Sabtu, 27 September 2008

ZAKAT bank & syarikat² serta nisab semasa untuk zakat.

PENDAHULUAN

Dalam Mesyuarat J.k.Zakat Negeri Kedah yang lepas dimaklumkan mengenai Fatwa Rasmi dari J.K.Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang memutuskan (bahawa bank wajib membayar zakat).
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi meminta pandangan beberapa ahli yang hadir, termasuk penulis kertas ini. Tiada komen dibuat oleh sesiapa, bahkan menerima keputusan fatwa itu dengan sepenuhnya.

Walaupun tiada komen pada majlis itu tempoh hari, tetapi pada hari ini dalam majlis mesyuarat hari ini, penulis ingin menyuarakan sedikit pandangan sebagai menyokong dan memperluaskan lagi sasaran fatwa tersebut.

1. SokonganKekuatan dan kebenaran fatwa itu adalah berdasarkan kepada hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dan diedarkan kepada semua amil zakat di seluruh Negara pada masanya sebagai SATU PERKELILING yang mengarahkan para amil supaya bertindak dalam memungut zakat dari HARTA PERKONGSIAN / SYARIKAT. Hadis / Perkeliling tersebut berbunyi :



Bermaksud: (“ tidak dicantum di antara harta-harta yang berasingan dan tidak diasingkan / dipecahkan di antara harta-harta yang sedang bercantum kerana takut kena banyak atau takut dapat sedikit zakat.”) (S. al Bukhari, hadis 33, lihat CDROM al MUHADDITH). Melalui perkataan:



Al Imam Ibn Hajar al’ Asqalani dalam al Fath al Bari menjelaskan : “ bahawa maknanya ada tiga orang pemilik kambing masing-masing memiliki 40 ekor yang wajib padanya satu zakat (seekor) pada setiap 40 yang dimiliki oleh setiap orang). Lalu mereka mencantumkan milik masing-masing (jadi jumlah 120) supaya zakat berubah menjadi hanya wajib SEEKOR sahaja (daripada bilangan 120 itu).
Atau terdapat di antara dua orang pemilik yang sedang berkongsi ke atas jumlah 201 ekor kambing yang wajib zakat padanya ke atas mereka (secara perkongsian/ syarikat) sebanyak 3 ekor. Lalu mereka memecahkan perkongsian mereka supaya zakat berubah menjadi tidak wajib kecuali seekor ke atas masing-masing secara berasingan.
Kedua-dua tindakan tersebut adalah ditegah melalui perkeliling tersebut. Menurut al Imam as Shafi’e (seperti disebut Ibn Hajar dalam Fth al Bari) : Tegahan tersebut ditujukan kepada kedua-dua pihak pemilik dan amil supaya tidak bertindak mencantum dan memecahkan bagi mencapai tujuan mereka mengelak atau mengumpul lebih banyak (pemilik bertujuan mengelak kena zakat lebih banyak dengan mencantum atau memecah amil bertujuan memungut lebih banyak dengan tindakan-tindakan tersebut).
Jadi kerana takut kena banyak maka pemilik cuba mencantum atau memecahkan, amil juga kerana takut dapat pungut sedikit, lalu bertindak mencantum atau memecahkan. (Ibn Hajar al ‘Asqalani, Fath al Bari ketika buat huraian terhadap hadis tersebut dalam cetakan bersama Saheh al Bukhari dan al Fath).

2. Dari Sudut Memperluaskan / MengumumkanWalaupun hadis tersebut ditujukan kepada zakat ternakan (kambing), tetapi boleh diperluaskan melalui beberapa kaedah diantaranya:

a) Kaedah mengambil kira dengan LAFAZ (perkataan) yang dipakai.



# Hadis berkaitan syarikat itu diriwayat oleh beberapa kitab hadis (dalam bab zakat) : termasuk S. al Bukhari, Muslim, Sunan A. Daud, an Nasai, Ibn Majah, dan al Muntaqa Sharh al Muwatta, Lihat Al Islam.com, Al Islam On Line dan CDROM al MUHADDIS melalui ruangan al Hadis, Perkataan




b) Kaedah al Qiyas.
Melalui Kaedah Pertama diambil kira dengan lafaz yang dipakai/disebut dalam hadis itu iaitu lafaz umum pada perkataan (MUJTAMI’ dan MUFTARIQ) Ini yang dipegang tanpa melihat kepada sebab yang khusus lagi iaitu masalah zakat kambing.
Melalui Qiyas pula ialah dengan menyamakan hukum zakat syarikat pada harta-harta lain daripada kambing (disamakan) dengan hukum zakat syarikat pada binatang ternakan (kambing). Jika syarikat kambing itu diiktiraf sebagai harta milik seorang atau perkongsian memiliki kambing diiktiraf sebagai satu syarikat yang sah dan zakatnya wajib sama seperti zakat seorang pemilik, maka demikian jugalah perkongsian pada harta-harta lain adalah juga sama hukumnya, wajib zakatnya sama seperti seorang pemilik dan ditegah daripada dipecahkan untuk mengelak zakat atau untuk memungut lebih banyak.
Dengan itu zakat syarikat pada apa sahaja harta adalah sama hukumnya. Ini pendapat al Imam as Shafi’e dan lainnya walaupun pendapat al Imam Hanafi tidak diiktiraf syarikat pada harta yang lain daripada kambing.
# An Nawawi. Al Majmu’ Sharh al Muhazzab, Bab Zakat al Khaltah, Lihat CDRoom al MUHADDIS, perkataan:



Walau bagaimana pun kebanyakan ‘Ulama’ dalam semua mazhab beramal dengan kaedah MEMILIH PENDAPAT YANG LEBIH MENGUNTUNGKAN (bermanfa’at) FAKIR MISKIN. Adalah jelas pendapat as Shafi’e lebih menguntungkan fakir miskin. Kerana ini kebanyakan ‘Ulama pada masa kini bersetuju dengan pendapat as Shafi’e.
Wallahu A’lam.

Oleh: Prof Madya Dr Abdullah Ibrahim, AMK

Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah.
Fellow, Institut Kajian Perbankan dan Kewangan Islam.
Ahli Majlis Pengawasan Syariah Bank Islam, Takaful Malaysia dan Bank Pertanian Malaysia.

Nota :Harga emas semasa sebanyak 85 gram untuk nisab zakat: RM 7,675.82