Isnin, 3 Oktober 2011

Kehebatan Undang-Undang Allah Dan Bala' Bila Mengingkarinya.

Undang-Undang Allah


VS


Undang-Undang Manusia

Undang-Undang Jenayah


Anda mungkin fikir yang anda tahu apa itu jenayah?bunuh, rogol, mencuri dan sebagainya. Namun terdapat banyak tingkah laku atau perbuatan lain yang juga boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah- daripada merompak, memandu dengan laju sehingga ke pencemaran alam sekitar. Mengambil kira semua tingkah laku ini, adakah boleh untuk kita memberikan takrifan khusus bagi jenayah? (lihat Takrifan Undang-Undang Jenayah Di Malaysia)


Apapun jenayah itu adalah sesuatu yang sangat umum dan boleh dikatakan setiap jenayah itu ada hukumannya dan di antaranya adalah berbentuk bala setelah mungkin hukuman Allah tidak dilaksanakan di atas muka bumi ini. Sebahagiannya bala'Nya apabila jenayah telah dinyatakan dalam pelbagai tempat di dalam al Qur'an dan juga hadis. Di antaranya adalah :

Daripada Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhuma berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam berhadap kepada kami (pada suatu hari) lalu baginda bersabda :

"Wahai kaum Muhajirin, 5 perkara jika kamu telah ditimpakan bala dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tiadalah kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah Ta'ala, semoga kamu tidak menemui masa itu.

Perkara-perkata itu ialah:
  • Tidak nampak perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani melakukannya secara terang-terangan, kecuali mereka akan ditimpa penyakit taun yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
  • Dan tiadalah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan ditimpakan bala dengan kemarau dan kesusahan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
  • Dan tidaklah mereka menahan akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiadalah binatang (yang hidup di permukaan bumi ini) sudah pasti mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Ta'ala.
  • Dan tiadalah mereka memungkiri janji Allah dan rasulNya kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka menguasai mereka, maka musuh itu akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
  • Dan apabila pemimpim -pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri"
[Hadis Riwayat Ibnu Majah]

Penyakit yang pelbagai malah semakin moden, kemarau (atau kepanasan global), kejatuhan ekonomi, kezaliman pemimpin, penguasaan musuh (seperti kehadiran APCO ) dan perampasan hak serta peperangan sesama sendiri adalah di antara bala Allah. Saya yakin sebahagian besar pembaca berkeyakinan bahawa bala-bala ini sedang berlaku dalam negara ini.

Jelas sekali bala' yang diturunkan adalah berpunca daripada jenayah ummat manusia sendiri. Apakah jenayah-jenayah yang dinyatakan di dalam hadis di atas yang menjadi punca kepada sebahagian bala' ini tidak dapat diatasi? Bukankah Islam itu agama penyelesaian kepada sebarang masalah dan memiliki jawaban setiap hal? Jawabannya pasti YA. Namun apakah ajaran Islam yang menjadi jawaban kepada permasalahan ini dilaksanakan pula dalam negara ini?

Selain menyatakan sebahagian kesan pengingkaran terhadap hukum yang diturunkan oleh Allah, penulisan kali ini juga bertujuan bersama-sama berdakwah memperkenalkan keistimewaan perundangan Islam berbanding perundangan buatan manusia walaupun secara ringkas dalam membendung jenayah/dosa sekadar yang termampu. 


Jenayah Dan Kesannya Kepada Negara Dan Masyarakat.

Kadar jenayah yang semakin tinggi di negara ini adalah satu fakta yang tidak boleh disembunyikan. Apa yang telah berlaku bukan sahaja mencemaskan rakyat negara ini malahan sedikit sebanyak menjejaskan peluang pelaburan asing di negara ini yang dilihat sebagai punca-punca ekonomi merundum dan juga alasan yang baik untuk sesetengah peniaga yang beramal dengan sistem ekonomi kapitalis menaikkan harga barang. Selain itu ia juga mengundang bala' Allah yang lain seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Persoalannya, mengapakah kadar jenayah tetap meningkat dan penjenayah seolah-olah tidak merasai gerun untuk melakukan jenayah meskipun hukuman terhadap perbuatan jenayah agak keras di negara ini. Malahan di kalangan penjenayah ini ramai yang pernah berulang-ulang kali menerima hukuman dan ada pula di antara mereka berbangga menjadi banduan. Hebat kononnya..

Ini persoalan yang perlu direnung oleh semua pihak.

Penerangan Yang Jelas Hukuman Yang Jelas.

Apabila kita bercakap soal jenayah ia meliputi dua perkara iaitu apa yang dipanggil "mens rea" (niat di hati dan minda penjenayah) dan "actus reus" ( perbuatan jenayah itu sendiri ). Undang-undang manusia mungkin dapat mengawal actus reus tapi agak sukar untuk mengawal mens rea kerana mens rea melibatkan soal hati manusia. Ia melibatkan soal dalaman yang tidak boleh diterokai oleh undang-undang manusia .

Undang-undang hanya dapat mengawal soal luaran manusia. Atas dasar itulah undang-undang yang dibuat manusia tidak dapat berperanan luas mendidik manusia untuk tidak melakukan jenayah.

Kadar jenayah yang tinggi selalunya cuba diselesaikan dengan meminda undang-undang yang berkaitan agar hukuman yang sedia ada ditambah atau diperkuatkan lagi bagi kononnya menggerunkan penjenayah. Apa yang berlaku bukan penjenayah yang gerun sebaliknya mangsa yang semakin hari semakin gerun kerana berhadapan dengan penjenayah yang tidak ada kegerunanan di dalam hati mereka.

Oleh sebab itu untuk mengawal kadar jenayah tidak dapat tidak kita memerlukan satu sistem yang dapat mengawal kedua-dua perkara iaitu mens rea dan actus reus. Sama ada kita suka atau tidak Islam menawarkan sistem yang terbaik bagi hal tersebut. Sistem yang telah dibuktikan keberkesanannya mengawal jenayah. Ini satu hakikat bukan satu kesombongan.

Mungkin orang akan bertanya kenapa di negara umat Islam seperti di Malaysia kadar jenayahnya masih tinggi. Ini sebenarnya hujah Islam ke atas pemerintah negara umat Islam bukannya hujah kita menolak sistem Islam. Apa yang berlaku di dalam negara umat Islam adalah Islam tidak diberikan peranan yang lebih luas khususnya untuk mentadbir negara.

Perbuatan jenayah bertitik tolak dari mens rea. Dengan lain perkataan hati manusia yang mendorong manusia melakukan jenayah. Hati manusia dikawal oleh akal dan hawa nafsu.

Apabila hawa nafsu mengatasi akal maka manusia terdorong untuk melakukan jenayah. Hawa nafsu manusia diilhamkan untuk melaukan perkara baik (takwa) dan juga perkara buruk ( fujur ). Pembersihan hati ( tazkiyyah al-Qulub ) adalah satu aspek yang amat dititiberatkan oleh Islam.

Perbandingan Di Antara Undang-Undang ALLAH Dan Perlembagaan Negara Bertamadun.

Para Rasul diutus antara lain untuk mendidik manusia bagaimanakah untuk membersihkan hati mereka. Hanya Pencipta manusia yakni Allah s.w.t yang tahu "nature" hati manusia dan sekaligus menawarkan cara dan kaedah yang berkesan untuk membersihkan hati manusia.

Sebab itulah di dalam Islam ayat Al-Quran yang menyentuh soal hukum- hakam dan perundangan datang kemudian . Ayat-ayat awal adalah ayat yang diturunkan untuk membentuk dan membersihkan hati manusia dari segala sifat buruk dan keji. Apabila manusia telah bersih hatinya maka amat mudah untuk mereka menerima undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.

Maka sejarah Islam telah menyaksikan bagaimana mereka yang melakukan jenayah seperti seorang sahabat bernama Maiz datang sendiri berjumpa Yang Arif Hakim ( iaitu Rasulullah s.a.w sendiri ) bagi membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan jenayah dan meminta Rasulullah s.a.w mengenakan hukuman ke atasnya. Tanpa polis tanpa pendakwa. Ia tidak pernah berlaku dalam mana -mana sistem perundangan manusia.

Apabila hati manusia telah bersih, manusia Arab yang bukan sahaja ketagih arak malahan sampai ke peringkat memuja dan mengagungkan arak melalui syair-syair mereka dengan mudah menerima undang-undang Islam yang mengharamkan arak. Arak yang selama ini dipuja begitu rupa dengan mudah dibuang dari bekasnya apabila datang ayat yang mengharamkan secara total penggunaan arak.

Maka mereka yang sedang meneguk arak dengan pantas membuang gelas-gelas arak yang sedang mereka pegang. Mereka yang menyimpan arak di bejana dan tong-tong arak di rumah-rumah mereka lantas bertindak memecahkannya. Diriwayatkan Kota Madinah saat itu dipenuhi dengan limpahan arak. Mereka dengan bangga memecahkan bekas-bekas arak tersebut sambil berteriak" Intahaina Ya Rabb , Intahaina Ya Rabb !! ( Kami dah berhenti , kami dah berhenti Ya Tuhan !!! ). Lihatlah bagaimana hebatnya Islam membendung jenayah . Begitu ekonomikal- tidak perlu berkempen dan menghabiskan berbilion ringgit !!!

Sebagai perbandingan mari kita lihat pula bagaimana negara yang dikatakan hebat dan bertamadun seperti Amerika Syarikat. Amerika pernah berusaha mengharamkan arak . Maka dibuat pindaan ke atas Perlembagaan Negara bagi menggubal satu Akta khusus untuk tujuan itu.

Akta Volstead atau lebih popular dikenali sebagai National Prohibition Act (1919) telah digubal. Akta tersebut antara lain mengharamkan "the manufacture, sale, or transportation ofintoxicating liquors" di Amerika Syarikat. Akta tersebut digubal sempena nama Andrew Volstead, Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Senat . Bagaimanapun " Anti-Saloon League’sWayne Wheeler" yang sebenarnya mendraf undang-undang tersebut.

Berbillion dolar wang negara dibelanjakan untuk melancarkan kempen pengharaman arak tersebut tapi apa yang malang bukan sahaja undang-undang tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah ketagihan arak rakyat Amerika sebaliknya banyak masalah yang timbul dengan adanya Akta Volstead tersebut.

Pengeluaran, pengeksportan dan pengagihan arak yang sebelumnya merupakan satu perniagaan yang sah- telah diambil alih oleh kumpulan penjenayah yang bergelut sesama mereka untuk mengawasai pasaran.

Pergelutan yang ganas tersebut mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai ( sebagai contoh kes Al Capone ) . Yang semakin kaya adalah golongan gangster. Ramai juga yang menderita dengan pelbagai penyakit kronik sehingga ada yang menjadi buta kerana menggunakan arak yang dijual di pasar gelap ( blackmarket ) yang tidak dibuat mengikut preskripsi yang betul.

Penguatkuasaan undang-undang tersebut juga amat sukar kerana penguatkuasa undang-undang dengan mudah disogok dan dirasuah oleh golongan gangster yang kaya raya. Mereka yang cuba membantu penguatkuasa akan diancam, diugut dan malahan ada yang dibunuh.

Akhirnya Kongres yang meluluskan Akta berkenaan telah mencadangkan satu pindaaan agar undang-undang tersebut dimansukhkan kerana ternyata ia tidak membawa perubahan bagi mengatasi ketagihan arak rakyat Amerika sebaliknya Akta tersebut makin banyak mendatangkan kesan negatif. Maka terbatallah undang-undang tersebut pada 5 Disember 1933.

Kesimpulannya :

Lihatlah sebahagian perbezaan undang-undang manusia dan undang-undang Islam dalam menyelesaikan permasalah yang bersangkutan jenayah. Renungkanlah hal yang telah dinyatakan dengan saksama, pastinya anda akan mengakui undang-undang ciptaan manusia adalah undang-undang yang gagal dan apa yang dicipta oleh Allah untuk umat manusia adalah rahmat!!

Fikirkanlah bagaimana mahu mencari jalan penyelesaiannya!! Berjuanglah secara berjama'ah untuk melangsaikan tanggungjawab (takhlif) kita sebagai ummat manusia dan Islam yang mencintai keadilan dalam mencari kedamaian. Setiap sesuatu kebaikan yang diusahakan pastinya menuntut pengorbanan. 

Wallahu a'lam...

Catatan - entry kali ini sebahagiannya adalah hasil rujukan dan suntingan daripada penulisan Peguam PAS Sdr. Muhamad Hanipa Maidin beberapa tahun lalu (kredit untuk beliau dan semoga Allah membalas budi baik beliau dalam gerak kerja memahamkan undang-undang Islam walaupun beliau adalah peguam sivil).