Sabtu, 25 Oktober 2008

HUKUM DUDUK DI ATAS KUBURAN!

Jumhur ulama berpendapat bahawa duduk di atas kuburan hukumnya haram, duduk yang macam mana? ikuti perbahasan di bawah

Aku akui tajuk di atas adalah perkara khilafiah dan telah dibahaskan oleh para ulamak secara tertib mengikut methodologi masing-masing dan aku akui jua qawa'id fiqh yang menyatakan sesuatu ijtihad tidak boleh ditolak dengan adanya ijtihad yang lain (al-ijithad la yunqidhu bil ijtihad).

Akan tetapi aku dengan segenap kekuatan akan cuba membawa hujah-hujah yang ada supaya kaum Muslimin lebih berkeyakinan untuk mengeluarkan diri mereka dari perselisihan dengan mengambil pendapat terkuat untuk dijadikan pegangan sebagai langkah selamat dengan berhati-hati (ihtiyaati) & untuk memberi kesedaran bahawa ini adalah perkara yang jelas mengikut jumhur.

Aku tidak sekali-kali menganggap salah satu pendapat yang dikeluarkan adalah mungkar!! Menurut al- Qardhawi haram atas orang Islam itu mencegah bukan atas perkara yang disepakati oleh Imam-Imam Islam. lihat perbahasan tentang mencegah kemungkaran dalam blog aku di http://ustazthrash.blogspot.com/2008/09/antara-cara-mencegah-kemungkaran-wajib.html

Alangkah lebih Hairan bin Ajaib bin Aneh bin Mustahil bila ada seorang ustaz (?) dari Sg. Petani mengatakan "larangan duduk di atas kubur telah di mansukhkan mengikut pengajian yang bersandar kepada kitab al-Muwattha', barangsiapa yang tidak mengetahui perkara ini maka ia adalah orang yang tidak pernah membacanya" sangat menghairankan lagi kerana dalam kitab al-Muwattha' (terbitan al maktabah at Taufiqiah) yang aku miliki tidak ada menyebutnya pula tentang mansukhnya hadith tentang duduk atas kuburan. Mungkin juga kerana aku mengaji celang celup atau mungkinkah ada al-Muwattha' versi lain yang belum aku ketahui? Walau apa sekalipun aku mesti cari hadith yang menjadi hadith nasikh kepada larangan ini dalam al-Muwattha' sekiranya ada.


Al-Muwattha' yang ada dalam tangan aku, adalah satu-satunya kitab yang dikarang & hasil anugerah Allah atas usaha abu Abdullah Malik bin Anas R.A (Imam Malik) yang dikenali sebagai Imam ahlul Hadith - pencetus kepada mazhab Maliki. Asalnya 10,000 hadith di masukkan ke dalam al-Muwattha' tersebut. Tetapi oleh kerana telitinya Imam Malik dalam bab hadith maka disusun atur dan di edit berulang kali sehingga dibukukan dengan jumlah 500 hadith sahaja dalam tempoh amat lama iaitu 40 tahun. Sebenarnya Imam Malik menghafal sebanyak 100,000 hadith & beliau mampu menghafal 30 hadith yang didengari dalam waktu yang singkat. Imam As Syafie -mazhab Syafi'e juga menghafal al-Muwattha' secara keseluruhan ketika kanak-kanak dan pernah mengajarkannya dengan ijazah Imam Malik sendiri.

Jadi perkara ini seharusnya diperbahaskan secara ilmiah maka benarlah cara ustaz (?) tersebut kiranya ia mahu membuktikannya dengan membawa kitab al-Muwattha' yang dimilikinya sebagai hujah .. tunggu dan lihat.

Kata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah :
"Andaikata sesuatu dakwaan tidak memerlukan bukti, maka hancurlah neraca kebenaran."

Perkara yang perlu diingat : Al Quran sahaja kitab yang tidak memiliki kesilapan sama sekali.

Sebelum dia buktikan dengan al-Muwattha' maka aku nak belek al-Muwattha' yg ada padaku, lihat "babil wuqufi lil janaa-izi wal-juluusi alal maqaabir" hal 150, jil 1 yang cuma ada 3 hadith (hadith no 34 mengenai duduk atas kubur, hadith no 33&35 adalah mengenai duduk ketika adanya jenazah) dari kitab al-Janaa-iz.

Imam Malik rahimahullah berpendapat bahwa duduk yang dimaksud dalam hadits adalah duduk untuk buang hajat. Beliau berkata dalam kitabnya, "Sesungguhnya larangan duduk di atas kubur -menurut kami- bila untuk buang hajat."

Tiada langsung hadith nasikh disebut untuk memansukhkan hadith larangan duduk di atas kubur melainkan beliau menyatakan tentang pendapat beliau sebab tidak diperbolehkan dengan tujuan buang hajat. Bagaimana ustaz (?) tersebut menyatakan bahawa hadith tentang larangan tersebut telah dimansukhkan?.

Sepegetahuanku tentang nasikh mansukh yang wujud dalam bab kuburan ini adalah larangan amalan menziarahi kubur pada awal penyebaran Islam telah disyariatkan bagi mengelakkan sebarang kepercayaan atau amalan-amalan karut yang diamalkan semasa zaman Jahiliah dilakukan semasa menziarahi kubur. Tetapi, setelah asas pemahaman akidah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w, larangan ini telah dihapuskan (mansukh) dengan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Daripada Ali r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur (mansukh), maka sekarang ziarahilah kubur kerana (padanya ada pengajaran) ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat (nasikh)”. (riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

Ibnu Hazm mengesahkan pendapat Imam Malik dengan berkata dalam kitab al-Muhallaa (V/136), "Sebagian orang membolehkan duduk di atas kubur, mereka membawakan larangan tersebut bagi yang duduk untuk buang hajat.

Aku tidak menemui takwilan tentang hanya haram apabila duduk di atas kuburan kerana membuang hajat ini didokong oleh mana-mana dalil serta aku melihat kecenderungan pendapat ini telah memesongkan maksud hadith yang asal.

Disini aku perturunkan juga pendapat Imam as-Syafie (ceritanya dan alimnya ia tentang al-Muwattha' telah disebut di atas), menurut kata di dalam kitabnya al-'umm : "Aku menganggap makruh hukumnya menginjak kubur, duduk atau bersandar di atasnya, kecuali bila seseorang tidak menemukan jalan lain ke kubur yang ditujunya melainkan dengan menginjaknya. Kondisi tersebut adalah darurat, aku harap ia mendapat kemaafan, insya Allah."

Sebagai jawapan kepada pendapat-pendapat ini, maka perhatikan hadith yang akan menyusul, yang mana tulisannya berwarna merah, hadith tersebut jelas menyatakan bahawa yang terlebih dahulu terbakar adalah pakaian kemudian baru menyentuh kulit. Mungkin susunan lafaz hadith ini terlepas pandang daripada pemerhatian sebahagian orang sehingga menyebabkan wujudnya khilaf dalam hal ini, wallahu-a'lam!

Setiap orang yang punya kewarasan pasti mengetahui bahwa duduk untuk buang hajat mestilah membuka atau menyelak kain yang menutupi bahagian qubul dan duburnya. Tidak pernah terdengar seorang pun duduk dengan pakaiannya untuk buang hajat kecuali anak kecil dan orang yang kurang beres akalnya.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

Daripada Abu Martsad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, al-Tirmizi)

-Antara murid terulung Imam as Syafie iaitu Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).
Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur… dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunah ialah menziarahi kubur dan berdoa di sisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

-Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)
-Menurut al-Imam al-San’ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan mengganggu mayat ialah duduk di atas kuburnya”. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah s.a.w melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: “Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini”. Kemudian al-San’ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pendapatnya: “Semua dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: Jangan kamu mengganggu penghuni kubur ini menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata. (al-Ahzab: 58) (Rujuk: Al-San‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

-Sheikh Mohamad Soleh ibn al-‘Uthaimin antara ulama' hari ini yang diakui oleh al-Qardhwi sebagai yang sangat alim dalam ilmu hadith, ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang di antara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur", dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A'nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

Kesimpulannya, amalan menziarahi kubur adalah suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ia dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan.

Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah. Sentiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunah Rasulullah ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Allah SWT.