Pengenalan.
Jika dilihat kepada slogan yang digagaskan oleh PM Malaysia yang ke
6 ia dilihat sangat bertujuan baik kerana bermaksud untuk menyatukan
seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai masyarakat yang
majmu’ yang berbilang bangsa menjadi satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.
Namun setiap niat yang benar hendaklah diikuti dengan perbuatan yang
juga benar, maka sebelum itu perjuangan apapun yang mahu ditegakkan
hendaklah terlebih dahulu meneliti serta menilai setiap aspek
berdasarkan pertimbangan yang sebenar dan sewajarnya secara adil dengan
mengikuti ketetapan Islam agama yang diredhai oleh Allah Yang Maha
Pencipta. Keadilan dalam Islam adalah tidak memandang kepada mana-mana
bangsa hatta agama sekalipun. Jika hal ini tidak diteliti maka kezaliman
pasti akan berlaku.
Islam Adalah Agama Penyatuan
Islam adalah agama Allah yang diutus kepada seluruh ummat manusia tanpa
mengira bangsa atau yang seumpamanya tanpa diskriminasi antara Arab atau
‘ajam (bukan Arab).
Dalam hal ini kita tidak boleh melupakan beberapa hadith yang menjadi dalil, di antaranya ialah :
1. Sabda Nabi SAW :
يا أيها الناس ألا إن ربكم واحد وإن أباكم واحد كلكم لآدم وآدم من تراب
Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu itu satu dan bapa kamu juga
satu. Kamu berasal dari Adam dan Adam diciptakan dari tanah. [HR Ahmad]
2. Sabda Nabi SAW :
Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama.
Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam, atau ‘ajam ke atas
Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang
berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.
[HR
Ahmad dan al Baihaqi]
Jelas sekali bahawa hadith-hadith di atas adalah menerangkan mengenai penyatuan 1 Syahadah! Sesungguhnya penciptaan manusia yang
mempunyai kepelbagaian adalah penuh hikmah yang bermaksud untuk diambil
manfaat supaya ummat manusia mencapai nikmat kesempurnaan hidup, yang
mana kesempurnaan tidak lengkap tanpa mendapat pengkitirafan dari Allah
dengan pangkat kemuliaan yang hanya diberi kepada orang-orang yang
bertakwa.
Garis Panduan Supaya Slogan 1 MALAYSIA Tidak Menjadi Satu Kezaliman.
Jika dilihat daripada sudut sejarah zaman jahiliah, perkauman dan
kabilah adalah menjadi dasar atau pusat wala’ dan ikutan. Mereka
mengikuti kaum dan kabilah masing-masing tanpa mengambilkira samaada
dalam perkara benar atau salah. Slogan mereka pada waktu itu adalah
“sokonglah saudaramu dalam melakukan kezaliman atau ketika sedang
dizalimi”.
Rasulullah SAW dengan berhikmah telah
menggunakan istilah yang sama dengan tujuan memberi kefahaman baru yang
selari dengan nilai-nilai Islam.
Baginda bersabda, mafhumnya : bantulah saudaramu dalam kezaliman dan ketika dizalimi.
Para sahabat bertanya : wahai Rasulullah, kita diwajibkan untuk
menolong mereka yang dizalimi, lantas bagaimanakah pula menolong mereka
yang melakukan kezaliman?
Jawab baginda : cegahlah dirinya dari terus melakukan kezaliman tersebut, begitulah cara menolongnya.
Namun slogan 1 Malaysia tidaklah boleh dijadikan dasar perjuangan
melainkan dengan tujuan untuk menggabungkan semua masyarakat yang
berbilang kaum untuk lebih bersatu sebagai masyarakat majmu’ dan
berkerjasama dalam hal kebajikan kerana Rasulullah SAW pernah
berulangkali mengingatkan ummat baginda untuk menjauhkan sikap asabiah
dan perkauman, atau melakukan peperangan kerana dasar asabiah.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda :
Sesiapa yang melepaskan ketaatan dan meninggalkan jemaah kemudian mati,
maka kematiannya itu mengikut cara jahiliah. Dan barangsiapa yang
berperang di bawah ra’yah ‘immiyah (panji-panji kebutaan; kegelapan),
marah kerana sifat assabiah atau menyeru kepada assabiah atau ia
menolong kepada assabiah maka jika ia terbunuh, maka kematiannya adalah
mengikut cara jahiliah
[Muslim, Ahmad dan An Nasa’ie]
Di dalam riwayat Imam Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Bukan dari golongan kami mereka yang menyeru kepada asabiah dan
bukanlah dari kami mereka yang berperang kerana asabiah dan tidaklah
termasuk ke dalam golongan kami mereka yang mati (kerana membela)
asabiah. [kitab al-adab]
Wa’ilah ibnu al Asqa r.a berkata : aku pernah bertanya kepada Rasulullah saw, apakah makna asabiah itu?
Baginda menjawab : Engkau menolong kaummu dalam melakukan kezaliman. [kitab al-adab]
Jelas sekali Rasulullah sangat mengecam sikap assabiah dan perkauman
yang sempit, namun sebaliknya Baginda SAW sentiasa menyeru kaum muslimin
untuk menghidup dan menyuburkan perasaan berjama’ah. Baginda Rasulullah
SAW mengecam perpecahan, pertikaian dan perbalahan di antara sesama
sendiri.
Kesimpulan : Hanya Meninggikan Kalimah Allah Sebagai Dasar Perjuangan.
Justeru itu, sayugialah
diingatkan bahawa niat ikhlas dalam setiap amalan hendaklah semata-mata
kerana Allah dan tidak boleh selain dari Allah. Dengan memelihara dan
meninggikan kalimahNya (kalimatullahi hiyal ‘ulya) maka terpeliharalah
segalanya termasuklah bangsa dan tanahair masing-masing.
Abu Musa meriwayatkan dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda :
من قاتل لتكون كلمة الله هي العلي فهو في سبيل الله
Barangsiapa yang berperang semata-semata untuk menjadikan kalimah Allah
yang teringgi maka ia (dikira sebaga) fi sabilillah.
[Mutafaqqun
‘Alaih]
Berdasarkan hujah-hujah di atas, penulis tidak menolak slogan di atas namun menolak jika ia menjadi dasar perjuangan. Sayugialah difahami pengertian penulis iaitu hendaklah menyatukan 1 Malaysia melalui dasar penyatuan 1 Syahadah.
Soalan
Mampukah Ia Dilaksanakan Sebagaimana Kehendak Islam??