Musim ibn Yasar rahimahullah berkata :
“Jauhilah perdebatan, kerana ia adalah saat bodohnya seorang alim, (sedangkan) di dalamnya syaitan menginginkan ketergelincirannya (yakni menjadi sesat).” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra; Darimi: 404]

4. Hasan Bashri rahimahullah
Ada orang datang kepada Hasan Bashri rahimahullah lalu berkata, “Wahai Abu Sa’id kemarilah, agar aku boleh mendebatmu dalam agama!” Maka Hasan Bashri rahimahullah berkata:
“Adapun aku maka aku telah memahami agamaku, jika engkau telah menyesatkan (menyia-nyiakan) agamamu maka carilah.” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra: 588]

5. Umar ibn Abdul Aziz rahimahullah
Umar ibn Abdul Aziz rahimahullah berkata :
“Barangsiapa menjadikan agamanya sebagai sasaran untuk perdebatan maka ia akan banyak berpindah-pindah (agama).” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra: 565]

Penyunting : untuk memahami lafaz 'berpindah-pindah agama' lihatlah pada ucapan Imam Malik rhm menjawab Abu al Juwairah yang mengajak beliau berdebat pada no15.

6. Abdul Karim al-Jazari rahimahulah
Abdul Karim al-Jazari rahimahulah berkata :
“Seorang yang wira’ie* tidak akan pernah mendebat sama sekali.” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra: 636; Baihaqi dalam Syu’ab: 8249]

*Wira’ie artinya orang yang sangat menjaga diri dari hal-hal yang syubhat dan membatasi diri dari yang mubah.

7. Ja’far ibn Muhammad rahimahullah
Ja’far ibn Muhammad rahimahullah berkata :
“Jauhilah oleh kalian pertengkaran dalam agama, kerana ia menyibukkan (mengacaukan) hati dan mewariskan kemunafikan.” 
[Baihaqi dalam Syu’ab: 8249]

8. Mu’awwiyah ibn Qurrah rahimahullah
Mu’awwiyah ibn Qurrah rahimahullah berkata :
“Dulu dikatakan: pertikaian dalam agama itu melebur amal.” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra: 562]

9. al Auza’i rahimahullah
al Auza’i rahimahullah berkata :
“Jika Allah menghendaki keburukan pada suatu kaum maka Allah menetapkan jidal pada diri mereka dan menghalangi mereka dari amal.” 
[Siyar al-A’lam 16/104; Tadzkiratul Huffazh: 3/924; Tarikh Dimsyq: 35/202]

10. Imran al-Qashir rahimahullah
Imran al-Qashir rahimahullah berkata :
“Jauhi oleh kalian perdebatan dan permusuhan, jauhi oleh kalian orang-orang yang mengatakan: Bagaimana menurutmu, bagaimana pendapatmu.” 
[Ibnu Baththah, al-Ibanah al-Kubra: 639]

Penyunting : Bertanya dengan tujuan mengumpan seseorang kepada perdebatan.

11. Muhammad ibn Ali ibn Husain rahimahullah
Muhammad ibn Ali ibn Husain rahimahullah berkata :
“Pertikaian itu menghapuskan agama dan menumbuhkan permusuhan di hati orang-orang.” 
[al-Adab al-Syar’iyyah: 1/23]

12. Abdullah ibn Hasan ibn Husain rahimahullah
Abdullah ibn Hasan ibn Husain rahimahullah berkata:
Dikatakan kepada Abdullah ibn al Hasan ibn al Husain rahimahullah, “Apa pendapatmu  tentang perdebatan (mira’)?”
Dia menjawab: “Merosak persahabatan yang lama dan mengurai ikatan yang kuat. Minimal ia akan menjadi sarana untuk menang-menangan itu adalah sebab pemutus talit silaturrahim yang paling kuat.” 
[Tarikh Dimasyq: 27-380]

13. Bilal ibn Sa’d rahimahullah
(kedudukannya di Syam sama dengan Hasan Bashri di Bashrah)
Bilal ibn Sa’d rahimahullah berkata:
“Jika kamu melihat seseorang terus-terusan menentang dan mendebat maka sempurnalah kerugiannya.” 
[al-Adab al-Syar’iyyah: 1/23]

14. Wahab ibnu Munabbih rahimahullah
Wahab ibnu Munabbih rahimahullah berkata:
“Tinggalkanlah jidal dari perkaramu, kerana ia tidak akan dapat mengalahkan salah satu dari dua orang: seseorang yang lebih alim darimu, bagaimana engkau memusuhi dan mendebat orang yang lebih alim darimu? Dan orang yang engkau lebih alim daripadanya, bagaimana engkau memusuhi orang yang engkau lebih alim daripadanya dan ia tidak mentaatimu? Maka tinggalkanlah itu.” [Tahdzibul Kamal: 31/148; Siyarul A’lam: 4/549; Tarikh Dimasyq: 63/388]

15. Malik ibnu Anas rahimahullah
Ma’n rahimahullah berkata: “Pada suatu hari Imam Malik ibn Anas berangkat ke masjid sambil berpegangan pada tangan saya, lalu beliau dikejar oleh seseorang yang dipanggil dengan Abu al-Juwairah yang dituduh memiliki Aqidah Murji’ah. Dia berkata: “Wahai Abu Abdillah dengarkanlah dariku sesuatu yang ingin saya kabarkan kepada anda, saya ingin mendebat anda dan memberi tahu anda tentang pendapatku.’
Imam Malik berkata, “Hati-hati, jangan sampai aku bersaksi atasmu.” Dia berkata, “Demi Allah, saya tidak menginginkan kecuali kebenaran. Dengarlah, jika memang benar maka ucapkan.” Imam Malik bertanya, “Jika engkau mengalahkan aku?” Dia menjawab, “Maka ikutlah aku!” Imam Malik bertanya lagi, “Kalau aku mengalahkanmu?” Dia menjawab, “Aku mengikutimu?” Imam Malik bertanya, “Jika datang orang ketiga lalu kita ajak bicara dan kita dikalahkannya?” Dia berkata, “Ya kita ikuti dia.”

Imam Malik rahimahullah berkata:
“Hai Abdullah, Allah azza wa jalla telah mengutus Muhammad dengan satu agama, aku lihat engkau banyak berpindah-pindah (agama), padahal Umar ibnu Abdil Aziz telah berkata, “Barangsiapa menjadikan agamanya sebagai sasaran untuk perdebatan maka dia akan banyak berpindah-pindah.”

Imam Malik rahimahullah berkata:
”Jidal dalam agama itu bukan apa-apa (tidak ada nilainya sama sekali).”

Imam Malik rahimahullah berkata:
“Berbantahan dan perdebatan dalam ilmu itu menghilangkan cahaya ilmu dari hari seorang hamba.”

Imam Malik rahimahullah berkata:
“Sesungguhnya jidal itu mengeraskan hati dan menimbulkan kebencian.”

Imam Malik rahimahullah pernah ditanya tentang seseorang yang memiliki ilmu sunnah, apakah ia boleh berdebat membela sunnah? Dia menjawab,”Tidak, tetapi cukup memberitahukan tentang sunnah.”

(Tartibul Madarik wa Taqribul Masalik, Qadhi Iyadh: 1/51; Siyarul A’lam: 8/106; al-Ajjurri dalam al-Syari’ah, hal.62-65)

16. Muhammad ibn Idris as-Syafi’I rahimahullah
Imam as-Syafi’i rahimahullah berkata:
“Berbantahan dalam agama itu mengeraskan hati dan menanamkan kedengkian yang sangat.” [Thobaqat Syafiiyyah 1/7, Siyar, 10/28]

17. Ahmad bin Hambal rahimahullah
Imam Ahmad rahimahullah pernah ditanya oleh seseorang, “Saya ada di sebuah majlis lalu disebutlah didalamnya sunnah yang tidak diketahui kecuali oleh saya, apakah saya mengatakan?”
Dia menjawab:“Beritakanlah sunnah itu, dan janganlah mendebat kerananya!”
Orang itu mengulangi pertanyaannya, maka Imam Ahmad rahimahullah berkata:
“Aku tidak melihatmu kecuali seorang yang mendebat.”

[al-Adab as-Syar’iyyah: 1/358, dalam bab menyebar sunnah dengan  ucapan dan perbuatan tanpa perdebatan dan kekerasan; al-Bashirah fid-Da’wah Ilallah: 57]

18. Shafwan ibn Muhammad al-Mazini rahimahullah
Saat Shafwan rahimahullah melihat para pemuda berdebat di Masjid Jami’ maka ia mengibaskan tangannya sambil berkata :
“Kalian adalah jarab, kalian adalah jarab (sejenis penyakit kulit).” 
[Ibnu Battah: 597]

Dahulu dikatakan:
“Janganlah engkau mendebat orang yang santun dan orang yang bodoh; orang yang santun mengalahkanmu, sedang orang yang bodoh menyakitimu.” [Al-Adab al-Syar’iyyah: 1/23]

Penyunting : Lafaz di atas adalah seakan menyerupai lafaz Abdul Wahab bin Munabbih rhm pada no14.

“Ya Allah jauhkanlah kami dari jidal, dan anugerahkan pada kami istiqamah. Janganlah Engkau simpangkan hati kami setelah engkau memberi hidayah pada kami.”

Tajuk asal : Salaf Shalih Memperingatkan BAHAYA DEBAT,  Agus Hasan Bashori, Lc., M.ag. Hafizhahullah. (( Majalah Qiblati -Indonesia- Edisi 03 Tahun IV (12-1429/12-2008) hal.16-20 ))

Dinukil daripada :: aL QIYAMAH Muslim Weblog

Selasa, 25 Oktober 2011

Jawatan Perdana Menteri : Semestinya Lelaki Sahaja

Teman-teman facebooker seperti biasa sering bertanya mengenai pelbagai hukum. Namun semalam ada sedikit perbezaan kerana mereka kelihatan mahukan kepastian sangat-sangat apakah hukum jawatan pemimpin negara jika diberi kepada wanita? Kata mereka akhbar Sinar ada melaporkannya. Oleh kerana otakku bercelaru mengenangkan kesakitan (nazak) yang sedang ditanggung oleh nendaku, maka aku hanya menjawab soalan yang sudah pasti isunya dan bagiku dalam kategori ringan. Dan persoalan itu aku tinggalkan dahulu.

Setelah aku bermunajat kepada Allah dan bertawakal sebulat hatiku sehingga hadir ketenangan. Maka aku 'menjelajah' dalam Sinar Harian untuk mengetahui isu sebenar, di sana aku menemui sesuatu yang amat menakutkan. Astagfirullahal adziim..
 
Tajuk laporan yang menakutkan yang dimaksudkan ialah :

Tidak semestinya lelaki sahaja

SHAH ALAMMasyarakat perlu mengikis pandangan bahawa jawatan pemimpin negara layak didominasi lelaki sahaja.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, jawatan ketua atau pemimpin bukan hak eksklusif kaum lelaki sahaja, kerana wanita juga mampu menggalas tanggungjawab itu sebaiknya jika diberi peluang.

Ia adalah pandangan yang ketinggalan zaman dan kerana sudah terbiasa bahawa jawatan itu hanya didominasi kaum Adam sahaja. Tindakan bersikap prejudis kepada kepimpinan wanita perlu dikikis kerana perbezaan gender bukan alasan untuk seseorang itu dipilih sebagai pemimpin. Justeru, kepercayaan perlu ada dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan wanita bahawa mereka juga mampu memberikan yang terbaik kepada negara,” katanya.

Mustafa berkata, undang-undang negara juga tidak menghalang wanita dilantik sebagai pemimpin negara jika mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Pemimpin yang baik mestilah dapat memberi kemajuan dan membawa transformasi kepada negara dan rakyat di bawah pentadbirannya. Jika wanita tersebut mendapat sokongan yang baik daripada rakyat dan mempunyai ciri kepimpinan adalah wajar beliau dilantik sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai sifat wanita yang sering dikaitkan gagal mengawal emosi berkata, ia bukan halangan atau alasan kerana adalah perkara biasa bagi mana-mana individu sekalipun mengalami perkara yang sama.

Lelaki mahupun wanita mengalami perkara yang sama, namun bergantung kepada individu tersebut untuk mengawal dan mengatasinya semasa melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Katanya, pimpinan negara ini juga membuktikan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Ia bukan perkara baru kerana sejarah juga membuktikan wanita mampu menjadi pemimpin negara seperti sejarah Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman yang ditulis dalam al-Quran. “Malahan, ia juga dapat dilihat melalui kejayaan Queen Victoria yang membawa transformasi kepada United Kingdom sebagai sebuah negara berkuasa besar yang digeruni dunia,” katanya. 

Sumber laporan : Sinar Harian 25 Okt 2011
============================================
Haram Melantik Wanita Sebagai Pemimpin Negara / Perdana Menteri.Muqaddimah : Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah!

Soalan : Apakah dibolehkan syara' seorang wanita itu menjadi pemimpin negara?

Wanita tidak boleh menjadi pemimpin negara. Dengan kata lain, di negara Malaysia ini Perdana Menteri semestinya adalah seorang lelaki sejati yakni tidak boleh seorang wanita.

Berdasarkan  hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah r.a, bahawa Nabi SAW apabila sampai kepada baginda SAW berita bangsa Parsi melantik puteri Kisra sebagai ratu (pemerintah), maka baginda SAW bersabda :
لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة
Tidak akan berjaya (beruntung) sama sekali kaum yang menyerahkan kekuasaan (melantik) wanita sebagai pemimpin mereka”  (Al-Bukhari, Al-Tarmizi, dll).

Semenjak dahulu lagi memang ada yang meragui kesahihan hadis ini. Mereka beralasan salah seorang perawi hadis ini, Abu Bakrah, sebagai orang yang tidak layak dipercayai lantaran menurut mereka ia pernah memberikan kesaksian palsu dalam sebuah kes perzinaan di masa pemerintahan Umar bin Khattab. Namun pengkajian terhadap peribadi Abu Bakrah sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab yang menulis tentang Rijaal al Hadis seperti Tahdibu al-kamal fi Asmaa al-Rijal, Thabaqat Ibnu Sa’ad, Al Kamil fi Tarikh Ibnul Atsir menunjukkan bahwa Abu Bakrah adalah seorang sahabat yang alim, dan perawi yang terpercaya. Oleh kerana itu, dari segi periwayatannya tidak ada alasan sama sekali untuk menolak kesahihan hadis tentang larangan melantik wanita sebagai pemimpin negara.

Ikhbar
(pemberitahuan) Rasulullah SAW dengan menafikan keberuntungan (yakni pastinya rugi) pada  sesuatu kaum atau golongan yang menyerahkan kekuasaan mereka kepada seorang wanita adalah  menunjukkan larangan terhadap kepimpinan wanita kerana telah jelas pernyataan baginda SAW tersebut adalah berbentuk perintah (shiyagut thalah). Ditambah lagi, pemberitahuan  tersebut merupakan pemberitahuan yang berisi celaan (adz dzam) kepada  mereka yang menyerahkan kekuasaannya kepada seorang wanita, dengan cara  menafikan keberuntungan pada mereka, maka hal itu dapat dijadikan qarinah bahawa celaan tersebut merupakan larangan yang pasti dan tegas. 

Jelas sekali larangan mengangkat seorang wanita untuk dijadikan pemimpin di sini  disertai dengan indikasi atau qarinah yang menunjukkan tuntutan yang tegas dan pasti supaya ditinggalkan perbuatan  tersebut (usaha mengangkat sesorang wanita menjadi pimpinan negara).

Mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara adalah haram. Sedangkan yang dimaksud dengan larangan mengangkat seorang  wanita menjadi penguasa di sini adalah menduduki jabatan khalifah kerana yang dibicarakan di sini  adalah pengangkatan puteri Kisra sebagai ratu yang berkuasa. Jadi  persoalannya adalah khusus persoalan pemerintahan, bukan sahaja khusus mengenai  kejadian diangkatnya puteri Kisra sebagaimana yang terdapat pada sababul wurud hadis tersebut. Namun diingatkan bahawa ia juga tidak boleh diertikan secara umum atau mencakupi segala jawatan selain pemerintahan. 

Al Imam al Qurtubi rhm menyentuh hal ini dalam tafsirnya; al Jaami’ li ahkamil Quran telah menegaskan :

"Khalifah haruslah seorang lelaki dan para fuqaha telah bersepakat bahwa wanita tidak boleh menjadi imam (khalifah/pemimpin negara)".


=========================================
Menjawab alasan rapuh kumpulan yang menyokong wanita sebagai pemimpin negara.

Secara terperincinya berdasarkan laporan akhbar di atas (lihat ayat-ayat yang telah saya boldkannya), ia sebenarnya adalah sebahagian dari sejumlah argumen atau alasan-alasan lain yang menjadi alasan mereka yang menyokong wanita menjadi pemimpin negara. Oleh itu saya akan berusaha menjawab kembali alasan-alasan mereka ini sekadar yang terdaya.

1) Masyarakat perlu mengikis pandangan bahawa jawatan pemimpin negara layak didominasi lelaki sahaja. 2)  Ia adalah pandangan yang ketinggalan zaman...
3) Tindakan bersikap prejudis
kepada kepimpinan wanita perlu dikikis kerana perbezaan gender ...... 4) Undang-undang negara juga tidak menghalang wanita dilantik sebagai pemimpin negara jika mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan
5) Lelaki mahupun wanita mengalami perkara yang sama, ...
6) pimpinan negara ini juga membuktikan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Ia bukan perkara baru kerana sejarah juga membuktikan wanita mampu menjadi pemimpin negara seperti sejarah Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman yang ditulis dalam al-Quran.

Jawaban kepada alasan-alasan di atas :

1) Layak atau tidak layak adalah bergantung kepada hukum syara' kerana hukum Islam ini adalah daripada Allah yang disampaikan melalui rasulNya. Sesungguhnya hanya Allah dan rasulNya yang lebih mengetahui siapa yang layak atau tidak.

Sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya, di mana hadis di atas yang tersebut jelas melarang dijadikan wanita sebagai pemimpin negara. Lafaz wallau amrahum dalam hadis di atas bererti mengangkat seseorang sebagai waliyul amri (pemegang tampuk pemerintahan). Ini tidak menghairankan oleh kerana hadis tersebut memang merupakan komentar Rasulullah SAW bila mana sampai kepada baginda berita tentang pertabalan puteri Kisra sebagai Raja Parsi.

Ditegaskan sekali lagi, sekalipun teks hadits tersebut berupa kalimat berita (khabar), tapi pemberitaan dalam hadis tersebut disertai dengan celaan (dzam) atas suatu kaum atau masyarakat yang menyerahkan kekuasaan pemerintahan kepada seorang wanita, berupa ancaman tiadanya keberuntungan atas mereka. Celaan ini merupakan qarinah (indikasi) adanya tuntutan yang bersifat jazm (tegas dan pasti). Dengan demikian mengangkat wanita sebagai Perdana Menteri atau yang setarafnya secara pasti hukumnya haram.

2) Hukum ini bukanlah ketinggalan zaman walaupun berlakunya kejatuhan sistem khilafah di masa lalu dan terkenalnya sistem yang konon moden serta thagut ini. Alasan mereka ini perdana menteri dan yang seumpamanya bukanlah al imamu al azham sebagaimana dalam sistem pemerintahan Islam pada suatu ketika dulu adalah suatu alasan yang sangat lemah. Mengapa? Kerana teks hadis di atas sudah menjawab dengan sendirinya.

Untuk menjelaskannya lagi, Buran yakni si puteri Kisra yang diangkat sebagai ratu dalam sistem kekaisaran Parsi adalah bukan Islam dan sememangnya tidak sama dengan sistem pemerintahan Islam. Bila dalam kes Buran, Rasulullah SAW mengharamkannya. Apa pula bezanya dengan sistem yang di amalkan di Parsi sewaktu itu dengan undang-undang Malaysia sekarang yang membenarkan juga si wanita sebagai pemimpin negara?? Sedangkan kes Buran dan sistem ciptaan manusia ini juga sama-sama bukan sistem pemerintahan Islam dan adalah sistem yang sememangnya adalah sistem yang sama-sama 'ketinggalan zaman' (mengikut penilaian sistem moden kononnya)!

Justeru itu adalah salah jika di anggap bahwa larangan mengangkat wanita sebagai pemimpin negara tidaklah mencakup larangan untuk menjadi perdana menteri oleh kerana jawatan itu tidak sama dengan jawatan imam atau khalifah dalam Islam di saat lampau kerana telah jelas ajaran moden (?) telah di amalkan juga oleh kerajaan PARSI dan berlaku di zaman rasulullah sendiri.

3) Sesungguhnya Islam tidak pernah bersikap prejudis, kerana Allah adalah Yang Maha Adil. Ketahuilah jantina itu dijadikan Allah dan secara fitrah lelaki mempunyai kekuatan melebihi perempuan sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an yang petunjuk lain yang sangat jelas bahwa laki-laki adalah pemimpin bagi kaum wanita.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita). (An-Nisa' : 34)

Benar, ayat ini memang berbicara tentang keluarga, dan kepemimpinan lelaki atas wanita dalam sebuah rumah tangga. Lalu apa hubungannya dengan persoalan negara?

Dengan pendekatan atau kaedah tasyri' min baabi al aula (keharusan yang lebih utama) maka kita akan mendapat jawabannya. Bila mana untuk mengatur rumah tangga saja lelaki harus menjadi pemimpin, apalagi "rumah tangga besar" dalam wujud sebuah bangsa atau negara tentu lebih diharuskan seorang lelaki sebagai pemimpinnya. Apabila untuk mengatur urusan yang lebih kecil seperti urusan rumah tangga, Allah telah menetapkan lelaki sebagai pemimpin atas wanita, maka terlebih lagi masalah negara yang lebih besar dan kompleks, tentu lebih wajib diserahkan kepada lelaki.

Apakah Islam dianggap prejudis terhadap lelaki apabila wanita adalah dijanjikan sebagai golongan yang mudah memasuki syurga, haji mereka itu juga adalah jihad dan malahan ada banyak lagi keistimewaan wanita dalam kaca mata Islam berbanding lelaki dalam pelbagai hal...

4) Apakah undang-undang manusia boleh menandingi hukum syara'??? Jangalah seseorang yang mengaku beragama Islam itu mengangkat hukum manusia terlebih dahulu daripada hukum syara'. Jika ada hukum manusia yang menyamai hukum syara', maka jadilah hukum akal manusia itu sekadar menyokong kebenaran syara'.

5) Alasan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Sayugialah diketahui perkara ini tidak bolehlah dikaitkan  untuk menentukan benar atau tidak benar jawatan perdana menteri itu layak untuk seorang wanita kerana perbezaan status authoriti dan portfolio. Hatta sebagai Muslim beralasan dengan kenyataan adanya perdana menteri wanita di sejumlah negera yang di dominasi kaum Muslimin seperti Benazir Bhutto di Pakistan atau Beghum Khalida Zia di Bangladesh sekalipun tidaklah cukup untuk menggugurkan larangan wanita untuk menjawat jawatan pemimpin negara yang utama. Kenyataan di atas harus dipandang sebagai penyimpangan. Dan haruslah diingat sebuah kenyataan bukanlah hukum, apalagi bila kenyataan itu bertentangan dengan hukum itu sendiri. Sama seperti hukum solat. Bila dilihat akan kenyataan cukup banyak di negera ini mereka yang tidak solat, apakah lantas hukum solat boleh berubah begitu saja menjadi tidak wajib? Maka menjadi kewajiban seluruh kaum Muslimin untuk membuat pembetulan atau meluruskan kenyataan yang menyimpang ini, bukan pula membuat penyimpangan yang lain.

Alasan sejarah Ratu Balqis yang digunakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara ketika ini adalah melambangkan lemahnya kefahaman beliau dalam hal al Quran kerana Ratu Balqis adalah pemerintah sebelum tunduk kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman AS yang kemudiannya menjadi suami kepada Balqis. 



Sejarah pemerintahan Islam, baik di masa Khulafa al Rasyidin, Bani Umayah, Bani Abassiyah atau pemerintahan sesudahnya, tidak pernah sekalipun adanya seorang pun khalifah diangkat dari kalangan kaum wanita. Memang di Mesir pernah berkuasa seorang ratu bernama Syajaratud Dur dari dinasti Mamalik (Mamlukah). Tapi kekuasaan yang diperolehnya itu sekadar tempias dari kematian al malik Solih, pemimpin di waktu itu. Akhirnya setelah tiga bulan berkuasa (jadi sifatnya sangat sementara serta relatif tidak diduga), maka tampuk pemerintahan berpindah kepada Amir Izzudin yang kemudian menikahinya. Jadi jelas sekali tidak ada persamaan dalam sejarah Islam menyangkut peranan wanita sebagai pemimpin negara.


Kesimpulan.

Demikianlah hukum Islam dalam hal yang berkaitan larangan mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara. Penjelasan telah diberikan, terpulanglah kepada kita mahu menerima atau tidak. Tetapi sebelum itu, ada beberapa hal yang mesti diperhatikan :

1) Jawaban ini dibuat semata-mata untuk menjelaskan kepada ummat Islam dengan penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai hukum Islam tentang larangan mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara. Ia tidak dibuat atas dasar diskriminasi. Sekalipun calon itu misalnya adalah wanita muslimah, tetap saja kita semestinya menolak pencalonan itu berdasarkan ketentuan hukum Islam.

2) Kontroversi antara yang pro dan kontra pemimpin wanita akan menjadi panas sekiranya diteruskan, dan mungkin pada saat itu tiada akan menghasilkan titik temu bila sejak dari awal cara berfikir semakin tidak sama. Pihak yang pro pemimpin wanita menggunakan alasan kesamaan taraf jantina, bahawa baik lelaki atau perempuan harus diberikan hak politik yang sama termasuk kesempatan untuk menjadi perdana menteri. Dalam hal ini mereka pasti sama sekali tidak mempertimbangkan tuntutan agama, sekalipun diantara mereka mungkin banyak yang beragama Islam. Sementara, yang kontra mendasarkan pendapatnya pada ketentuan hukum Islam, disamping mungkin ada juga faktor lain. Justeru itu sebelum terlewat perkara ini haruslah diambil berat oleh semua pihak dan memainkan peranan mengikut kemampuan dan bidang-bidang masing-masing.

3) Seorang muslim seharusnya sentiasa mendasarkan pendapat-pendapat kita kepada hukum Islam. Termasuk parti-parti yang mengaku berasas Islam yang semestinya hanya melandaskan keputusan-keputusan politiknya pada ajaran Islam. Ulama macam mana bila ia tidak lagi berpegang pada syariat Islam? tidak sepatutnya sesiapapun daripada kaum muslimin, menyokong pencalonan seorang wanita sebagai perdana menteri atau timbalan walaupun undang-undang negara tidak melarang. Bila kita tak acuh terhadap ketentuan hukum Islam mengenai hal ini, lantas dimanakah kemusliman kita hendak diletakkan! Dan bagaimana pula kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini??

Sebagai sesama muslim, kita tentu tidak menginginkan seseorang muslimah terjerumus pada dosa dan kesalahan hanya lantaran dorongan orang-orang disekitarnya yang tidak tahu atau tidak mahu tahu prinsip pemerintahan dan syarat pemberian jawatan yang digariskan dalam agama Islam.

Sebagai sebuah ummah, kita ini sebenarnya sudah terlalu banyak melanggar aturan-aturan Allah. Lihatlah, berbagai pelaksanaan dalam kehidupan di saat ini sama ada yang menyangkut aspek sosial, ekonomi, maupun pemerintahan, jelas sekali tidak sesuai dengan kehendak syariat islam. Di bidang hukum, begitu banyak hukum-hukum sekular yang diterapkan dan boleh jadi masih akan banyak lagi yang dilegalkan melalui keputusan parlimen. Masihkah kita akan menambah semua itu dengan maksiat besar yang baru dengan mengangkat perdana menteri wanita? Tidakkah cukup krisis ekonomi, krisis sosial, krisis politik yang mendera negera ini lebih dari puluhan tahun lamanya. Apakah ia tidak cukup menyedarkan kita untuk kembali kepada jalan yang benar? Krisis seperti apa lagi yang bakal terjadi bila kita tetap terus membangkang, tak acuh terhadap hukum-hukum Allah dan segala ancamanNya?

Bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang beriman !