Sabtu, 15 Oktober 2011

ISLAM BUKAN AGAMA RACIST : ISLAM ADALAH KEADILAN SEJAGAT DAN MELARANG PERBALAHAN / PEPERANGAN KERANA BANGSA.





Islam adalah agama Allah Yang Maha Mengasihani yang diutuskan melalui Rasulullah untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) ke seluruh alam. Keadilan dalam Islam adalah tidak memandang kepada mana-mana bangsa hatta agama sekalipun. Jika hal ini tidak diteliti maka kezaliman pasti akan berlaku.

Sesungguhnya hukum Allah SWT adalah hukum daripada Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan India. Lihatlah pengakuan Allah SWT di dalam al Quran al Kariim.

Firman Allah :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
 
(Al Hujurat :13)

Lihat di dalam ayat di atas, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggilan berbentuk perkauman dan fanatik keturunan.
Jika dilihat pada penafsiran yang dibuat oleh Sayyid Qutub di dalam kitab tafsir beliau, dalam menafsirkan firman Allah di atas pula, maka kita akan menemui kehebatan Allah Yang Maha Pencipta. Di mana beliau menyebut :

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan seumpamanya bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, sikap, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu tiada baginya nilai dalam pertimbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu :
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.

Dalam hal ini kita tidak boleh melupakan beberapa hadith yang menjadi dalil, di antaranya ialah :

1. Sabda Nabi SAW :
يا أيها الناس ألا إن ربكم واحد وإن أباكم واحد كلكم لآدم وآدم من تراب
Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu itu satu dan bapa kamu juga satu. Kamu berasal dari Adam dan Adam diciptakan dari tanah.
[HR Ahmad]

2. Sabda Nabi SAW :
Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama. Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam, atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.
[HR  Ahmad dan al Baihaqi]

Jelas sekali bahawa hikmah ciptaan manusia yang mempunyai kepelbagaian adalah penuh hikmah yang bermaksud untuk diambil manfaat supaya ummat manusia mencapai nikmat kesempurnaan hidup, yang mana kesempurnaan tidak lengkap tanpa mendapat pengkitirafan dari Allah dengan pangkat kemuliaan yang hanya diberi kepada orang-orang yang bertakwa.

Pada zaman jahiliah, perkauman dan kabilah adalah menjadi dasar atau pusat wala’ dan ikutan. Mereka mengikuti kaum dan kabilah masing-masing tanpa mengambilkira samaada dalam perkara benar atau salah. Slogan mereka pada waktu itu adalah “sokonglah saudaramu dalam melakukan kezaliman atau ketika sedang dizalimi”.

Rasulullah SAW dengan berhikmah telah menggunakan istilah yang sama dengan tujuan memberi kefahaman baru yang selari dengan nilai-nilai Islam.

Baginda bersabda, mafhumnya : bantulah saudaramu dalam kezaliman dan ketika dizalimi.
Para sahabat bertanya : wahai Rasulullah, kita diwajibkan untuk menolong mereka yang dizalimi, lantas bagaimanakah pula menolong mereka yang melakukan kezaliman?
Jawab baginda : cegahlah dirinya dari terus melakukan kezaliman tersebut, begitulah cara menolongnya.

Begitu juga dalam banyak hadith, Rasulullah SAW mengingatkan dan mengecam keras ummat baginda untuk menjauhkan sikap asabiah dan perkauman, atau melakukan peperangan kerana dasar asabiah.

Berdasarkan kupasan dan dalil-dalil di atas rasanya memadailah untuk memahami bahawa sesungguhnya Islam bukanlah agama racist. Malah melarang keras perbalahan dan peperangan kerana sentimen perkauman kerana Islam adalah agama yang paling sesuai untuk masyarakat majmuk dan menjaga keamanan dunia sejagat. 

Wallahu a'lam


Ustazthrash Mujahid.