"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah.."
(Tazkirah ringkas seorang ulamak terkenal tanah air -2010)
(Tazkirah ringkas seorang ulamak terkenal tanah air -2010)
Kehidupan yang penuh dengan keserabutan, kebimbangan dan kerisauan. Masalah ekonomi yang meruncing walaupun ada yang bergaji besar namun masih tidak mencukupi, tidak pernah merasa puas dengan segala apa yang ada. Rumahtangga yang sentiasa bergolak- isteri yang tidak patuh dan anak-anak yang derhaka. Pertengkaran yang tidak berkesudahan dengan kenalan, sahabat handai juga jiran tetangga. Tanah air yang diduduki pula tidak dirasakan aman kerana masalah sosial yang merunsingkan dan penjenayah pula berada di merata-rata ceruk dan rongga. Inilah antara sedikit ranjau yang berbisa dalam kehidupan.
Ramai dikalangan kita yang mengakui Islam sebagai cara hidup, pastinya pernah memiliki atau sentiasa berkesedaran bahawa kebanyakan masalah yang timbul dalam hidupnya ini sebenarnya adalah kerana sikap diri sendiri yang mengakibatkan kesannya kepada semua aspek sehingga membabitkan anggota masyarakat yang lain. Ramai yang sedar maslah utama adalah kerana keborokan yang berpunca daripada kejahilan sebagaimana kepincang dalam kehidupan masyarakat jahiliah di zaman Rasulullah. Di mana yang kerananya itu kita tidak mendapat keredhaan ALLAH swt. Wa nastaghfiruka wa natubuu ilaik..
Penyakit berbisa dah tau puncanya, maka janganlah berlengah untuk menawarkannya. Ambillah al Quran sebagai ikthiar usaha yang utama untuk mengubatinya. Maka dengannya mengubah kejahilan dan dengannya pasti mengubah hati serta sikap kita dalam menangani ranjau kehidupan.
Firman Allah :
"Dan mereka yang berjihad (bersungguh-sungguh) pada (mendapat keredhaan) Kami, Kami pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka akan jalan-jalan Kami, dan sesungguh-sungguhnya pasti Allah tetap bersama para MUHSININ."
(Al ’Ankabut : 69)
Muhsinin adalah golongan yang berjihad (bersungguh-sungguh) di jalan Allah SWT untuk sampai dan berhubung dengan ALLAH. Atau dalam ertikata yang ringkasnya mereka adalah golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan mereka keranaNya.
Mereka ini sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencapai redhaNya dengan melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Setiap perkara diambil berat dari sekecil perkara seperti hukum bersuci sehinggalah perkara yang besar seperti bab kepimpinan negara. Mereka amat bimbang sekali tersasar dari jalan yang diredhaiNya. Maka dengannya mereka sentiasa mendapat petunjukNya untuk sentiasa berada di atas jalan yang sebenar.
Maka dengan usaha yang sedemikian Allah pasti akan memberi SEPENUH perhatian kepada mereka dari maqamNya Yang Maha Agung dan kerana dengannya itu Dia melimpahkan keredhaanNya kepada mereka.
Pastinya Allah menghargai usaha-usaha mereka untuk sampai kepadaNya dan kerana itu Allah memberi bimbingan kepada mereka. Sesungguhnya Allah memandang tinggi kepada JIHAD (kesungguhan) mereka dan kerana itu DIA memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Bahkan Allah memandang tinggi juga kepada kesabaran dan IHSAN mereka dan kerana itu jua Allah membalas mereka dengan SEBAIK-BAIK balasan.
Sesungguhnya, mereka yang mendapat hidayahNya adalah orang yang memiliki ketaqwaan. Orang yang bertaqwa itu adalah diredhaiNya, maka sentiasa dia mempunyai jalan keluar daripada sebarang masalah yang dihadapinya. Malahan dia pastinya mendapat pelbagai kurniaan yang tak tersangka serta tidak terhitung sebagaimana yang telah dijanjikanNya dalam al Quran.
Ayuh betulkan niat keranaNya dan mulakan dengan sikap 'Rajin Belajar dan Membaca' terutamanya kitab Tafsir, Hadith dll untuk mengetahui ajaran-ajaran Islam yang sebenar serta mengamalkannya pula secara kaafah dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap muhsiniin.
Alangkah bahagianya kita apabila berada dalam maqam Muhsinin yang dijanjikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh.
ILMU YANG BENAR membuahkan AMAL YANG BERSUNGGUH dan menghasilkan nikmat IMAN mereka yang MUHSININ lagi muttaqin.
Wallahu a'lam