Selasa, 25 Oktober 2011

Jawatan Perdana Menteri : Semestinya Lelaki Sahaja

Teman-teman facebooker seperti biasa sering bertanya mengenai pelbagai hukum. Namun semalam ada sedikit perbezaan kerana mereka kelihatan mahukan kepastian sangat-sangat apakah hukum jawatan pemimpin negara jika diberi kepada wanita? Kata mereka akhbar Sinar ada melaporkannya. Oleh kerana otakku bercelaru mengenangkan kesakitan (nazak) yang sedang ditanggung oleh nendaku, maka aku hanya menjawab soalan yang sudah pasti isunya dan bagiku dalam kategori ringan. Dan persoalan itu aku tinggalkan dahulu.

Setelah aku bermunajat kepada Allah dan bertawakal sebulat hatiku sehingga hadir ketenangan. Maka aku 'menjelajah' dalam Sinar Harian untuk mengetahui isu sebenar, di sana aku menemui sesuatu yang amat menakutkan. Astagfirullahal adziim..
 
Tajuk laporan yang menakutkan yang dimaksudkan ialah :

Tidak semestinya lelaki sahaja

SHAH ALAMMasyarakat perlu mengikis pandangan bahawa jawatan pemimpin negara layak didominasi lelaki sahaja.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, jawatan ketua atau pemimpin bukan hak eksklusif kaum lelaki sahaja, kerana wanita juga mampu menggalas tanggungjawab itu sebaiknya jika diberi peluang.

Ia adalah pandangan yang ketinggalan zaman dan kerana sudah terbiasa bahawa jawatan itu hanya didominasi kaum Adam sahaja. Tindakan bersikap prejudis kepada kepimpinan wanita perlu dikikis kerana perbezaan gender bukan alasan untuk seseorang itu dipilih sebagai pemimpin. Justeru, kepercayaan perlu ada dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan wanita bahawa mereka juga mampu memberikan yang terbaik kepada negara,” katanya.

Mustafa berkata, undang-undang negara juga tidak menghalang wanita dilantik sebagai pemimpin negara jika mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Pemimpin yang baik mestilah dapat memberi kemajuan dan membawa transformasi kepada negara dan rakyat di bawah pentadbirannya. Jika wanita tersebut mendapat sokongan yang baik daripada rakyat dan mempunyai ciri kepimpinan adalah wajar beliau dilantik sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai sifat wanita yang sering dikaitkan gagal mengawal emosi berkata, ia bukan halangan atau alasan kerana adalah perkara biasa bagi mana-mana individu sekalipun mengalami perkara yang sama.

Lelaki mahupun wanita mengalami perkara yang sama, namun bergantung kepada individu tersebut untuk mengawal dan mengatasinya semasa melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Katanya, pimpinan negara ini juga membuktikan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Ia bukan perkara baru kerana sejarah juga membuktikan wanita mampu menjadi pemimpin negara seperti sejarah Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman yang ditulis dalam al-Quran. “Malahan, ia juga dapat dilihat melalui kejayaan Queen Victoria yang membawa transformasi kepada United Kingdom sebagai sebuah negara berkuasa besar yang digeruni dunia,” katanya. 

Sumber laporan : Sinar Harian 25 Okt 2011
============================================
Haram Melantik Wanita Sebagai Pemimpin Negara / Perdana Menteri.Muqaddimah : Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah!

Soalan : Apakah dibolehkan syara' seorang wanita itu menjadi pemimpin negara?

Wanita tidak boleh menjadi pemimpin negara. Dengan kata lain, di negara Malaysia ini Perdana Menteri semestinya adalah seorang lelaki sejati yakni tidak boleh seorang wanita.

Berdasarkan  hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah r.a, bahawa Nabi SAW apabila sampai kepada baginda SAW berita bangsa Parsi melantik puteri Kisra sebagai ratu (pemerintah), maka baginda SAW bersabda :
لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة
Tidak akan berjaya (beruntung) sama sekali kaum yang menyerahkan kekuasaan (melantik) wanita sebagai pemimpin mereka”  (Al-Bukhari, Al-Tarmizi, dll).

Semenjak dahulu lagi memang ada yang meragui kesahihan hadis ini. Mereka beralasan salah seorang perawi hadis ini, Abu Bakrah, sebagai orang yang tidak layak dipercayai lantaran menurut mereka ia pernah memberikan kesaksian palsu dalam sebuah kes perzinaan di masa pemerintahan Umar bin Khattab. Namun pengkajian terhadap peribadi Abu Bakrah sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab yang menulis tentang Rijaal al Hadis seperti Tahdibu al-kamal fi Asmaa al-Rijal, Thabaqat Ibnu Sa’ad, Al Kamil fi Tarikh Ibnul Atsir menunjukkan bahwa Abu Bakrah adalah seorang sahabat yang alim, dan perawi yang terpercaya. Oleh kerana itu, dari segi periwayatannya tidak ada alasan sama sekali untuk menolak kesahihan hadis tentang larangan melantik wanita sebagai pemimpin negara.

Ikhbar
(pemberitahuan) Rasulullah SAW dengan menafikan keberuntungan (yakni pastinya rugi) pada  sesuatu kaum atau golongan yang menyerahkan kekuasaan mereka kepada seorang wanita adalah  menunjukkan larangan terhadap kepimpinan wanita kerana telah jelas pernyataan baginda SAW tersebut adalah berbentuk perintah (shiyagut thalah). Ditambah lagi, pemberitahuan  tersebut merupakan pemberitahuan yang berisi celaan (adz dzam) kepada  mereka yang menyerahkan kekuasaannya kepada seorang wanita, dengan cara  menafikan keberuntungan pada mereka, maka hal itu dapat dijadikan qarinah bahawa celaan tersebut merupakan larangan yang pasti dan tegas. 

Jelas sekali larangan mengangkat seorang wanita untuk dijadikan pemimpin di sini  disertai dengan indikasi atau qarinah yang menunjukkan tuntutan yang tegas dan pasti supaya ditinggalkan perbuatan  tersebut (usaha mengangkat sesorang wanita menjadi pimpinan negara).

Mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara adalah haram. Sedangkan yang dimaksud dengan larangan mengangkat seorang  wanita menjadi penguasa di sini adalah menduduki jabatan khalifah kerana yang dibicarakan di sini  adalah pengangkatan puteri Kisra sebagai ratu yang berkuasa. Jadi  persoalannya adalah khusus persoalan pemerintahan, bukan sahaja khusus mengenai  kejadian diangkatnya puteri Kisra sebagaimana yang terdapat pada sababul wurud hadis tersebut. Namun diingatkan bahawa ia juga tidak boleh diertikan secara umum atau mencakupi segala jawatan selain pemerintahan. 

Al Imam al Qurtubi rhm menyentuh hal ini dalam tafsirnya; al Jaami’ li ahkamil Quran telah menegaskan :

"Khalifah haruslah seorang lelaki dan para fuqaha telah bersepakat bahwa wanita tidak boleh menjadi imam (khalifah/pemimpin negara)".


=========================================
Menjawab alasan rapuh kumpulan yang menyokong wanita sebagai pemimpin negara.

Secara terperincinya berdasarkan laporan akhbar di atas (lihat ayat-ayat yang telah saya boldkannya), ia sebenarnya adalah sebahagian dari sejumlah argumen atau alasan-alasan lain yang menjadi alasan mereka yang menyokong wanita menjadi pemimpin negara. Oleh itu saya akan berusaha menjawab kembali alasan-alasan mereka ini sekadar yang terdaya.

1) Masyarakat perlu mengikis pandangan bahawa jawatan pemimpin negara layak didominasi lelaki sahaja. 2)  Ia adalah pandangan yang ketinggalan zaman...
3) Tindakan bersikap prejudis
kepada kepimpinan wanita perlu dikikis kerana perbezaan gender ...... 4) Undang-undang negara juga tidak menghalang wanita dilantik sebagai pemimpin negara jika mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan
5) Lelaki mahupun wanita mengalami perkara yang sama, ...
6) pimpinan negara ini juga membuktikan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Ia bukan perkara baru kerana sejarah juga membuktikan wanita mampu menjadi pemimpin negara seperti sejarah Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman yang ditulis dalam al-Quran.

Jawaban kepada alasan-alasan di atas :

1) Layak atau tidak layak adalah bergantung kepada hukum syara' kerana hukum Islam ini adalah daripada Allah yang disampaikan melalui rasulNya. Sesungguhnya hanya Allah dan rasulNya yang lebih mengetahui siapa yang layak atau tidak.

Sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya, di mana hadis di atas yang tersebut jelas melarang dijadikan wanita sebagai pemimpin negara. Lafaz wallau amrahum dalam hadis di atas bererti mengangkat seseorang sebagai waliyul amri (pemegang tampuk pemerintahan). Ini tidak menghairankan oleh kerana hadis tersebut memang merupakan komentar Rasulullah SAW bila mana sampai kepada baginda berita tentang pertabalan puteri Kisra sebagai Raja Parsi.

Ditegaskan sekali lagi, sekalipun teks hadits tersebut berupa kalimat berita (khabar), tapi pemberitaan dalam hadis tersebut disertai dengan celaan (dzam) atas suatu kaum atau masyarakat yang menyerahkan kekuasaan pemerintahan kepada seorang wanita, berupa ancaman tiadanya keberuntungan atas mereka. Celaan ini merupakan qarinah (indikasi) adanya tuntutan yang bersifat jazm (tegas dan pasti). Dengan demikian mengangkat wanita sebagai Perdana Menteri atau yang setarafnya secara pasti hukumnya haram.

2) Hukum ini bukanlah ketinggalan zaman walaupun berlakunya kejatuhan sistem khilafah di masa lalu dan terkenalnya sistem yang konon moden serta thagut ini. Alasan mereka ini perdana menteri dan yang seumpamanya bukanlah al imamu al azham sebagaimana dalam sistem pemerintahan Islam pada suatu ketika dulu adalah suatu alasan yang sangat lemah. Mengapa? Kerana teks hadis di atas sudah menjawab dengan sendirinya.

Untuk menjelaskannya lagi, Buran yakni si puteri Kisra yang diangkat sebagai ratu dalam sistem kekaisaran Parsi adalah bukan Islam dan sememangnya tidak sama dengan sistem pemerintahan Islam. Bila dalam kes Buran, Rasulullah SAW mengharamkannya. Apa pula bezanya dengan sistem yang di amalkan di Parsi sewaktu itu dengan undang-undang Malaysia sekarang yang membenarkan juga si wanita sebagai pemimpin negara?? Sedangkan kes Buran dan sistem ciptaan manusia ini juga sama-sama bukan sistem pemerintahan Islam dan adalah sistem yang sememangnya adalah sistem yang sama-sama 'ketinggalan zaman' (mengikut penilaian sistem moden kononnya)!

Justeru itu adalah salah jika di anggap bahwa larangan mengangkat wanita sebagai pemimpin negara tidaklah mencakup larangan untuk menjadi perdana menteri oleh kerana jawatan itu tidak sama dengan jawatan imam atau khalifah dalam Islam di saat lampau kerana telah jelas ajaran moden (?) telah di amalkan juga oleh kerajaan PARSI dan berlaku di zaman rasulullah sendiri.

3) Sesungguhnya Islam tidak pernah bersikap prejudis, kerana Allah adalah Yang Maha Adil. Ketahuilah jantina itu dijadikan Allah dan secara fitrah lelaki mempunyai kekuatan melebihi perempuan sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an yang petunjuk lain yang sangat jelas bahwa laki-laki adalah pemimpin bagi kaum wanita.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita). (An-Nisa' : 34)

Benar, ayat ini memang berbicara tentang keluarga, dan kepemimpinan lelaki atas wanita dalam sebuah rumah tangga. Lalu apa hubungannya dengan persoalan negara?

Dengan pendekatan atau kaedah tasyri' min baabi al aula (keharusan yang lebih utama) maka kita akan mendapat jawabannya. Bila mana untuk mengatur rumah tangga saja lelaki harus menjadi pemimpin, apalagi "rumah tangga besar" dalam wujud sebuah bangsa atau negara tentu lebih diharuskan seorang lelaki sebagai pemimpinnya. Apabila untuk mengatur urusan yang lebih kecil seperti urusan rumah tangga, Allah telah menetapkan lelaki sebagai pemimpin atas wanita, maka terlebih lagi masalah negara yang lebih besar dan kompleks, tentu lebih wajib diserahkan kepada lelaki.

Apakah Islam dianggap prejudis terhadap lelaki apabila wanita adalah dijanjikan sebagai golongan yang mudah memasuki syurga, haji mereka itu juga adalah jihad dan malahan ada banyak lagi keistimewaan wanita dalam kaca mata Islam berbanding lelaki dalam pelbagai hal...

4) Apakah undang-undang manusia boleh menandingi hukum syara'??? Jangalah seseorang yang mengaku beragama Islam itu mengangkat hukum manusia terlebih dahulu daripada hukum syara'. Jika ada hukum manusia yang menyamai hukum syara', maka jadilah hukum akal manusia itu sekadar menyokong kebenaran syara'.

5) Alasan kepimpinan golongan Hawa itu diiktiraf apabila terdapat kalangan menteri adalah wanita seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Sayugialah diketahui perkara ini tidak bolehlah dikaitkan  untuk menentukan benar atau tidak benar jawatan perdana menteri itu layak untuk seorang wanita kerana perbezaan status authoriti dan portfolio. Hatta sebagai Muslim beralasan dengan kenyataan adanya perdana menteri wanita di sejumlah negera yang di dominasi kaum Muslimin seperti Benazir Bhutto di Pakistan atau Beghum Khalida Zia di Bangladesh sekalipun tidaklah cukup untuk menggugurkan larangan wanita untuk menjawat jawatan pemimpin negara yang utama. Kenyataan di atas harus dipandang sebagai penyimpangan. Dan haruslah diingat sebuah kenyataan bukanlah hukum, apalagi bila kenyataan itu bertentangan dengan hukum itu sendiri. Sama seperti hukum solat. Bila dilihat akan kenyataan cukup banyak di negera ini mereka yang tidak solat, apakah lantas hukum solat boleh berubah begitu saja menjadi tidak wajib? Maka menjadi kewajiban seluruh kaum Muslimin untuk membuat pembetulan atau meluruskan kenyataan yang menyimpang ini, bukan pula membuat penyimpangan yang lain.

Alasan sejarah Ratu Balqis yang digunakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara ketika ini adalah melambangkan lemahnya kefahaman beliau dalam hal al Quran kerana Ratu Balqis adalah pemerintah sebelum tunduk kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman AS yang kemudiannya menjadi suami kepada Balqis. 



Sejarah pemerintahan Islam, baik di masa Khulafa al Rasyidin, Bani Umayah, Bani Abassiyah atau pemerintahan sesudahnya, tidak pernah sekalipun adanya seorang pun khalifah diangkat dari kalangan kaum wanita. Memang di Mesir pernah berkuasa seorang ratu bernama Syajaratud Dur dari dinasti Mamalik (Mamlukah). Tapi kekuasaan yang diperolehnya itu sekadar tempias dari kematian al malik Solih, pemimpin di waktu itu. Akhirnya setelah tiga bulan berkuasa (jadi sifatnya sangat sementara serta relatif tidak diduga), maka tampuk pemerintahan berpindah kepada Amir Izzudin yang kemudian menikahinya. Jadi jelas sekali tidak ada persamaan dalam sejarah Islam menyangkut peranan wanita sebagai pemimpin negara.


Kesimpulan.

Demikianlah hukum Islam dalam hal yang berkaitan larangan mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara. Penjelasan telah diberikan, terpulanglah kepada kita mahu menerima atau tidak. Tetapi sebelum itu, ada beberapa hal yang mesti diperhatikan :

1) Jawaban ini dibuat semata-mata untuk menjelaskan kepada ummat Islam dengan penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai hukum Islam tentang larangan mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin negara. Ia tidak dibuat atas dasar diskriminasi. Sekalipun calon itu misalnya adalah wanita muslimah, tetap saja kita semestinya menolak pencalonan itu berdasarkan ketentuan hukum Islam.

2) Kontroversi antara yang pro dan kontra pemimpin wanita akan menjadi panas sekiranya diteruskan, dan mungkin pada saat itu tiada akan menghasilkan titik temu bila sejak dari awal cara berfikir semakin tidak sama. Pihak yang pro pemimpin wanita menggunakan alasan kesamaan taraf jantina, bahawa baik lelaki atau perempuan harus diberikan hak politik yang sama termasuk kesempatan untuk menjadi perdana menteri. Dalam hal ini mereka pasti sama sekali tidak mempertimbangkan tuntutan agama, sekalipun diantara mereka mungkin banyak yang beragama Islam. Sementara, yang kontra mendasarkan pendapatnya pada ketentuan hukum Islam, disamping mungkin ada juga faktor lain. Justeru itu sebelum terlewat perkara ini haruslah diambil berat oleh semua pihak dan memainkan peranan mengikut kemampuan dan bidang-bidang masing-masing.

3) Seorang muslim seharusnya sentiasa mendasarkan pendapat-pendapat kita kepada hukum Islam. Termasuk parti-parti yang mengaku berasas Islam yang semestinya hanya melandaskan keputusan-keputusan politiknya pada ajaran Islam. Ulama macam mana bila ia tidak lagi berpegang pada syariat Islam? tidak sepatutnya sesiapapun daripada kaum muslimin, menyokong pencalonan seorang wanita sebagai perdana menteri atau timbalan walaupun undang-undang negara tidak melarang. Bila kita tak acuh terhadap ketentuan hukum Islam mengenai hal ini, lantas dimanakah kemusliman kita hendak diletakkan! Dan bagaimana pula kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini??

Sebagai sesama muslim, kita tentu tidak menginginkan seseorang muslimah terjerumus pada dosa dan kesalahan hanya lantaran dorongan orang-orang disekitarnya yang tidak tahu atau tidak mahu tahu prinsip pemerintahan dan syarat pemberian jawatan yang digariskan dalam agama Islam.

Sebagai sebuah ummah, kita ini sebenarnya sudah terlalu banyak melanggar aturan-aturan Allah. Lihatlah, berbagai pelaksanaan dalam kehidupan di saat ini sama ada yang menyangkut aspek sosial, ekonomi, maupun pemerintahan, jelas sekali tidak sesuai dengan kehendak syariat islam. Di bidang hukum, begitu banyak hukum-hukum sekular yang diterapkan dan boleh jadi masih akan banyak lagi yang dilegalkan melalui keputusan parlimen. Masihkah kita akan menambah semua itu dengan maksiat besar yang baru dengan mengangkat perdana menteri wanita? Tidakkah cukup krisis ekonomi, krisis sosial, krisis politik yang mendera negera ini lebih dari puluhan tahun lamanya. Apakah ia tidak cukup menyedarkan kita untuk kembali kepada jalan yang benar? Krisis seperti apa lagi yang bakal terjadi bila kita tetap terus membangkang, tak acuh terhadap hukum-hukum Allah dan segala ancamanNya?

Bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang beriman !